Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada kemusykilan tentang waktu berbuka puasa. Saya pernah mendapat maklumat bahawa waktu berbuka kita adalah mengikut tempat di mana kita bersahur. Contohnya saya berpuasa di negeri yang waktu berbuka adalah 7.23pm tetapi pada hari saya berpuasa itu, saya balik ke negeri yang waktu berbukanya adalah 7.19pm. Adakah saya boleh berbuka pada waktu negeri yang saya balik itu iaitu 7.19pm atau saya perlu menunggu waktu berbuka di tempat saya bersahur iaitu 7.23pm. Mohon penjelasan dari ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, waktu berbuka atau iftar itu adalah apabila tibanya waktu malam — iaitu matahari terbenam. Hal ini jelas seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.”

Riwayat al-Bukhari (1954) dan Muslim (1100)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa selesai dan sempurnanya puasa itu dengan terbenamnya matahari seperti mana yang disepakati oleh seluruh kaum Muslimin. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/304).

Seseorang yang berpuasa tidak boleh berbuka puasa melainkan apabila terbenamnya matahari di tempat dia berada mengikut waktu terbenamnya matahari pada tempat tersebut. Apabila dia sampai di tempat yang dituju, dan matahari di tempat tersebut masih belum lagi terbenam, maka dia tidak boleh berbuka puasa sehinggalah terbenamnya matahari sekalipun tempohnya masih lagi panjang. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

(Surah al-Baqarah: 187)

Begitu juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا، وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا، وَغَرَبَتِ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ

Maksudnya: “Apabila malam telah tiba dari arah ini, dan siang telah berlalu dari arah ini serta matahari telah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.”

Riwayat al-Bukhari (1954) dan Muslim (1100)

Berkenaan hal ini, Syeikh ibn al-‘Uthaimin pernah ditanya: “Ada seorang mahasiswa di salah satu kota di Amerika telah menceritakan pengalamannya bahawa dia terpaksa melakukan permusafiran dari kotanya tempat dia belajar setelah fajar, dan sampai di bandar yang ditujunya setelah maghrib sesuai mengikut waktu setempat. Akan tetapi dia telah mendapati dirinya melewati 18 jam dan puasanya belum selesai untuk hari itu, padahal pada hari biasa dia hanya berpuasa selama 14 jam. Maka adakah dia melanjutkan puasanya dengan tambahan 4 jam atau dia boleh berbuka mengikut waktu berakhirnya waktu puasa di negara asal di mana dia bermukim sebelumnya, dan begitu juga ketika dia pulang ke kota asalnya, apa yang terjadi adalah sebaliknya iaitu waktu siang berkurang 3 jam menjadi 14 jam?”

Syeikh menjawab dengan menyebutkan, dia hendaklah melanjutkan puasanya sehinggalah matahari terbenam (mengikut waktu setempat) berdasarkan hadith Nabi SAW sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Jadi, dia wajib untuk terus berada dalam puasanya sehinggalah terbenamnya matahari, sekalipun bertambah tempoh siangnya selama 4 jam.

Yang serupa dengan kes ini di negara Arab Saudi, jika seseorang melakukan permusafiran dari kawasan timur setelah sahur menuju kawasan barat, maka dia akan menambah tempoh masa sesuai dengan perbezaan tersebut — yakni perbezaan waktu matahari terbenam. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Uthaimin, 19/322).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seseorang yang bermusafir ketika bulan Ramadhan hendaklah berbuka puasa mengikut waktu berbuka (yakni masuknya waktu Maghrib) tempat di mana dia sedang berada. Dalam isu ini, anda perlu berbuka puasa mengikut tempat yang anda berada. Maka, boleh untuk anda berbuka puasa pada 7:19 p.m mengikut tempat yang anda berada, sekalipun tempohnya lebih awal dari waktu berbuka dari tempat asalnya ataupun sebaliknya iaitu lebih lewat. Hal ini kerana perkara yang diambil kira dalam menentukan waktu berbuka puasa adalah terbenamnya matahari.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Leave a Reply