Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh atau tidak kita azan awal seminit?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa’: 103)

Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3)

Takrif Azan

Takrif azan di sisi Imam Ibn Hajar al-Haitami adalah:

“Zikir khusus yang disyariatkan secara asalnya untuk memberitahu kepada orang ramai tentang masuk waktu waktu solat-solat fardu.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 1/460)

Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani berkata: “Perkataan beliau (Syeikh Ibn Hajar al-Haitami) “secara asalnya” adalah untuk mengisyaratkan bahawa ada juga keadaan yang dituntut untuk melaungkan azan meskipun di luar waktu seperti azan di telinga orang yang sedang berduka (kerana putus cinta) dan lain-lain sebab (yang diriwayatkan).” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj, 1/460)

Berdasarkan takrif di atas, kita tahu bahawa:

  • Azan adalah zikir yang khusus, ditetapkan oleh dalil syara’ (tauqifi)
  • Azan disyariatkan ketika masa yang khusus dan tertentu.
  • Antara masa tersebut adalah: ketika masuk waktu solat, azan di telinga orang yang sedang berduka dan lain-lain sebab yang disebut di dalam athar.

Berdasarkan pernyataan ini, terdapat waktu dan keadaan khusus untuk melaungkan azan.

Imam Zainuddin al-Malibari mengatakan: “Disunatkan untuk mengumandangkan azan di beberapa tempat selain ketika masuk waktu solat, iaitu ketika:

  • Di telinga orang yang kemurungan
  • Di telinga orang yang dirasuk dan mengamuk
  • Di telinga orang yang terlalu marah
  • Di telinga orang atau haiwan yang buruk atau kasar perangainya
  • Ketika berlakunya api marak dan kebakaran
  • Ketika hantu atau syaitan menjelma di hadapan
  • Di belakang rombongan musafir ketika hendak pergi
  • Di telinga kanan bayi, dan iqamah di telinga kiri bayi.” (Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-‘Ain, hal. 150)

Syeikh Daud al-Fatani mengatakan: “Disunatkan bang (azan) selain solat 5 waktu seperti pada waktu:

  • Dibangkan pada telinga orang yang banyak percintaan kerana menghilang bagi percintaan.
  • Pada orang dan binatang yang jahat perangainya
  • Telinga orang yang dimasuk oleh syaitan
  • Telinga orang yang sangat marah
  • Tatkala kebakaran
  • Tatkala berdempik (bertembung) tentera peperangan
  • Bang dan iqamat di belakang orang yang musafir
  • Apabila sangat keras kejahatan jin kerana bang itu menolakkan ia akan kejahatan kerana syaitan apabila mendengar bang berpaling ia lari.”(Lihat Bughyah al-Tullab li Murid Ma‘rifah al-Ahkam bi al-Sawab, hlm. 174)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak boleh untuk seorang bilal itu melaungkan azan sebelum waktunya meskipun hanya seminit. Hal ini kerana solat mempunyai waktu yang telah ditetapkan waktunya. Begitu juga, solat atau berbuka puasa yang dilakukan sebelum waktunya akan menyebabkan solat atau puasa seseorang itu tidak sah. Oleh itu, azan perlu dilaungkan apabila telah tiba waktunya.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.

Leave a Reply