Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, amalan yang mana lebih afdhal atau diutamakan: infak duit kepada masjid/tahfiz dan sebagainya; atau memberi pinjam duit kepada si pemiutang yang memerlukan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Persoalan di atas ini akan kami huraikan jawapannya dengan terlebih dahulu mengutip mutiara ilmu daripada sabdaan Junjungan Agung, Baginda Nabi SAW. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ أَخِيهِ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا دَامَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang memudahkan apa sahaja kesulitan saudaranya dalam urusan dunianya, nescaya Allah akan mempermudahkan urusannya daripada sebarang kesulitan pada hari kiamat kelak. Dan Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu membantu saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699)

Hadith di atas mengisyaratkan tentang keutamaan memudahkan urusan dan membantu orang-orang yang sedang mengalami kesukaran dan kesusahan. Antara bentuk bantuan yang sering diminta adalah memberi hutang. Hadith di atas turut mengandungi pujian dan galakan untuk memberi hutang kepada orang berkeperluan yang memintanya. Imam Ibn Hajar al-Haitami memasukkan hadith di atas ini ketika membicarakan soal anjuran memberi hutang di dalam bab al-Qardh (hutang-piutang). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 5/36)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa memberi hutang kepada penghutang yang berkeperluan dan diketahui menyalurkan duit pinjaman kepada jalan kebaikan adalah lebih utama dan lebih afdhal berbanding menyedekahkan jumlah tersebut kepada masjid atau maahad tahfiz berdasarkan hadith-hadith sahih mengenai anjuran memberi hutang kepada orang yang berkeperluan dan bahawa ia lebih utama dan lebih baik berbanding memberi sedekah semata.

Melazimi memberi hutang kepada orang yang memerlukan adalah perbuatan yang hampir menyamai amalan bersedekah. ‘Abdullah bin Mas‘ud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَقْرَضَ اللَّهَ مَرَّتَيْنِ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ إحْدَاهُمَا لَوْ تَصَدَّقَ بِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi hutang (kerana) Allah sebanyak dua kali; maka pahalanya adalah sama seperti dia bersedekah pada salah satu hutang yang dia pinjamkan itu.”

Riwayat Ibn Majah (2340); Ibn Hibban (5040); dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam Tuhfah al-Muhtaj (2/249)

Imam ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi berkata menjelaskan wajah al-tafdhil (sudut keutamaan) amalan memberi hutang berbanding sedekah ketika mensyarahkan hadith di atas: “Sedekah lebih afdhal dari sudut pengakhirannya; namun hutang lebih afdhal dari sudut permulaannya, kerana ia lebih memelihara air muka (maruah) orang yang tidak biasa/selesa meminta-minta.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/81)

Bahkan, dikatakan bahawa pahala dan ganjaran memberi hutang kerana Allah SWT turut dikatakan lebih besar berbanding pahala memberi sedekah di sisi-Nya. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa:

أَنَّهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِهِ مَكْتُوبًا عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ أَنَّ دِرْهَمَ الصَّدَقَةِ بِعَشَرَةٍ وَالْقَرْضِ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ

Maksudnya: “Nabi SAW melihat ketika malam Baginda diperjalankan (Isra’) bahawa tertulis di pintu syurga yang satu dirham sedekah adalah bersamaan sepuluh pahala, manakala satu dirham pemberian hutang adalah bersamaan lapan belas kali ganda.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (6719); diisyaratkan sebagai dha‘if oleh Imam al-Daraqutni dalam Atraf al-Ghara’ib (2/183) kerana perawi bernama Maslamah bin ‘Ali dan Khalid bin Yazid.

Semua ini didukung oleh hadith lain milik Anas bin Malik RA yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَرْضُ الشَّيْءِ خَيْرٌ مِنْ صَدَقَتِهِ

Maksudnya: “Memberi hutang lebih baik berbanding menyedekahkannya.”

Riwayat al-Baihaqi (11273); dinilai gharib sanadnya oleh al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Muhazzab (4/2124); dan dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Irwa’ al-Ghalil (5/229)

Oleh yang demikian, kami tegaskan di sini bahawa memberi hutang adalah sunat yang dituntut selama mana kita tahu bahawa penghutang tersebut adalah orang yang akan menyalurkan duit pinjaman itu ke jalan yang halal dan baik. Manakala, jika penghutang itu terdesak, dan kita pula berkemampuan, maka wajib meminjamkan duit dan memberi hutang kepadanya. Adapun jika kita mengetahui bahawa penghutang itu meminjam duit untuk menyalurkannya kepada perkara yang haram atau makruh, maka kita dilarang untuk meminjamkan duit kepadanya. 

Imam Ibn Hajar al-Haitami memfatwakan sedemikian menerusi ‘ibarat beliau di dalam kitab Tuhfah seperti berikut:

“Dan keadaan di mana memberi hutang menjadi sunat adalah selama mana penghutang itu belum sampai kepada keadaan begitu memerlukan hingga terdesak, jika tidak, maka wajiblah dia memberikan pinjaman tersebut (jika mampu) sekalipun dia tidak mengetahui atau tidak mempunyai sangkaan kuat bahawa penghutang itu akan menyalurkannya kepada jalan maksiat. 

Sekiranya tidak (yakni diketahui atau mempunyai sangkaan kuat yang dia akan menyalurkannya kepada jalan maksiat), maka haram ke atas kedua-dua mereka. Begitu juga hukumnya apabila disalurkan kepada perkara yang makruh. Jika sedemikian bentuknya, maka haram dan makruhlah pemberian pinjaman tersebut.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 5/36)

Kesimpulannya, memberi hutang kepada orang yang berkeperluan lebih utama berbanding memberi sedekah kepada masjid dan maahad tahfiz. Hal ini kerana, memberi hutang mempunyai lebih akrab kepada unsur membantu orang lain yang dalam keadaan begitu terdesak. Manakala, sedekah ke masjid dan maahad tahfiz pula adalah sedekah berbentuk umum. Tambahan pula, institusi seperti ini sudah mempunyai pendanaan yang tersendiri daripada yuran dan infak orang lain. Bagaimana pun, kita dituntut melazimi kedua-dua amalan ini dan menggabungkan keduanya untuk menggapai fadhilat dan ganjaran bersedekah dan memberi hutang bersama.

Marilah sama-sama kita menjunjung hadith Nabi SAW dan kita beriman dengannya. 

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan Allah SWT menolong hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (1924)

Hadith ini menunjukkan keutamaan seseorang yang menghilangkan kesusahan dan musibah dari seorang saudara Muslim, yang menyebabkan kesedihan, kegelisahan, dan kesempitan. Menghilangkan kesusahan itu mungkin dengan memberinya harta jika kesusahannya disebabkan oleh keperluan seperti hutang yang perlu dibayar atau perbelanjaan yang sukar dipenuhi, atau dengan menggunakan pengaruh untuk memohon bantuan dari orang lain. Selain itu, menghilangkan kesusahan itu mungkin dengan berusaha untuk menghapuskan kezaliman yang menimpanya, dengan cara mengangkat atau meringankan kezaliman tersebut. Ini adalah satu perkara yang luas, dan garis panduannya adalah menghilangkan atau meringankan segala kesusahan yang menimpa seseorang hamba. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/127)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply