Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Allahu akbar atau Allahu Akbor. Mana satu yang betul? Dan sebenarnya, apakah bacaan takbiratul ihram yang betul.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan dengan mengemukakan riwayat daripada Amirul Mukminin Ali bin Abu Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مِفْتَاحُ الصَّلَاةِ الطُّهُورُ وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
Maksudnya: “Kunci pertama untuk solat adalah bersuci. Yang menjadikan seseorang itu memasuki solatnya dan dilarang melakukan pembatal solat adalah Takbir, dan yang menghalalkannya (pengakhiran solat) adalah memberi salam.”
Riwayat Abu Daud (61) dan al-Tirmizi (3); dinilai hasan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Ijaz (252), dan dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin dalam Tuhfah al-Muhtaj (1/153)
Takbiratul Ihram merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilaksanakan dalam keadaan berdiri sepenuhnya, dengan menyebut semua hurufnya secara sempurna. Jika semua ini tidak dipenuhi, nescaya solat seseorang tersebut tidak sah. Imam Muhyiddin al-Nawawi berkata: “Diwajibkan untuk melaksanakan Takbiratul Ihram dalam keadaan berdiri kerana ia suatu perkara rukun wajib; demikian juga seorang makmum masbuq yang sempat menggapai solat bersama imam, sedangkan imam sedang rukuk. Mestilah makmum masbuq itu melaksanakan Takbiratul Ihram dengan menyebut semua hurufnya dalam keadaan berdiri. Sekiranya dia menyebut salah satu huruf dalam keadaan tidak berdiri; maka solatnya itu tidak dikira sebagai solat fardhu, dan tiada perbezaan pendapat tentang hukum ini.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/296)
Berhubung soalan di atas, kami senaraikan beberapa hukum-hakam Takbiratul Ihram seperti yang tertera di dalam kitab-kitab muktabar mazhab al-Syafi‘iyyah seperti kitab Majmu‘ dan kitab Kifayah seperti berikut:
- Wajib melafazkan semua hurufnya dengan makhraj dan baris yang betul dan tepat, iaitu Allahu Akbar [اللهُ أَكْبَرُ]. Imam al-Syafi‘i mengatakan: Jika gugur satu huruf, solat menjadi batal dan tidak sah. Menggugurkan satu huruf dinamakan sebagai perbuatan tahrif.
- Disunatkan untuk melafazkan Takbiratul Ihram secara cepat sahaja dan tidak terlalu memanjangkannya, ini merupakan qaul jadid Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Umm. Manakala, Imam al-Mutawalli menukilkan satu wajah mengatakan: dianjurkan untuk memanjangkan sebutan Takbiratul Ihram.
- Mestilah mempelajari dan melafazkannya di dalam Bahasa Arab.
- Bagi yang tidak mampu untuk menyebut lafaz Arab, dibenarkan untuk menterjemahkan Takbir ke dalam bahasa selain Arab yang dirinya tuturkan dan fahami; menurut pendapat asah [الْأَصَحُّ] di dalam mazhab.
- Dibolehkan menyebut Takbiratul Ihram dengan dua cara sahaja; iaitu Allahu Akbar [اللهُ أَكْبَرُ] dan Allahul Akbar [اللهُ الْأَكْبَرُ]. Cara yang pertama lebih masyhur dan disepakati, manakala cara yang kedua pula diterima di sisi qaul jadid dan tidak diterima di sisi qaul qadim
- Melakukan Takbiratul Ihram dengan lafaz-lafaz zikir selain Takbir menggunakan dua cara di atas; adalah tidak sah dan tidak dikira sebagai Takbiratul Ihram di sisi muktamad mazhab. Berbeza dengan mazhab Abu Hanifah yang membenarkan apa sahaja zikir memuji Allah SWT.
- Menambah perkataan berbentuk nama-nama Allah sebelum lafaz Akbar adalah dibenarkan dan tidak membatalkan solat. Seperti menyebut: Allahur Rahimu Akbar [اللهُ الرَّحِيمُ أَكْبَرُ] atau Allahur Rahmanur Rahimu Akbar [اللهُ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ أَكْبَرُ]. Solat diterima dan sah di sisi ashab seperti Imam Ibn Kajj dan al-Qadhi Abu al-Tayyib. Namun, al-Qadhi Husain menukilkan qaul daripada Imam Abu al-Walid al-Naisaburi daripada Imam al-Syafi‘i menghukumnya tidak sah.
- Takbiratul Ihram dilakukan sekali sahaja di sisi jumhur ulama. al-Qadhi Abu al-Tayyib dan Imam al-‘Abdari berkata: Hanya sebilangan Syiah Rafidhah yang bertakbir sebanyak 3 kali di awal solat. Ini merupakan suatu kesalahan dan menyelisihi dalil menurut Imam al-Nawawi.
- Disunatkan mengangkat kedua-dua belah tangan pada paras bahu dengan menghadapkan tapak tangan ke arah kiblat semasa melafazkan Takbiratul Ihram. Bahkan, ashab mutaqaddimin al-Syafi‘iyyah seperti Imam Abu al-Hasan Ahmad bin al-Sayyar al-Marwazi menghukumnya wajib, sesiapa yang tidak angkat tangan semasa Takbiratul Ihram, maka tidak sah solatnya di sisi Imam Abu al-Hasan Ibn al-Sayyar. Qaul ini dinukilkan oleh Imam al-Qaffal dan Imam al-Mutawalli.
- Cara mengangkat tangan: memastikan hujung jari mencapai paras cuping telinga, dan pergelangan tangan berada pada paras bahu dalam keadaan merenggangkan jari dengan sederhana, sepertimana yang dinyatakan oleh Imam al-Rafi‘i seperti yang termaktub di dalam kitab-kitab muktabar Imam al-Mutawalli, Imam al-Baghawi dan Imam al-Ghazali.
- Mengangkat kedua-dua tangan sehingga paras telinga pula adalah salah satu qaul yang dinisbahkan kepada Imam al-Syafi‘i di sisi Syafi‘iyyah aliran al-‘Iraqiyyun berdasarkan beberapa hadith, dan dinilai gharib oleh Imam al-Nawawi.
- Waktu mengangkat tangan adalah ketika mula bertakbir iaitu ketika menyebut huruf Alif [أَ] pada lafaz Allah dan meletakkan tangan selepas selesai menyebut huruf Ra di akhir Takbir; sepertimana yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm, begitu juga ashab seperti Imam Abu Hamid al-Isfirayini di dalam kitab al-Ta‘liq. Inilah pendapat paling sahih di dalam mazhab.
- Mestilah menghadirkan niat (tekad di hati melaksanakan sesebuah solat) sepanjang melafazkan Takbiratul Ihram kerana ia merupakan mahal (tempat) untuk berniat, memandangkan ia adalah perbuatan awal Solat, ditegaskan demikian oleh Imam al-Syafi‘i.
(Lihat Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 3/298-308, Lihat juga Kifayah al-Nabih Syarh al-Tanbih, 3/83)
Kesimpulannya, kami nyatakan di sini bahawa lafaz Takbiratul Ihram yang sempurna dan tepat adalah Allahu Akbar [اللهُ أَكْبَرُ] yang bermaksud: Allah Maha Besar. Dibolehkan juga untuk menyebut Allahul Akbar [اللهُ الْأَكْبَرُ] menurut qaul jadid di dalam mazhab al-Syafi‘i.
Adapun menebalkan sebutan huruf Ba sehingga ia berbunyi seakan-akan “Akbor” [اللهُ أَكْبَارُ] seraya memanjangkannya, ini merupakan suatu kesalahan yang membatalkan Takbiratul Ihram sekali gus membatalkan solat. Perkataan Akbaar [أَكْبَارُ] membawa maksud gendang-gendang. Melafazkannya merosakkan lafaz Takbiratul Ihram dan menyebabkan solat tidak sah.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”
Wallahu a‘lam.