Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah pergi ke konsert yang mana penyanyinya adalah artis lelaki? Kalau artis perempuan tidak boleh sebab aurat, betulkah ustaz?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Muzik adalah hiburan jiwa bagi manusia. Namun sebahagian manusia lebih cenderung memilih hiburan muzik dan mengutamakannya berbanding ketenangan yang hakiki iaitu al-Quran, Kalam Allah yang Maha Esa. Ini bukanlah pilihan Mukmin yang sejati. Allah SWT berfirman berkenaannya dalam al-Quran al-Karim:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن یَشۡتَرِی لَهۡوَ ٱلۡحَدِیثِ لِیُضِلَّ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِ بِغَیۡرِ عِلۡمࣲ وَیَتَّخِذَهَا هُزُوًاۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ لَهُمۡ عَذَابࣱ مُّهِینࣱ

Maksudnya: “Dalam kalangan manusia itu ada yang mengambil alat-alatan yang melalaikan untuk menyimpang daripada jalan Allah tanpa sebarang hujah alasan yang kukuh dan menjadikannya sebagai bahan olokan (mempersenda agama Allah); mereka itulah orang-orang yang bakal beroleh azab yang menghinakan mereka kelak.”

(Surah Luqman: 6)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas secara panjang lebar, beliau menegaskan dalam tafsirnya: “Makna firman Allah: “mengambil alat-alatan yang melalaikan” iaitu; menukar dan memilih nyanyian, alat muzik dan perkusi berbanding al-Quran. Abu al-Sabba’ al-Bakri berkata: “Aku bertanya kepada Abdullah bin Mas‘ud tentang makna ayat ini, lalu beliau menjawab: ‘Ayat ini adalah tentang nyanyian, demi Allah yang tiada Tuhan berhak disembah melainkan Dia.’ Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.” Kemudian beliau menukilkan pula daripada Ibrahim al-Nakha‘i yang menyatakan: “Nyanyian itu menumbuhkan kemunafikan di dalam hati.” Para ulama ashab kita (Syafi‘iyyah) bersikap keras dengan sekalian para penyanyi dan pemain alat gendangan. Malah, ada pendapat menyatakan bahawa nyanyian adalah jampi pendorong kepada zina. Ibn Juraij menafsirkan alatan tersebut sebagai gendang. Manakala terdapat riwayat daripada al-Dhahhak yang menafsirkannya sebagai syirik. Qatadah pula menafsirkan sebagai setiap alatan yang dijadikan alat mainan dan berseronok. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 6/284)

Hukum Nyanyian Tanpa Alat Muzik

Hukum nyanyian atau bersyair serta berqasidah tanpa disertai alat muzik mempunyai perincian dan penjelasan khusus dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i. Imam al-Mawardi membahagikan hukum nyanyian dan syair seperti berikut:

  • Mustahab (Dianjurkan): jika nyanyian/syair itu mengingatkan tentang akhirat dan berpesan tentang tipu daya duniawi, atau mengajak kepada akhlak-akhlak yang baik.
  • Harus: jika nyanyian/syair itu tiada unsur buruk, keji, lucah dan dusta.
  • Haram: jika nyanyian/syair itu berunsur buruk, keji, lucah dan dusta.”

(Lihat al-Hawi al-Kabir, 17/202)

Pembahagian Imam al-Mawardi dalam al-Hawi ini diterima dan dipuji oleh Imam Syihabuddin al-Azra‘i, seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Maka dapat kita ketahui, ada nyanyian yang halal dan ada juga nyanyian yang haram. Nyanyian yang haram adalah nyanyian yang mengandungi lirik yang dusta, buruk, keji dan lucah, serta diiringi alat muzik bertali. Perbuatan ini dilarang sama sekali, sama ada di dalam masjid atau di luar masjid.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan lebih lanjut dan menegaskan kebolehan menyanyikan lagu yang baik: “Maka, kita ketahui bahawa setiap nyanyian dan syair yang berunsur menggalakkan agar melakukan amal ibadah dan ketaatan, atau mengandungi unsur hikmah kebijaksanaan, atau menggesa akhlak yang baik, kezuhudan dan yang sama erti dengannya berupa unsur kebaikan, seperti menyuruh melakukan amal ibadat dan amalan sunat, menghindari maksiat; maka semua dendangan dan nyanyian yang berunsur sedemikian ini hukumnya adalah sunnah. Ini merupakan fatwa ramai para Imam kita. Pendapat ini begitu zahir kebenarannya, kerana nyanyian seperti itu adalah jalan pendorong kepada ketaatan. Wasilah itu juga merupakan amal ketaatan.” (Lihat Kaff al-Ri‘a’ ‘an Muharramat al-Lahwi wa al-Sama’, hlm. 27)

Kesimpulannya, fatwa para ashab menegaskan bahawa lagu yang lirik baik adalah harus dan halal. Manakala, lagu yang liriknya buruk dan jahat hukumnya adalah haram dan bermaksiat.

Nyanyian Ajnabiyah

Berhubung dengan soalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum mendengar nyanyian daripada wanita ajnabiyah adalah khilaf dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i sendiri. Perbezaan tersebut dinukilkan oleh Imam Badruddin al-Zarkasyi seperti berikut:

  1. Makruh, jika tidak timbul syahwat. Jika timbul syahwat, haram. Ini merupakan pendapat ashabseperti Imam Abu al-Mahasin al-Ruyani, Imam Ibn al-Muqri dan lain-lain.
  2. Haram secara mutlak. Ini merupakan pilihan Imam al-Qadhi Abu al-Tayyib.

Imam Abu al-Mahasin al-Ruyani dan sebahagian ashab menghukum nyanyian ajnabiyah sebagai makruh dan sewajarnya dielakkan oleh setiap Muslim yang bertakwa. Sekiranya ia mendorong kepada syahwat yang membangkit, maka ia menjadi haram secara mutlak. Perkara ini merupakan salah satu pendapat utama mazhab yang turut difatwakan oleh Imam Ibn al-Muqri al-Syafi‘i.

Imam Ibn al-Muqri al-Syafi‘i memfatwakan menerusi nas beliau:

الغِنَاءُ وَسَمَاعُهُ بِلَا آلَةٍ مَكْرُوهٌ وَمِنَ الأَجْنَبِيَّةِ أَشَدُّ (مَكْرُوهًا) فَإِنْ خِيفَ فِتْنَةٌ فَحَرَامٌ قَطْعًا

Maksudnya: “Nyanyian dan mendengarnya tanpa alat muzik hukumnya adalah makruh, adapun mendengar nyanyian (tanpa muzik) daripada wanita ajnabiyyah maka lebih berat lagi hukum makruhnya; adapun jika dibimbangi menimbulkan fitnah, maka ia akan menjadi haram serta-merta.” (Lihat Raudh al-Talib wa Nihayah Matlab al-Raghib, 2/794).

Manakala, sebahagian ulama mazhab al-Syafi‘i seperti al-Qadhi Abu al-Tayyib al-Tabari pula memfatwakan pengharamannya. Imam al-Zarkasyi menyatakan: “Imam al-Ruyani berpendapat, suara perempuan bukan aurat, beliau menegaskannya ketika mensyarahkan berkenaan bab talbiyah, dan menyebutkannya dalam kitab al-Syahadat bahawa: Mendengar nyanyian daripada wanita ajnabiyah adalah makruh. Manakala, al-Qadhi Abu al-Tayyib menukilkan fatwa haram mendengarnya (nyanyian wanita ajnabiyah). Perkara ini terbina di atas khilaf: adakah suara wanita itu aurat atau tidak.” (Lihat Khabaya al-Zawaya, hlm. 90)

Hadir Ke Konsert

Di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i, menghadiri konsert nyanyian meskipun konsert tersebut berciri seperti berikut:

  1. Nyanyian didendangkan tanpa alat muzik yang diharamkan seperti alat muzik bertali.
  2. Nyanyian berbentuk lirik-lirik yang harus dan mubah.
  3. Penyanyi tidak membangkitkan syahwat.

Adalah tetap dinilai sebagai makruh tanzih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i; sama ada konsert penyanyi lelaki mahupun penyanyi perempuan. Sama sahaja hukumnya di sisi mazhab al-Syafi‘i seperti yang difatwakan oleh Imam Ibn al-Sabbagh di dalam kitab al-Syamil dan Imam al-Ruyani di dalam kitab al-Bahr.

Sesiapa yang menghadirinya pada zaman ulama dahulu dikira sebagai jatuh maruah dan tertolak kesaksiannya di sisi Qadhi. Imam Ibn al-Rif‘ah berkata: “Sekiranya seseorang dilihat terlalu bergelumang di dalam rumah-rumah (tempat) nyanyian, dan dirinya kerap menenggelamkan diri dengan nyanyian para penyanyi. Sekiranya dia datang dalam keadaan senyap-senyap dan rahsia, maka kesaksiannya tidak tertolak, kerana ia tidak menjatuhkan maruahnya secara terang. Sekiranya dia menzahirkannya, jika sedikit sahaja penglibatannya dan tidak terlalu banyak (lama), maka kesaksiannya belum tertolak. Jika terlalu banyak, barulah ia tertolak; kerana menghadirinya merupakan tindakan memperbodohkan diri dan menjatuhkan maruah. Kenyataan di dalam al-Syamil dan al-Bahr menegaskan bahawa para ashab tidak membezakan antara lelaki mahu pun perempuan apabila mendengar nyanyian lelaki mahupun perempuan.” (Lihat Kifayah al-Nabih fi Syarh al-Tanbih, 19/116)

Meskipun ia tidak dinilai haram, namun ia seeloknya dielakkan dan tidak dijadikan sebagai suatu rutin atau kelaziman bagi seorang yang berjati diri Muslim dan Mukmin yang bertaqwa.

Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama terkemudian yang tidak mengharamkan nyanyian wanita secara mutlak. Sebahagian dalam kalangan mereka berdalilkan hadith daripada Aisyah R.Anha bahawa beliau pernah menghantar seorang pengantin wanita ke tempat pengantin lelaki daripada kalangan kaum Ansar. Lalu Rasulullah SAW berkata kepada beliau:

يَا عَائِشَةُ، مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ؟ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Maksudnya:Wahai Aisyah, apakah kamu semua tidak mempunyai hiburan untuk dimainkan? Sesungguhnya orang-orang Ansar menyukai hiburan.”

 Riwayat al-Bukhari (5162)

Dalam hadith lain yang dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menerusi riwayat Syarik bin Abdullah dan turut diriwayatkan juga oleh ahli hadith yang lain menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْأَنْصَارَ قَوْمٌ فِيهِمْ غَزَلٌ، فهل بعثتم معها جاريةً، تضرب بالدفّ،وتُغنّي؟ قلت: تقول: ماذا؟ قال: تقول:

أتيناكُم أتيناكُمْ … فَحَيَّانَا وَحَيَّاكُمْ

وَلَوْلا الذَّهَبُ الأَحْمَـ … ـرُ ما حَلَّتْ بِوَادِيكُمْ

وَلَوْلا الحِنطَةُ السَّمرا … ءُ ما سَمِنَت عَذَارِيكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya kaum Ansar itu kaum yang terdapat dalam kalangan mereka (tradisi) menyanyikan ghazal (nyanyian sambut-menyambut), kalau boleh sekalikan bersama rombongan mereka budak perempuan yang memainkan gendang dan menyanyi.” Aku tanya Baginda: “Mahu nyanyikan apa?” Baginda menjawab: “Nyanyi seperti:

“Kami datang kepada kamu! Kami datang kepada kamu!

Selamat bagi kami, selamat bagi kamu!

Jika bukan kerana emas merah yang subur, tiadalah indah lembah kalian.

Jika bukan kerana gandum yang memerah, tidak berisi kanak-kanak kalian.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3265); dinilai hasan oleh Syeikh al-Albani dalam Tahrim Alat al-Tarb (133), dinilai dha‘if oleh Imam al-Tabarani sendiri disebabkan Muhammad bin Abu al-Sarri bersendirian dalam meriwayatkannya. Begitu juga dinilai dha‘if oleh Imam al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (4/292) kerana perawi bernama Daud bin al-Jarrah.

Mereka berhujahkan bahawa Nabi mencadangkan agar didatangkan budak-budak perempuan atau perempuan muda yang mengiringi rombongan sambil menyanyi dan memukul rebana untuk meraikan majlis kegembiraan.

Antara fuqaha al-Syafi‘iyyah yang membentangkan hujah membenarkan nyanyian dan alatan muzik secara mutlak serta mengharuskan pergi ke konsert nyanyian (dengan syarat yang ditetapkan) adalah al- ‘Allamah Kamaluddin Abu al-Fadhl; Ja‘far bin Tha‘lab al-Idfuwi al-Syafi‘i dalam kalangan muta’akhkhirin al-Syafi‘iyyah di Mesir. Beliau menukilkan hujah-hujah pengharusan dalam kitabnya al-Imta‘ bi Ahkam al-Sama‘.

Meskipun pendapat beliau dikecam hebat oleh ulama mazhab al-Syafi‘i yang lain, namun kitab beliau dipuji oleh para fuqaha al-Syafi‘iyyah utama seperti Imam Tajuddin al-Subki dalam kitab al-Tausyihdan turut dipuji oleh Imam al-Isnawi. Di dalamnya, Imam al-Idfuwi meriwayatkan riwayat dan athar para Salaf yang turut mendengar nyanyian bahkan nyanyian wanita.

Imam al-Idfuwi menukilkan daripada kitab Safwah al-Tasawuf bahawa al-Hafiz Muhammad bin Tahir al-Maqdisi meriwayatkan bahawa al-Sya‘bi pernah terserempak dengan seorang perempuan muda yang menyanyi. Perempuan muda itu mendendangkan:

فُتِنَ الشَّـــعْبِيُّ لَمَّا…

Maksudnya: “Al-Sya‘bi itu terpesona dan terkesima apabila…”

Lantas, al-Sya‘bi pun berkata: “Engkau sambung dengan lirik ini:

رَفَعَ الطَّرْفَ إِلَيْهَا

Maksudnya: “Apabila memandang si gadis itu.”

(Lihat al-Imta‘ bi Ahkam al-Sama‘, hlm. 148)

Garis Panduan Berhibur JAKIM

Merujuk kepada Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), terdapat beberapa etika yang perlu diambil perhatian ketika melakukan persembahan hiburan termasuklah:

  1. Keperibadian
  2. Peribadi yang mulia dan akhlak yang baik hendaklah sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan sesuai dengan mesej yang dibawa; dan
  3. Tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah sama ada di bawah undang-undang syariah atau sivil.
  4. Penampilan
  5. Penampilan yang sopan dan beradab hendaklah sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan;
  6. Berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam;

iii. Adab berpakaian, tatarias dan dandanan rambut yang tidak menyerupai jantina yang berlainan; dan

  1. Hiasan dan dandanan hendaklah pada kadar yang bersesuaian dan sederhana sesuai dengan uruf masyarakat.
  2. Seni Pentas
  3. Ucapan, gerak laku dan sebagainya yang tidak mengandungi simbol-simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai-nilai Islam;
  4. Sensitiviti mana-mana agama, budaya dan bangsa hendaklah sentiasa dipelihara;

iii. Dalam keadaan yang bersesuaian untuk mengelakkan rasa tidak disenangi oleh orang yang mendengar dan menonton;

  1. Plot penceritaan yang bukan realiti dan berasaskan khayalan adalah dibenarkan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang baik;
  2. Lawak jenaka hendaklah berpada-pada dan tidak melampaui batas iaitu sehingga membawa kepada ketawa yang melampau;
  3. Lawak jenaka tidak boleh dilakukan pada perkara yang serius dan pada perkara yang perlu ditangisi;

vii. Tidak mengandungi unsur pendustaan pada sesuatu fakta, kata-kata kesat, lucah atau fitnah;

viii. Tidak mengandungi unsur yang menimbulkan penghinaan terhadap mana-mana individu atau organisasi;

  1. Tidak mengandungi unsur keganasan;
  2. Tidak menimbulkan trauma atau gangguan emosi;dan
  3. Tidak melakonkan watak menyerupai jantina yang berlainan.
  4. Nyanyian
  5. Gerak laku, nyanyian, ucapan dan sebagainya yang tidak mengandungi simbol-simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan ajaran dan nilai-nilai Islam;
  6. Berinteraksi dengan penonton secara sopan sama ada melalui perkataan atau perbuatan;

iii. Keadaan fizikal, mental dan emosi penyanyi berada pada tahap yang baik;

  1. Persembahan diadakan dalam keadaan yang terkawal; dan
  2. Tingkah laku tidak liar serta melampaui batas.

 Lirik

  1. Mengandungi kebaikan dan nilai-nilai murni;
  2. Memberi kesedaran dan membawa kepada keinsafan;

iii. Selari dengan adab kesopanan;

  1. Sensitiviti mana-mana agama, bangsa dan negara hendaklah sentiasa dipelihara;
  2. Boleh menggunakan terjemahan al-Quran dan hadith dengan menjaga adab yang selaras dengan syarak;
  3. Ayat-ayat al-Quran tidak boleh dijadikan lirik lagu melainkan dengan kaedah iqtibas;

vii. Nasyid berbentuk doa adalah diharuskan;

viii. Tidak digalakkan menggunakan matan hadith kerana bimbang berlaku kesalahan pada sebutan yang boleh membawa perubahan pada makna;

  1. Tidak mengandungi kalimah syahadah yang tidak sempurna;
  2. Tidak mengandungi ungkapan yang memanipulasi terjemahan al-Quran dan hadith untuk tujuan yang salah;
  3. Tidak mengandungi ungkapan yang memanipulasi kalimah-kalimah suci dalam Islam untuk tujuan yang salah;

xii. Tidak mengandungi ungkapan mengutuk nasib dan mempersoalkan ketentuan Allah;

xiii. Tidak mengandungi pemujaan kepada makhluk dan peribadi lain;

xiv. Tidak mengandungi unsur lucah, membangkitkan nafsu atau lambang kata yang ditafsirkan lucah;

  1. Tidak mengandungi unsur maksiat atau membawa kepada pelakuan yang diharamkan;dan

xvi. Tidak mengandungi unsur penghinaan, aib, cacian, fitnah dan merendah-rendahkan seseorang.

Unsur Muzik

1- Mendorong kepada suasana positif;

2- Menyuntik ketenangan;

3- Membangkitkan semangat yang baik;

  1. Tidak melambangkan pemujaan atau yang dianggap sakral oleh penganut agama lain;
  2. Tidak mendorong kepada kekacauan dan ketidakseimbangan pemikiran sehingga boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah;
  3. Tidak membangkitkan emosi negatif yang bercanggah dengan ajaran Islam;

vii. Tidak mengganggu ketenteraman masyarakat awam; dan

viii. Tidak membawa kepada perbuatan maksiat.

Kesimpulan

Berdasarkan pernyataan di atas, kami simpulkan penegasan di sini bahawa pergi ke konsert nyanyian artis adalah harus bagi hak masyarakat awam apabila konsert hiburan tersebut menepati garis panduan syarak. Bagi mematuhi garis panduan syarak tersebut, kita boleh merujuk Garis Panduan Berhibur yang telah digazetkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).Manakala, hukum mendengar nyanyian wanita pula hanya tidak dilarang apabila nyanyiannya tidak menimbulkan fitnah atau membangkitkan syahwat para hadirin. Jika nyanyian wanita menimbulkan syahwat, maka hukumnya adalah haram secara mutlak. Begitu juga hukumnya dengan nyanyian lelaki.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply