Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami ingin mendapat kepastian tentang bahaya dan bala sifat hasad dengki serta mengenali ciri-ciri orang yang berhasad dengki.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Antara kerugian yang berhasad dengki itu ialah:
- Boleh memakan kebajikan
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ
Maksudnya: “Hendaklah kalian menjauhi sifat hasad dengki, kerana ia menghapuskan kebaikan, sepertimana api menghanguskan kayu.
Riwayat Abu Daud di dalam al-Sunan (4903) menerusi hadith Abu Hurairah RA, Ibn Majah di dalam al-Sunan (4110) Abu Ya’la di dalam al-Musnad (3656) menerusi hadith Anas bin Malik RA.
- Hasad mendorong sifat jahat dan maksiat
Menjawab persoalan di atas, seperti yang dikatakan oleh Wahb ibn Munabbih bahawa, “Orang yang hasad mempunyai tiga ciri:
- Jika berdepan, dia menjilat dan membodek,
- Jika di belakang, dia mengumpat dan mencela,
- Senang jika orang lain mendapat kecelakaan.” (Lihat Hilyah al-Auliya’ oleh Abu Nu’aim al-Isfahani, 47/10)
Kiranya cukup pengetahuan kita mengenai hasad. Hanya kepada Allah jualah kita berlindung dari kejahatan orang-orang berhasad dengki. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 223-224)
Allah SWT berfirman:
وَمِنْ شَرِّ حَاسِدٍ إِذَا حَسَدَ
Maksudnya: “Dan [aku berlindung kepada-Mu, wahai Allah] daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia mendengki.”
(Surah al-Falaq: 5)
Al-Syaukani berkata: Dengki adalah harapan agar kenikmatan yang diberikan Allah kepada seseorang dapat hilang darinya. (Lihat Fath al-Qadir, 7/221)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”