Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Seseorang masuk ke dalam solat Jumaat dengan niat Jumaat setelah imam bangun dari rukuk, dan dia tidak tahu sama ada itu adalah rakaat pertama atau kedua. Kemudian baru mengetahui setelah imam duduk untuk tahiyat. Lalu, saudaraku menyempurnakan empat rakaat, dengan menganggap bahawa ia telah menjadi solat Zuhur, dan kemudian memberi salam. Apakah hukum solat tersebut memandangkan dia memulainya dengan niat Jumaat tetapi menyelesaikannya dengan niat Zuhur? Adakah dia perlu mengulangi solat tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami katakan bahawa seseorang itu dikira mendapat solat Jumaat, apabila dia sempat mendapat satu rakaat solat Jumaat bersama Imam. Dalam erti kata lain, (sekurang-kurangnya) dia sempat untuk menuruti rukuk berserta tumakninah pada rakaat kedua bersama imam.

Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنْ صَلَاةِ الْجُمُعَةِ رَكْعَةً فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang sempat mendapat satu rakaat (iaitu sempat rukuk pada mana-mana rakaat bersama imam); maka dia telah dapat melaksanakan solat Jumaat.”

Riwayat al-Nasa’i (1425); al-Hakim (1077) dan dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam al-Tuhfah (1/528)

Al-Khatib al-Syirbini selepas menukilkan hadith di atas ini berkata: “(Imam al-Nawawi berkata: Sekiranya makmum hanya sempat ikut) iaitu imam (selepasnya) iaitu selepas daripada rukuk imam (pada rakaat kedua maka terlepaslah dia) iaitu daripada Solat Jumaat berdasarkan mafhum hadith yang lepas (maka hendaklah dia menyempurnakan rakaat selepas salamnya) iaitu salam imam (dengan Solat Zuhur sebanyak 4 rakaat) tanpa perlu menambah sebarang niat lain, kerana dia telah terlepas waktu Solat Jumaat.” (Lihat Mughni al-Muhtaj fi Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 1/567).

Keduanya, kami katakan bahawa sesiapa yang masuk solat bersama imam dengan niat solat Jumaat, kemudian baru menyedari bahawa apa yang dia sempat dengan imam adalah kurang daripada satu rakaat, maka dia perlu menyempurnakannya sebagai solat Zuhur, dan dia harus kekal dengan niat yang dia bawa semasa masuk ke dalam solat; kerana tidak mungkin untuk dia melakukan dengan cara lain. Ini kerana makmum masbuq kebiasaannya tidak tahu keadaan sebenar imam dalam solatnya, seperti contoh seorang musafir yang solat bersama imam yang bermukim, dia masuk dengan niat untuk solat qasar tetapi kemudian barulah dia mengetahui/menyedari keadaan imamnya, maka dia harus menyempurnakan solat tersebut.

Imam al-Syafi‘i menyebutkan, sesiapa yang sempat satu rakaat dalam solat Jumaat, dia hendaklah menyempurnakan lagi satu rakaat, dan solat Jumaatnya dianggap sah. Mendapatkan satu rakaat bermakna seseorang itu sempat bersama imam sebelum imam mengangkat kepalanya dari rukuk (dalam rakaat kedua), lalu dia rukuk bersama imam dan sujud. Namun, jika dia sempat ketika imam rukuk, lalu bertakbir tetapi dia tidak sempat untuk rukuk bersama imam sehingga imam mengangkat kepalanya dari rukuk dan dia sujud bersama imam, maka rakaat tersebut tidak dikira, dan dia perlu solat Zuhur sebanyak empat rakaat.(Lihat al-Umm, 1/236).

Begitu juga Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebutkan, jika makmum masbuq sempat bersama imam selepas rukuk dalam rakaat kedua, dia mengangkat takbir untuk solat Jumaat sebagai mengikuti imam dan dia menyempurnakannya sebagai Zuhur. Sama ada dia tahu keadaan tersebut ataupun tidak. (Lihat Asna al-Matalib, 1/252).

Selain daripada itu, Ibn Qudamah turut menyatakan tentang orang yang sempat bersama imam tetapi tidak cukup untuk solat Jumaat dengan menukilkan kenyataan Abu Ishaq bin Syaqla yang berpendapat bahawa dia berniat untuk solat Jumaat supaya tidak bertentangan dengan niat imamnya, kemudian dia menyempurnakannya sebagai Zuhur. Ini zahirnya adalah pandangan Qatadah, Ayyub, Yunus, dan Imam al-Syafi‘i kerana mereka mengatakan mengenai orang yang mengangkat takbir bersama imam untuk solat Jumaat, kemudian dia dihalang daripada sujud sehingga imam memberi salam. Maka, dia perlu menyempurnakannya sebagai solat empat rakaat (Zuhur). Mereka membenarkan dia menyempurnakan solat sebagai Zuhur, walaupun pada asalnya dia mengangkat takbir (berniat) untuk solat Jumaat. (Lihat al-Mughni, 3/189).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga ada menyebutkan, jika seseorang masuk bersama imam dengan niat untuk solat Jumaat, kemudian ternyata dia tidak sempat satu rakaat (bersama Imam), maka dia harus meniatkannya sebagai Zuhur selepas imam memberi salam. Ini adalah cara yang seharusnya diamalkan oleh orang ramai, terutamanya golongan awam. Ini keraa jika orang awam tahu bahawa itu adalah rakaat kedua dan dia terlepas rukuknya, dia akan berniat untuk solat Jumaat. Kemudian, apabila imam memberi salam, ada dalam kalangann orang awam yang menyempurnakannya sebagai Jumaat, dan ada yang menyempurnakannya sebagai Zuhur, tetapi tidak boleh berniat Zuhur kecuali selepas imam memberi salam. Inilah pendapat yang benar (sahih) kerana Zuhur adalah cabang daripada Jumaat, dan jika dia berpindah dari Jumaat ke Zuhur, maka dia berpindah dari yang asal ke gantian, dan kedua-duanya adalah fardhu untuk waktu tersebut. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 5/48).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang masuk untuk solat bersama imam dengan niat solat Jumaat, dan kemudiannya ternyata atau dia baru menyedari bahawasanya dia hanya sempat mengikuti imam kurang dari satu rakaat, maka dia hendaklah menyempurnakan solat tersebut sebagai solat Zuhur sebanyak empat rakaat. Justeru, solat yang dilakukan oleh saudara yang bertanya di atas adalah sah, dan tidak perlu mengulanginya semula.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Leave a Reply