#6944: Ekonomi Zaman Jahiliyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan berkenaan dengan keadaan ekonomi dan perdagangan pada zaman Jahiliyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sumber pendapatan utama penduduk Makkah adalah dari perdagangan. Adapun perindustrian ketika itu masih sedikit, dan yang paling jelas adalah tempat pembuatan senjata seperti tombak, pedang, baju besi, anak panah dan pelbagai jenis pisau. Kemudian terdapat juga tempat pembuatan tembikar dan kayu-kayuan untuk membuat rumah dan seumpamanya. Demikian juga sumber-sumber pendapatan yang lain seperti menggembala kambing dan berburu juga sangat terkenal.

Akan tetapi, dunia perdagangan tetap menjadi tumpuan utama bagi ekonomi Makkah. Sementara pengembangan modal yang besar adalah banyak disebabkan oleh perpindahan daripada perdagangan setempat kepada perdagangan antara negara (global). Permusuhan antara Parsi dan Rom sangat membantu perkembangan jalur-jalur perdagangan laut sebagai ganti jalur darat antara Iraq dan Syam. Barang-barang ada yang diangkut dari India ke Yaman, lalu Makkah dan kemudian Syam. Kafilah-kafilah tersebut semakin maju permodalannya dengan bergabungnya sejumlah besar penduduk Makkah dalam menyuntik modal dalam bentuk saham, sama ada besar atau kecil sesuai dengan keadaan kewangan mereka.

Perdagangan Makkah kadang-kadang ditempuh melalui jalur laut menuju jalur darat. Akan tetapi mereka belum memiliki kapal laut untuk mengangkut barang dagangan mereka. Mereka hanya memanfaatkan perahu-perahu Habasyah untuk menyeberang ke negeri Habasyah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah oleh Dr. Akram Dhiya’ Al-‘Umari, hlm. 78)

Allah SWT berfirman:

لِإِيلَافِ قُرَيْشٍ ‎﴿١﴾‏ إِيلَافِهِمْ رِحْلَةَ الشِّتَاءِ وَالصَّيْفِ ‎﴿٢﴾‏ فَلْيَعْبُدُوا رَبَّ هَٰذَا الْبَيْتِ ‎﴿٣﴾‏ الَّذِي أَطْعَمَهُم مِّن جُوعٍ وَآمَنَهُم مِّنْ خَوْفٍ

Maksudnya:Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah) (laitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

(Surah Quraisy: 1-4)

Allah SWT telah memberi kemudahan kepada bangsa Quraisy dengan dua perjalanan dalam urusan perniagaan iaitu:

  • Menjalankan perniagaan pada musim sejuk ke negeri Yaman, dan
  • Menjalankan perniagaan pada musim panas ke negeri Syam.

Dalam surah ini, dinyatakan tentang nikmat Allah yang besar kepada penduduk Makkah. Allah menyatukan pandangan mereka serta dianugerahkan buat mereka dapat melakukan urusan perniagaan yang bebas ke Yaman dalam musim sejuk dan ke Syam dalam musim panas untuk mendapatkan kekayaan dan kesenangan hidup.

Dua perjalanan itu amat penting kepada mereka kerana ia adalah punca pendapatan mereka kerana tanpa perniagaan tersebut mereka tidak mampu hidup di Makkah. Bangsa Arab menyatakan bahawa Quraisy ialah penduduk baitullah. Segala kemuliaan untuk bangsa Quraisy ini diberikan oleh Allah adalah disebabkan bait al-Haram. Maka selayaknyalah mereka perlu memperakui nikmat ini dengan mentauhidkan Allah serta beribadah.

Allah SWT turut menyatakan bahawa Dia yang memberikan makanan dan menyelamatkan mereka daripada kelaparan yang bersangatan serta memberi keamanan selepas ketakutan yang amat sangat. Bangsa Quraisy bermusafir dalam keadaan aman tanpa terdedah kepada musibah dan tidak diserang walaupun bermusafir secara berseorangan semasa ke luar dari Makkah ataupun semasa berada di Makkah. Firman Allah SWT: “Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan negeri mereka tanah suci yang aman tenteram, sedangkan manusia di negeri sekelilingnya dibunuh, ditawan dan dirompak harta benda mereka.” (Surah Al-Ankabut: 67)

Perkara ini disebabkan keberkatan doa Nabi Ibrahim A.S yang berdoa: “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman!” (Surah Ibrahim: 35)  Dan Baginda berdoa lagi: “Engkau rezekikanlah mereka buah-buahan agar mereka terus bersyukur.” (Surah Ibrahim: 37) (Lihat Safwat Tafasir, 3/607) (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/223)

Semoga penjelasan ringkas ini ini dapat memberi kita kefahaman sejarah dan sirah pada zaman Nabi SAW. Wallahua’lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *