Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah ganjaran dan kurniaan Allah kepada yang mentaati Allah dengan sungguh-sungguh di akhirat kelak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (3) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (4) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ (7) وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ (8) وَالَّذِينَ هُمْ عَلَىٰ صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9) أُولَٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ (11)

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: –  Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;  Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi –  Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

(Surah al-Mu’minun: 1-11)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang menyebut balasan akhirat bagi yang bertakwa dan beramal soleh, katanya:

Pertama: Pertamanya, Allah SWT meringankan baginya sakaratul maut, yang hal itu telah membuat gementar pada hati para Nabi terhadapnya. Sehinggakan, mereka meminta kepada Allah SWT agar diringankan bagi mereka sakaratul maut itu. Hingga di antara mereka ada yang dicabut nyawanya seperti orang haus yang tengah minum air yang segar. Sebagaimana Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ تَتَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ طَيِّبِينَ

Maksudnya: “(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat).”[1]

(Surah al-Nahl: 32)

Kedua: Mendapatkan keteguhan dalam makrifat dan keimanan. Ini masalah yang paling dikhuatiri dan ditakuti hilang dari seorang hamba, dan yang paling ditangisi dan paling membuatkan seseorang sedih apabila ia tiada. Allah SWT berfirman:

 يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat.[2]

 (Surah Ibrahim: 27)

Ketiga: Allah SWT melimpahkan kenikmatan dan ketenteraman di hati di saat kematiannya. Ia akan diberi khabar gembira tentang syurga yang sedia menyambutnya, dengan tenang dan penuh kepuasan. Allah SWT berfirman:

أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ

Maksudnya: “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’”[3]

(Surah Fussilat: 30)

Maka ia tidak akan takut dengan apa yang akan diperolehnya di akhirat, dan tidak sedih dengan apa yang terlepas darinya di dunia.

Keempat: Allah SWT menjadikannya kekal di syurga dan berjiran dengan Tuhan Yang Maha Pengasih.

Kelima: Pada saat wafat, rohnya akan dihiasi dengan sinar kilauan, dan ia akan dimuliakan di hadapan para malaikat. Jenazahnya juga akan dimuliakan oleh orang-orang, dipikul dan dimasukan ke liang lahat dengan penuh penghargaan. Dan ribuan muslimin akan menyembahyangkan jenazahnya dengan penuh hormat. Mereka yang mengiringi jenazah wali Allah itu akan berlumba-lumba untuk boleh memikul si jenazah berganti-ganti.

Keenam: Dapat menjawab pertanyaan di kubur dengan lancar dan benar, sehingga ia terbebas dari seksa dan ketakutan di dalam kubur.

Ketujuh: Diluaskan kubur dan diterangi sehingga ia seumpama berada di suatu kebun syurga, hingga terjadi hari kiamat.

Kelapan: Rohnya merasa tenteram dan senang, meskipun harus berpisah dengan jasad. Rohnya dimuliakan dengan disimpan bersama roh orang-orang soleh.

Kesembilan: Dikumpulkan di Padang Mahsyar dalam keadaan mulia, dan ia datang dengan menunggang buraq dengan mahkota yang indah.

Kesepuluh: Wajahnya jernih dan bercahaya. Allah SWT berfirman,

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ (22) إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ (23)

Maksudnya: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.”[4]

(Surah al-Qiyamah: 22-23)

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ مُّسْفِرَةٌ (38) ضَاحِكَةٌ مُّسْتَبْشِرَةٌ (39)

Maksudnya: “Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, Tertawa, lagi bersuka ria.”[5]

 (Surah ‘Abasa: 38-39)

Kesebelas: Ia akan aman dari malapetaka hari kiamat. Firman Allah SWT:

 أَم مَّن يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Atau orang yang datang dalam keadaan aman dan selamat pada hari kiamat?”[6]

(Surah Fussilat: 40)

Kedua belas: Menerima catatan perbuatan dengan tangan kanan, bahkan di antara mereka ada yang terus memegang catatan amalnya.

Ketiga belas: Dipermudahkan perhitungan amal perbuatan (hisab)nya, bahkan ada yang tidak dihisab sama sekali.

Keempat belas: Beratnya timbangan amal kebaikan mereka, dan di antara mereka ada yang tidak dipanggil ke hadapan sama sekali, untuk ditimbang amalnya.

Kelima belas: Diperkenankan untuk mendatangi telaga Nabi SAW, lalu ia meminum satu tegukan, yang kemudian sesudah itu tidak akan merasa dahaga selamanya.

Keenam belas: Berhasil melalui Sirat (jambatan penyeberangan di antara syurga dan neraka) dan selamat dari jilatan api neraka. Sehinggakan, di antara mereka ada yang tidak mendengar suara desingannya, dan mereka berada dalam ketenangan jiwa, serta kekal di dalamnya. Sedangkan, api dipadamkan bagi mereka.

Ketujuh belas: Memberi syafa’at di Padang Mahsyar, seperti para Nabi dan Rasul.

Kelapan belas: Memperolehi kerajaan abadi di syurga.

Kesembilan belas: Memperolehi keredhaan yang paling besar.

Kedua puluh: Berjumpa dengan Tuhan sekalian alam, Rabb orang-orang yang terdahulu dan yang terakhir, yang tidak dapat dipertanyakan lagi keagungan-Nya.

Imam al-Ghazali menambah dengan katanya: Aku telah menghitung hal itu sesuai dengan pemahamanku dan jangkauan ilmuku dalam segala keterbatasan serta kekurangannya. Sekalipun demikian, itu semua bersifat garis besar dan ringkasan. Ini kerana, jika kami perincikan sebahagian sahaja, maka tidak akan cukup dimuatkan di dalam kitab yang sederhana ini. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 370-372)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

 

Nota Hujung:

[1] Ibn Kathir menyatakan: Kemudian Allah Ta’ala memberitahu tentang keadaan mereka ketika saat kematian, bahawa mereka adalah orang-orang yang baik, iaitu yang suci daripada syirik, dosa, dan segala keburukan. Para malaikat memberikan salam kepada mereka dan memberi khabar gembira dengan syurga. Seperti yang Allah firmankan: “Sesungguhnya orang-orang yang berkata: ‘Tuhan kami adalah Allah,’ kemudian mereka tetap teguh, malaikat akan turun kepada mereka dengan berkata: ‘Janganlah kamu takut dan jangan bersedih hati, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kami adalah pelindung-pelindung kamu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya kamu akan memperoleh apa yang kamu inginkan dan apa yang kamu minta, sebagai hidangan dari Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.'” (Surah Fussilat: 30-32).

Kami juga telah menyebutkan hadis-hadis berkaitan dengan pencabutan roh orang beriman dan roh orang kafir ketika menjelaskan firman Allah Ta’ala: “Allah meneguhkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh di dunia dan di akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Dia melakukan apa yang Dia kehendaki.” (Surah Ibrahim: 27).(Lihat Tafsir al-Quran al-Azim,

[2] Syeikh al-Sa’di menyatakan: Allah memberitahu bahawa Dia meneguhkan hamba-hamba-Nya yang beriman, iaitu mereka yang melaksanakan kewajipan iman dalam hati yang sempurna, yang membawa kepada amal perbuatan anggota badan dan menghasilkannya. Allah meneguhkan mereka di dunia ketika menghadapi syubhat dengan memberi hidayah kepada keyakinan, dan ketika godaan syahwat dengan keazaman kuat untuk mengutamakan apa yang Allah cintai berbanding hawa nafsu dan kehendaknya.

Di akhirat pula, Allah meneguhkan mereka pada saat kematian dengan tetap berada dalam agama Islam dan memberikan mereka kesudahan yang baik. Di dalam kubur, ketika ditanya oleh dua malaikat, mereka diberi kemampuan untuk menjawab dengan benar. Apabila ditanya kepada mayat, “Siapakah Tuhanmu? Apakah agamamu? Dan siapakah nabimu?” maka Allah memberikan mereka hidayah untuk menjawab dengan benar, bahawa orang beriman akan berkata, “Tuhanku adalah Allah, agamaku adalah Islam, dan nabiku adalah Muhammad.”

“Dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim” daripada kebenaran di dunia dan akhirat. Allah tidak menzalimi mereka, tetapi mereka menzalimi diri mereka sendiri. Ayat ini menunjukkan adanya fitnah (ujian) kubur, azabnya, dan nikmatnya, sebagaimana telah banyak disebutkan dalam hadis-hadis Nabi SAW yang menerangkan tentang fitnah kubur, sifatnya, serta nikmat dan azab di dalamnya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 425)

[3] Ibn Kathir berkata: Firman Allah Ta’ala: (Sesungguhnya orang-orang yang berkata: “Tuhan kami adalah Allah,” kemudian mereka tetap teguh) bermaksud: Mereka ikhlas dalam amal mereka kepada Allah dan beramal dengan ketaatan kepada Allah Ta’ala mengikut apa yang telah disyariatkan kepada mereka.

Seterusnya, Firman Allah: (Para malaikat akan turun kepada mereka) Mujahid, al-Suddi, Zaid bin Aslam dan anaknya berkata: Maksudnya ketika kematian mereka, sambil berkata: (Janganlah kamu takut) Mujahid, ‘Ikrimah, dan Zaid bin Aslam berkata: Ini merujuk kepada apa yang akan kamu hadapi di akhirat. (Dan janganlah kamu bersedih) maksudnya atas perkara yang kamu tinggalkan di dunia, seperti anak-anak, keluarga, harta, atau hutang, kerana Kami akan menjaga semua itu untuk kamu. (Dan bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu). Mereka akan membawa berita gembira tentang hilangnya keburukan dan datangnya kebaikan.(Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/175)

[4] Syeikh al-Sa’di berkata: Kemudian Allah menyebutkan apa yang mendorong manusia untuk mengutamakan akhirat, dengan menjelaskan keadaan para penghuninya dan perbezaan mereka di dalamnya. Allah berfirman tentang ganjaran bagi mereka yang mengutamakan akhirat daripada dunia: (Wajah-wajah pada hari itu berseri-seri) bermaksud: Wajah-wajah mereka akan menjadi indah dan bercahaya, penuh dengan keanggunan dan cahaya, disebabkan nikmat yang mereka rasai dalam hati mereka, kegembiraan jiwa, dan kenikmatan roh. (Melihat kepada Tuhan mereka) bermaksud: Mereka akan melihat kepada Tuhan mereka mengikut darjat masing-masing. Ada di antara mereka yang dapat melihat Tuhan setiap pagi dan petang, dan ada yang dapat melihat-Nya sekali setiap Jumaat. Mereka akan menikmati melihat wajah-Nya yang mulia dan keindahan-Nya yang tiada bandingannya. Apabila mereka melihat-Nya, mereka akan lupa segala nikmat yang sedang mereka rasai, dan akan memperoleh kebahagiaan dan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan. Wajah-wajah mereka akan menjadi lebih berseri dan bertambah indah. Kita memohon kepada Allah yang Maha Pemurah agar menjadikan kita bersama mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 899)

[5] Ibn Kathir menyatakan: “Dan firman-Nya: (Pada hari itu wajah-wajah akan berseri-seri, tertawa dan bergembira). Maksudnya, manusia pada hari itu akan terbahagi kepada dua golongan. (Wajah-wajah pada hari itu berseri-seri) bermaksud wajah-wajah mereka akan bercahaya. (Tertawa dan bergembira) bermaksud mereka akan merasa gembira dan ceria kerana kegembiraan di hati mereka telah terlihat jelas pada wajah-wajah mereka. Mereka inilah ahli syurga.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 8/327)

[6] Al-Baghawi berkata: “(Sesungguhnya orang-orang yang menyimpang dalam ayat-ayat Kami) bermaksud mereka berpaling daripada kebenaran yang terdapat dalam bukti-bukti Kami. Mujahid berkata: Mereka menyimpang dalam ayat-ayat Kami dengan pelbagai gangguan, seperti bersiul, bertepuk tangan, bercakap kosong, dan membuat bising. Qatadah berkata: Mereka berdusta tentang ayat-ayat Kami. Al-Suddi pula berkata: Mereka bersikap keras kepala dan menentang. Maqatil berkata: Ayat ini diturunkan mengenai Abu Jahal.

(Mereka tidak tersembunyi daripada Kami. Maka adakah orang yang dilemparkan ke dalam neraka) iaitu Abu Jahal, (lebih baik atau orang yang datang dalam keadaan aman pada hari kiamat?) Ada yang mengatakan ini merujuk kepada Hamzah, dan ada yang mengatakan ia merujuk kepada Uthman, dan ada juga yang mengatakan kepada Ammar bin Yasir.

(Lakukanlah apa yang kamu kehendaki) ini adalah perintah ancaman dan amaran, (Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan) bermaksud Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan, dan Dia akan membalas kamu dengan apa yang kamu kerjakan.” (Lihat Tafsir al-Baghawi 7/175)

Leave a Reply