Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah orang yang pekak dan tidak mampu mempelajari Huruf Hija’iyyah masih wajib untuk mengerjakan solat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertama sekali, ilmu pengetahuan berkenaan asas solat ini termasuk dalam ilmu fardhu ‘ain yang mesti dipelajari oleh setiap Muslim. Syeikh Abu Zaid ‘Abd al-Rahman al-Akhdari al-Maliki berkata, perkara pertama yang wajib ke atas mukallaf ialah memperbetulkan imannya, kemudian mengetahui perkara-perkara yang perlu bagi menunaikan fardu ‘ain, seperti hukum-hukum solat, bersuci dan puasa. (Lihat Matn al-Akhdari fi al-‘Ibadat, hlm. 2)
Ilmu pengetahuan itu juga merupakan satu kewajipan ke atas seorang Muslim, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan amal ibadah yang difardhukan ke atasnya. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadith:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap Muslim.”
Riwayat Ibn Majah (224)
Al-Mulla ‘Ali al-Qari ketika mensyarahkan hadith di atas, beliau menukilkan Ibn al-Mubarak: “Memahami hadith ini bukanlah seperti yang disangkakan, sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah satu kefardhuan apabila seseorang itu perlu melakukan sesuatu dalam urusan agamanya, maka dia perlu bertanya tentangnya sehingga dia memahaminya.” (Lihat Syarh Musnad Abi Hanifah, 1/539)
Dalam situasi orang yang diuji dengan masalah pendengaran, dunia kini telah mewujudkan satu kaedah komunikasi khusus menggunakan bahasa isyarat, bagi memudahkan mereka untuk berkomunikasi, begitu juga untuk menuntut ilmu. Oleh itu, orang yang pekak itu wajib mempelajari bahasa isyarat bagi membolehkan dirinya untuk melakukan ibadah fardhu seperti solat lima waktu. Ini jelas berdasarkan kaedah fiqh:
مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Suatu perkara yang mana tidak sempurna suatu kewajiban itu melainkan dengan perkara tersebut, maka hukumnya juga adalah wajib.”
Allah SWT juga berfirman:
فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Nahl: 43)
Maka, sekiranya ibadah solat fardhu itu tidak dapat didirikan oleh orang yang mempunyai masalah pendengaran melainkan dengan mempelajari bahasa isyarat, maka mempelajari bahasa isyarat itu juga dihukumkan fardhu ke atasnya. Kekurangan yang ada pada dirinya itu tidak boleh dijadikan sebagai lesen untuk meninggalkan kefardhuan Islam. Agama ini bahkan memberikan keringanan kepada mereka yang kekurangan upaya untuk melakukan ibadah dengan sempurna. Allah SWT berfirman:
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “Jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu”
(Surah al-Taghabun: 16)
Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini menunjukkan bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba menjadi gugur. Dalam erti kata lain, seorang hamba itu, jika dia mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu untuk menunaikan sebahagian yang lain, maka cukuplah dia menunaikan kewajipan yang dia mampu lakukan, manakala kewajipan yang dia benar-benar tidak mampu untuk tunaikan menjadi gugur. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/868)
Berdasarkan kepada dalil rukhsah ini juga, Sultan al-Ulama ‘Izzuddin bin ‘Abd al-Salam meletakkan satu kaedah, katanya: “Ia bermaksud, sesiapa yang diwajibkan melakukan sesuatu ketaatan, namun mampu melaksanakan sebahagiannya sahaja dan tidak mampu melaksanakan sebahagian yang lain, maka dia perlu melaksanakan apa yang mampu dilakukannya, dan gugur kewajipan ke atas apa yang dia tidak mampu.” (Lihat Qawa‘id al-Ahkam, 2/7)
Disebutkan juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, sesiapa yang tidak mampu untuk bercakap, maka gugur darinya kewajipan melafazkan rukun-rukun qauli menurut persepakatan fuqaha’. Dalam pada itu, al-Syafi‘iyyah memperincikan masalah sama ada mereka perlu untuk menggerakkan lidah sebagai isyarat membaca rukun qauli. Imam al-Nawawi berpendapat, lidah perlu digerakkan kerana begitulah hukum membaca syahadah, salam, dan segala zikir di dalam solat. Imam Ibn al-Rif‘ah pula berkata, jika tidak mampu untuk menggerakkan lidah, cukup dengan menghadirkan niat dalam hati sahaja seperti orang yang sakit.
Namun, jelas bahawa ini menurut mazhab al-Syafi‘i berkaitan dengan bisu yang berlaku secara tiba-tiba, manakala bagi bisu yang semula jadi, tidak wajib menggerakkan apa-apa. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/92; al-Majmu‘, 3/294)
Beginilah jawapan yang diberikan oleh al-Lajnah al-Da’imah apabila ditanya berkenaan solat bagi mereka yang pekak dan bisu, iaitu dengan mendirikan solat fardhu itu mengikut kadar kemampuan mereka. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 6/403)
Kesimpulan
Natijah dari perbahasan di atas, isu tatacara ini perlu diambil berat bagi mereka yang mungkin mengalami sebarang masalah untuk mendirikan sebarang ibadah dengan sempurna, seperti mereka mengalami masalah pekak atau bisu.
Kewajipan solat fardhu itu tidak gugur kerana orang yang pekak ini masih mencukupi syarat-syarat sebagai mukallaf. Adapun kekurangan yang dia hadapi, maka Islam memberikan keringanan kepadanya untuk mendirikan solat fardhu tersebut sesempurna mungkin mengikut kadar kemampuan dirinya.
Beginilah indahnya Islam yang sentiasa menyediakan jalan keluar dan memberikan keringanan kepada penganutnya, di samping memastikan mereka dapat terus beribadah mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan. Semoga kita beroleh manfaat dan dapat beramal seiring dengan ketetapan syara‘.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam