#7081: Hadith Meminta Pertolongan dengan Ahli Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terbaca dalam satu buku yang menyatakan terdapat hadith apabila seseorang ditimpa sesuatu dugaan atau kesusahan maka datanglah ke kubur (orang soleh) lalu mintalah dengan penghuninya. Soalan saya, benarkah terdapat hadith tersebut sebabnya tidak dinyatakan dalam buku berkenaan riwayatnya dan apakah statusnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا يَسْتَوِي الْأَحْيَاءُ وَلَا الْأَمْوَاتُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُسْمِعُ مَن يَشَاءُ ۖ وَمَا أَنتَ بِمُسْمِعٍ مَّن فِي الْقُبُورِ

Maksudnya: “Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).”

(Surah Fatir: 22)

Ibn Kathir berkata: Yakni, Allah memberi mereka petunjuk untuk mendengar hujah, mahu menerimanya, dan mahu mengikutinya. Kamu sekali-kali tidak akan mampu menjadikan orang yang di dalam kubur dapat mendengar. Sebagaimana tidak bermanfaat bagi orang-orang mati yang berada di dalam kubur mereka, sedangkan mereka mati dalam keadaan mengingkari petunjuk dan seruan untuk mengikutinya. Maka demikian juga keadaan orang-orang musyrik yang ditetapkan atas mereka kecelakaan. Tidak ada cara bagimu untuk menembusi mereka, dan kamu tidak akan mampu memberi petunjuk kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 4/223)

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW:

وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (110)

Begitu juga Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta atas nama seseorang. Sesiapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (1291)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah kepada kita bahawa ancaman yang cukup keras terhadap pendusta-pendusta terhadap hadith Nabi SAW. Untuk itu, dapat kita simpulkan bahawa hukum berdusta di atas nama Nabi SAW adalah haram secara jelas berdasarkan nas-nas di atas.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kami tidak menjumpai hadith ini terdapat dalam mana-mana kitab sunnah yang muktabar selepas melakukan pencarian. Namun, hadith ini ditemui dalam beberapa kitab ulama lalu mereka mengkritik riwayat berkenaan dengan menyatakan bahawa ia adalah riwayat/hadith palsu. Di antaranya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ada menyebutkan dalam kitabnya, satu riwayat (dikatakan Nabi bersabda):

إذَا أَعْيَتْكُمْ الْأُمُورُ فَعَلَيْكُمْ بِأَهْلِ الْقُبُورِ أَوْ فَاسْتَعِينُوا بِأَهْلِ الْقُبُورِ

Maksudnya: “Apabila kamu menghadapi kesukaran dalam urusan, maka pergilah kepada ahli kubur atau mintalah pertolongan daripada ahli kubur.

Kemudian, beliau mengkritik riwayat ini dengan menyebutkan, hadith ini adalah suatu pendustaan yang direka-reka atas nama Nabi SAW berdasarkan ijma‘ (kesepakatan) para ulama yang mengetahui tentang hadith Baginda. Tiada seorang pun daripada kalangan ulama yang meriwayatkan hadith ini, dan ia tidak terdapat dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 1/356).

Selain itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga ada menyebutkan dalam kitabnya yang lain bahawa apa yang diriwayatkan oleh sesetengah orang bahawa (dikatakan) Nabi SAW bersabda:

إِذَا تَحَيَّرْتُمْ فِي الْأُمُورِ فَاسْتَعِينُوا بِأَهْلِ الْقُبُورِ

Maksudnya: “Apabila kamu bingung dalam urusan, mintalah pertolongan daripada ahli kubur.

Atau yang seumpamanya, maka ia adalah kalam yang direka-reka lagi palsu dan suatu pendustaan berdasarkan ijma‘ (kesepakatan) para ulama. (Lihat Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim, 2/196).

Mulla ‘Ali al-Qari berkata: Dengan sebab itu dikatakan:  “Apabila kamu bingung dalam urusan, mintalah pertolongan daripada ahli kubur.” Dengan maksud, ziarah kubur atau melihatnya, seseorang itu boleh merasa zuhud tentang dunia atau memutuskan daripada sifat kelazatan dunia dan meringankan beban yang sedang ditanggung. Inilah yang dimaksudkan. Dan Mulla menggunakan kalimah ‘dikatakan’ iaitu sighah tamridh tanpa menisbahkan kepada Rasulullah SAW. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 4/259)

Sejujurnya kami katakan, yang dinisbahkan kepada lafaz di atas, terdapat dalam Kasyf al-Khafa’ oleh al-’Ajluni dan ia disandarkan kepada kitab al-Arba’in oleh Ibn Kama Basya. Sila rujuk terjemahnya oleh Mu’jam al-Mu’allifin (1/238)

Begitu juga Ibn Qayyim al-Jauziyyah juga ada menyatakan di dalam kitabnya, di mana beliau menyenaraikan perkara-perkara yang menyebabkan penyembah kubur terjerumus dalam fitnah. Di antaranya, hadith-hadith palsu lagi dusta yang direka oleh orang-orang yang menyerupai penyembah berhala di kuburan atas nama Rasulullah SAW, yang bertentangan dengan ajaran agama yang dibawa oleh Baginda SAW seperti hadith: “Apabila kamu menghadapi kesukaran dalam urusan, maka pergilah (minta pertolongan) kepada ahli kubur.” (Lihat Ighathah al-Lahfan fi Masayid al-Syaitan, 1/387).

Selain daripada itu, terdapat beberapa lagi bukti atau perkara yang menguatkan lagi bahawa hadith itu adalah palsu seperti berikut:

Pertama: Sebab larangan yang diberikan oleh Nabi SAW untuk tidak melakukan solat di kuburan adalah kerana bimbang ia akan menjadi pintu/jalan yang membawa kepada jenis syirik. Sebagaimana diketahui bahawa orang yang terdesak dalam doa, yang ditimpa musibah lalu berdoa untuk mendapatkan kebaikan atau menolak keburukan, keadaannya untuk terjerumus dalam fitnah kuburan jika dia mengharapkan doa dikabulkan di situ adalah lebih besar daripada keadaan orang yang menunaikan solat fardhu di kuburan ketika dalam keadaan sihat (yakni tidak ditimpa dengan apa-apa musibah).

Oleh itu, jika sebab larangan solat di kuburan itu terbukti pada keadaan orang yang bertawassul dengannya, maka larangan terhadap perbuatan itu adalah lebih kuat. Jadi, setiap perkara yang bertentangan dengan larangan ini, maka ia adalah palsu.

Kedua: Sesungguhnya menziarahi kubur untuk berdoa di sana dan berharap agar doa lebih diterima di sana berbanding di tempat lain adalah perkara yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya, dan tidak dilakukan oleh mana-mana sahabat R.Anhum, tabi‘in, atau para imam kaum Muslimin. Para sahabat telah menghadapi kemarau beberapa kali, namun mereka tidak meminta hujan di kuburan Nabi SAW. Jadi, ini menunjukkan bahawa hadith tersebut adalah palsu.

Ketiga: Hadith ini bercanggah dengan nas yang jelas, Allah SWT berfirman:

وَٱلَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِهِۦ مَا يَمْلِكُونَ مِن قِطْمِيرٍ ١٣ إِن تَدْعُوهُمْ لَا يَسْمَعُوا۟ دُعَآءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا۟ مَا ٱسْتَجَابُوا۟ لَكُمْ ۖ وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ يَكْفُرُونَ بِشِرْكِكُمْ ۚ وَلَا يُنَبِّئُكَ مِثْلُ خَبِيرٍۢ ‎

Maksudnya: “Sedang mereka yang kamu sembah — yang lain dari Allah — tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma (13). Kalau kamu memohon kepada mereka (yang kamu sembah itu): mereka tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memberikan apa yang kamu pohonkan itu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tidak ada yang dapat memberitahu kepadamu (wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha Mendalam PengetahuanNya.

(Surah Fatir: 13-14)

Begitu juga terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas dan juga daripada Aisyah bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى اليَهُودِ، وَالنَّصَارَى اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ، يُحَذِّرُ مَا صَنَعُوا

Maksudnya: “‘Laknat Allah ke atas orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid.’ Baginda memberi amaran terhadap apa yang mereka lakukan.”

Riwayat al-Bukhari (3453, 3454)

Justeru, apa-apa yang bercanggah dengan al-Quran atau sunnah yang sahih, maka ia adalah palsu. (Lihat Majallah al-Buhuth al-Islamiyyah, 74/197-199).

Marilah sama-sama kita menjunjung firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *