Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah amalan soleh boleh menghapuskan hukuman hudud? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا

Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu  menghampirinya.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga merujuk kepada apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam-Nya, sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata, (حُدُودَ اللَّهِ) yang dimaksudkan adalah apa yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba itu seperti mentaati perintah Allah dan tidak menyelisihinya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/213)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)

Sebagai contoh, telah thabit riwayat daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”

Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf , membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)

Syeikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam kitabnya Taudhih al-Ahkam (6/319) pula membawakan perbincangan ulama’ mengenai maksud hudud (الحُدُودُ) yang datang dalam banyak nas-nas al-Quran serta Sunnah al-Nabawiyyah. Sebahagian mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syara‘, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah ta‘zir[1]

Dalam menjawab persoalan ini, kami menyatakan bahawa Allah telah mensyariatkan hukuman hudud bagi mereka yang melakukan kesalahan seperti zina, mencuri, membunuh, dan sebagainya, untuk menegakkan keadilan bagi mereka yang dizalimi serta memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman daripada perbuatan tersebut. Oleh itu, hukuman ini tidak boleh dihapuskan hanya dengan bertaubat sahaja atau melakukan amalan-amalan soleh, melainkan hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dilaksanakan. Ini juga menunjukkan bahawa perbuatan tersebut merupakan jenayah yang besar kerana melibatkan hak sesama manusia.

Yang demikian difahami melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau berkata:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَجَاءَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أَصَبْتُ حَدًّا فَأَقِمْهُ عَلَيَّ، قَالَ: وَلَمْ يَسْأَلْهُ عَنْهُ، قَالَ: وَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ، فَصَلَّى مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا قَضَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الصَّلاَةَ، قَامَ إِلَيْهِ الرَّجُلُ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي أَصَبْتُ حَدًّا، فَأَقِمْ فِيَّ كِتَابَ اللَّهِ، قَالَ: «أَلَيْسَ قَدْ صَلَّيْتَ مَعَنَا؟» قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: «فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ غَفَرَ لَكَ ذَنْبَكَ، أَوْ قَالَ: حَدَّكَ

Maksudnya: “Ketika aku sedang bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki datang kepada Baginda lalu berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah melakukan suatu perbuatan yang mengakibatkan hukuman hudud, maka laksanakanlah hukumannya terhadapku.” Anas berkata: Baginda tidak bertanyakan kepadanya mengenai perbuatan tersebut. Beliau berkata lagi: Tibalah waktu solat, lelaki itu solat bersama-sama Nabi SAW. Setelah selesai Nabi SAW mengerjakan solat, lelaki itu berdiri lalu menghampiri Baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah melakukan suatu perbuatan yang mengakibatkan hukuman hudud, maka tegakkanlah (hukum) al-Quran terhadap diriku.” Baginda bertanya: “Bukankah engkau tadi solat bersama kami?” Dia menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mengampunkan kamu dan dosamu,” atau Baginda bersabda: “…perbuatan yang mengakibatkan engkau dikenakan hudud.”

Riwayat al-Bukhari (6823) dan Muslim (2764)

Hudud di sini merujuk kepada dosa-dosa yang memerlukan ta’zir, dan ia termasuk dalam dosa-dosa kecil kerana solat telah menghapuskan dosanya. Jika dosa tersebut adalah besar dan memerlukan hudud, solat tidak akan menghapuskan hukuman tersebut. Para ulama sepakat bahawa dosa-dosa yang memerlukan hudud tidak akan terhapus dengan solat. Ini adalah pandangan yang sahih dalam menafsirkan hadith ini. Al-Qadi menyatakan bahawa maksud hudud yang dimaksudkan adalah yang telah diketahui, dan Nabi SAW tidak menetapkan hududnya kerana tidak menjelaskan apa yang menyebabkan hudud itu dan tidak bertanya tentangnya, sebagai pilihan untuk menyembunyikannya. Sebaliknya, disarankan untuk menasihati seseorang agar menarik balik pengakuan yang menyebabkan hudud secara jelas. (Lihat Syarh al-Nawawi  ‘Ala  Muslim, 17/81)

Dalam isu ini disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Ijma’ fi Fiqh al-Islami (9/74): Jika seseorang melakukan sesuatu yang mengharuskan hudud, maka amalan-amalan baik seperti haji, solat, puasa, dan seumpamanya tidak akan menghapuskan hudud tersebut, kecuali dengan taubat dari dosa yang mewajibkan hudud atau dengan pelaksanaan hudud itu sendiri.

Begitu juga Ibn Battal menyebutkan: Telah sepakat umat bahawa sesiapa sahaja dari kalangan penduduk Badar yang melakukan dosa yang mewajibkan hudud, sama ada dosa tersebut berkaitan dengan Allah atau melibatkan orang lain seperti tuduhan palsu, kecederaan, atau pembunuhan, maka dia wajib dikenakan hudud dan qisas. Ini kerana tujuan hudud adalah untuk menahan, memberi amaran, melindungi nyawa, menjaga kehormatan, dan memelihara harta. (Lihat Syarh Muslim, 8/597)

Justeru, berdasarkan pandangan yang telah dibincangkan di atas, adalah jelas bahawa seseorang yang telah melakukan perbuatan yang mewajibkan hukuman hudud seperti zina, pembunuhan, pencurian dan sebagainya, tidak akan terlepas daripada hukuman tersebut hanya dengan melakukan amalan soleh. Ini kerana tujuan utama pensyariatan hukuman hudud adalah untuk melindungi nyawa, menjaga harta benda dan kehormatan yang melibatkan hak sesama manusia. Oleh itu, dosa daripada perbuatan tersebut tidak akan terhapus melainkan hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh syarak dilaksanakan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1] Ta‘zir merupakan hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara‘, bahkan ditentukan sendiri oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)

Leave a Reply