Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah maksud hadith yang terkait dengan bertemunya dua khitan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

Maksudnya: “Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إذَا الْتَقَى الْخِتَانَانِ فَقَدْ وَجَبَ الْغُسْلُ وَإِنْ لَمْ يُنْزِلْ

Maksudnya: “Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) bertemu, maka wajib mandi walaupun tidak inzal (keluar air mani)”

Riwayat Muslim (105)

Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti menyebut: Dan tidak bertemu dua kemaluan melainkan dimasukkan hasyafah ke dalam faraj sebagaimana yang diceritakan oleh jumhur ahli ilmu dalam syarah mereka berdasarkan sunnah sahih ini, daripada Rasulullah SAW. Maka semata-mata bertempuh tanpa dimasukkan tidak membawa hukum yang mewajibkan taharah dan tidak membawa hukum diwajibkan hukuman had sebagaimana kami nyatakan. Akan tetapi, bagi wanita jika terhasil tempuhan pada faraj dengan faraj yakni sesama wanita, ia dikenali sebagai sihaq (lesbian) dan hukumnya adalah haram mengikut hukum syarak. Dan jika thabit perbuatan tersebut wanita dengan wanita maka hendaklah dita’zirkan, wal’iyazubillah. Ini memberi maksud, bahawa qadhi atau hakim berhak menta’zirkan wanita tersebut, tetapi tahap ta’zir hendaklah kurang daripada hukuman hadd atau hudud. Wallahu a’lam. (Lihat Syarh al-Tirmizi, 42/20)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Leave a Reply