Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah seorang pelaku jenayah yang dikenakan hudud tidak boleh dikafirkan melainkan jika dia murtad? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan pengertian hudud.

Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا

Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu  menghampirinya.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga merujuk kepada apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam-Nya, sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata, (حُدُودَ اللَّهِ) yang dimaksudkan adalah apa yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba itu seperti mentaati perintah Allah dan tidak menyelisihinya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/213)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)

Sebagai contoh, telah thabit riwayat daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”

Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf , membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)

Syeikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam kitabnya Taudhih al-Ahkam (6/319) pula membawakan perbincangan ulama’ mengenai maksud hudud (الحُدُودُ) yang datang dalam banyak nas-nas al-Quran serta Sunnah al-Nabawiyyah. Sebahagian mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syara‘, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah ta‘zir[1]

Dalam menjawab persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa individu yang melakukan kesalahan yang dikenakan hukuman hudud seperti jenayah pembunuhan, pencurian, atau penzinaan tidak boleh dianggap kafir selagi dia mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Rasulullah SAW adalah pesuruh Allah, kecuali jika dia melakukan perbuatan yang menyebabkan dia keluar daripada Islam seperti murtad.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada  Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat seperti solat kita, menghadap (sebagaimana kita menghadap) ke kiblat kita, makan (sebagaimana kita makan) sembelihan kita, maka dia adalah Muslim. Baginya jaminan Allah dan Rasul-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (391)

Maksud ahl al-qiblah ialah orang yang mengaku sebagai Islam dan menghadap ke Ka’bah sekalipun daripada kalangan orang yang suka mengikut hawa nafsu atau daripada kalangan ahli maksiat selagi dia tidak mendustakan sesuatu daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyah oleh Ibn Abi al-‘Izz al-Hanafi, 2/78)

Dalam isu ini dinyatakan dalam Mausu‘ah al-Ijma‘ fi Fiqh al-Islami (9/128): Jika seseorang melakukan kesalahan hudud seperti zina, tuduhan zina (qazaf), minum arak, mencuri, memberontak, atau merompak, tanpa menghalalkan perbuatan tersebut, dia tidak menjadi kafir semata-mata kerana melakukan maksiat tersebut, sama ada dia bertaubat atau tidak.

Begitu juga Imam al-Tarmizi menyebutkan: Kami tidak mengetahui bahawa ada sesiapa yang mengkafirkan seseorang kerana zina, mencuri, atau minum arak. (Lihat Sunan al-Taimizi, 5/17)

Para ulama amat cermat dalam menghukum kufur dan keluarnya seseorang daripada daerah Islam dengan sebab maksiat yang dilakukannya. Antaranya dinyatakan pendapat tokoh-tokoh Islam:

  • Imam al-Nawawi menyebutkan, sesungguhnya mazhab ahli hak tidak mengkafirkan orang Islam dengan maksiat tanpa iktikad batalnya agama Islam.
  • Imam Abu Ubaid berkata, sesungguhnya di sisi kami bahawa maksiat dan dosa tidak menghilangkan iman dan mewajibkan kufur. Akan tetapi ternafinya iman pada hakikatnya dan keikhlasannya seperti yang telah disifatkan Allah dengannya dalam nas.
  • Abdullah bin Muhammad al-Qarani menyebut satu kaedah berbunyi: “Tiadalah setiap orang yang melakukan sesuatu daripada syirik atau kufur yang nyata boleh dikafirkannya dengan sebab ucapannya atau perbuatannya, tetapi mestilah memenuhi segala syarat untuk mengkufurkannya dan ternafi sebarang halangan pada haknya.” (Lihat Dhawabit al-Takfir inda Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, hlm. 219)

Justeru, berdasarkan perbincangan yang telah dibawakan di atas, jelaslah bahawa mereka yang melakukan jenayah yang dikenakan hukuman hudud tidak boleh dikafirkan selagi mereka tidak menghalalkan perbuatan tersebut. Oleh yang demikian, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menjatuhkan status kafir ke atas ahli kiblat. Sebaliknya, urusan tersebut hendaklah diserahkan kepada pemerintah atau ulama jika terdapat tindakan yang melibatkan akidah Islam. Penilaian mengenai status keimanan dan kafir haruslah dibuat dengan berhati-hati dan berdasarkan kepada prinsip-prinsip syarak yang jelas, serta mengambil kira konteks dan keadaan individu tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1] Ta‘zir merupakan hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara‘, bahkan ditentukan sendiri oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)

Leave a Reply