Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, minta bagi pencerahan,betulkah solat sunat empat rakaat selepas solat Isyak pahalanya sama seperti solat di malam lailatul qadar?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Berhubung perkara di atas, perkara ini telah diriwayatkan beberapa hadith dan athar berkenaannya antaranya adalah hadith yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW. Imam al-Tabarani meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Ibn ‘Abbas RAnhuma bahawa diriwayatkan Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ خَلْفَ الْعِشَاءِ الْآخِرَةِ قَرَأَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ، وَقَرَأَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُخْرَتَيْنِ تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ وَتَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ كُتِبْنَ لَهُ كأربعِ رَكَعَاتٍ مِنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat empat rakaat selepas Solat Isyak, dia membaca Surah al-Kafirun dan Surah al-Ikhlas pada dua rakaat pertama; dan membaca Surah al-Sajdah dan Surah al-Mulk pada dua rakaat kedua; maka dia akan mendapat pahala bersolat empat rakaat pada malam Lailatulqadar.”
Riwayat al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Kabir (12240); al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (4509) dan beliau menilainya syaz (ganjil) kerana tafarrud; ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi di dalam Akhbar al-Salah (54).
Hadith ini dinilai daif oleh ahli Hadith semisal Imam Abu Bakr al-Baihaqi dan Imam Nuruddin al-Haythami atas dua faktor seperti berikut:
- Kelemahan perawi bernama Abu Farwah al-Ruhawi, kelemahan ini merupakan dha‘f al-rawi [ضَعْفُ الرَّاوِي] iaitu kelemahan perawi.
- Ibn Farrukh al-Misri berseorangan meriwayatkan hadith ini daripada Abu Farwah, kelemahan ini merupakan al-tafarrud [التَّفَرُّدُ] iaitu periwayatan secara berseorangan, bersendiri dan ganjil.
Imam Ibn al-Mulaqqin menukilkan penilaian Imam al-Baihaqi seraya berkata:
قَالَ البيهقي: تفرد به ابن فروخ المصري، والمشهور ما رواه عن يثيع عن كعب
Maksudnya: “Imam al-Baihaqi berkata: Hadith ini diriwayatkan secara bersendiri (solo, atau tafarrud) oleh Ibn Farukh al-Misri. Yang lebih masyhur, hadith ini adalah riwayat daripada Yathi’ (atau Tabi‘) daripada kata-kata Ka‘b al-Ahbar.” (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 7/640)
Imam Nuruddin al-Haithami turut berkata menukilkan penilaian para Nuqqad:
“Hadith ini diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Kabir, di dalam sanadnya ada Yazid bin Sinan; Abu Farwah al-Ruhawi yang dinilai lemah oleh Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma ‘in, al-Bukhari menilainya: muqarib al-hadith (hafazannya menghampiri tepat, namun tidak sepenuhnya), dinilai thiqah oleh Marwan bin Mu‘awiyah. Abu Hatim berkata: Beliau seorang yang jujur, namun ada banyak kesalahan dan kelalaian (dalam hafazannya).” (Lihat Majma‘ al-Zawa’id, 2/231)
Tuntasnya, fadilat dan ganjaran Solat Sunat selepas Isyak sebanyak 4 rakaat adalah menyamai pahala Lailatulqadar telah diriwayatkan di dalam hadith-hadith yang dinisbahkan kepada Rasulullah SAW. Sanad-sanad hadith tersebut dinilai daif oleh ahli Hadith, sebaliknya hadith ini lebih sahih dan tepat merupakan kata-kata Ka‘b al-Ahbar, seorang ilmuan Tabi‘in di zaman Salaf sepertimana yang dinilai oleh Imam al-Baihaqi. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 2/671)
Namun kelemahan ini masih berada pada kategori lemah yang ringan, iaitu al-da‘f al-yasir (الضَّعْفُ الْيَسِيرُ). Para Muhaddithin menerima hadith daif ringan untuk diamalkan dan disebarkan terutamanya di dalam bab Fadha’il al-A‘mal (ganjaran dan keutamaan amalan-amalan baik). Imam al- ‘Iraqi berdendang berkenaan prinsip ini di sisi Ahli Hadith:
فَإِنْ يُقَلْ يُحْتَجُّ بِالضَّعِيفِ … فَقُلْ إِذَا كَانَ مِنَ الْمَوْصُوفِ
رُوَاتُهُ بِسُوءِ حِفْظٍ يُجْبَرُ … بِكَوْنِهِ مِنْ غَيْرِ وَجْهٍ يُذْكَرُ
وَإِنْ يَكُنْ لِكَذِبٍ أَوْ شَذَّا … أَوْ قَوِيَ الضَّعْفُ فَلَمْ يُجْبَرْ ذَا
Jika ada yang kata, hadith Daif juga turut boleh diguna,
Katakanlah: Ya boleh guna dengan syarat, iaitu mestilah menepati cirinya:
Perawinya bermasalah pada kekuatan hafazan sahaja,
Dan ia menguat kerana ada jalur lain menyokongnya,
Jika perawi itu berbohong atau berlaku situasi Syaz padanya,
Atau kelemahan itu terlalu besar; maka tidak boleh diguna.”
(Lihat Alfiyah al-Hadith atau al-Tabsirah wa al-Tazkirah oleh al-Hafiz al-‘Iraqi, hlm. 108)
Tambahan pula, amalan menunaikan Solat Sunat sebanyak 4 rakaat selepas Solat Fardu Isyak merupakan amalan para Salafussoleh dan diriwayatkan secara mauquf (disandarkan kepada Sahabat Nabi) dan maqtu‘ (disandarkan kepada Tabi‘in) dengan jalur yang banyak daripada mereka; seperti ‘Abdullah bin ‘Amru bin al- ‘As, Sa‘id bin Jubair, ‘Alqamah, al-Aswad, Mujahid bin Jabr, ‘Abd al-Rahman bin al-Aswad dan lain-lain ulama Salaf sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muhammad bin Nasr al-Marwazi. (Lihat Mukhtasar Qiyam al-Lail wa Qiyam Ramadhan wa Kitab al-Witr, hlm. 92)
Riwayat-riwayat mauquf yang sahih seperti ini boleh diterima dan diamalkan. Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani sendiri berkata selepas membuktikan kelemahan riwayat yang marfu’ (yang disandarkan kepada Nabi) dan menyenaraikan riwayat-riwayat mauquf dan maqtu’:
“Meskipun hadith-hadith ini berstatus mauquf (perkataan para Sahabat sahaja); namun ia memiliki hukum marfu’ (seakan-akan Rasulullah SAW sendiri yang mengarahkannya, mengajarkannya) kerana fadilat ini tidak boleh dikatakan hasil daripada dapatan akal semata-mata, sepertimana yang zahir.” (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, 11/103)
Dalam masa yang sama kami menasihatkan agar beramal dan berpegang dengan hadith-hadith yang sahih dan lebih pasti kesahihannya. Utamakanlah penyebaran hadith-hadith sahih kerana pada hadith yang sahih terdapat sesuatu yang wajib kita fokuskan dan beri perhatian yang tinggi. Sebagaimana yang sentiasa kami nyatakan dalam Fadhail al-A’mal, kami lebih cenderung kepada boleh beramal dengan hadith dhaif sebagaimana jumhur ulama berpendapat demikian. Semoga Allah kurniakan kepada kita amalan yang diterima. Kami akhiri dengan:
اللهم إني أسألُك عِلمًا نافعًا، وعملًا مُتَقَبَّلًا، ورِزْقًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, kurniakanlah aku ilmu yang bermanfaat, amalan yang diterima dan rezeki yang baik.”
Wallahu a‘lam.