Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah huraikan tentang qantarah di hari akhirat kelak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Hari Kiamat mempunyai petanda-petanda dan perinciannya yang perlu kita pelajari dan amati. Allah SWT berfirman di dalam Muhkam al-Tanzil:

فَهَلۡ یَنظُرُونَ إِلَّا ٱلسَّاعَةَ أَن تَأۡتِیَهُم بَغۡتَةࣰۖ فَقَدۡ جَاۤءَ أَشۡرَاطُهَاۚ فَأَنَّىٰ لَهُمۡ إِذَا جَاۤءَتۡهُمۡ ذِكۡرَىٰهُمۡ

Maksudnya: “Maka adakah mereka tidak melihat bahawa Hari Kiamat itu pasti akan datang kepada mereka dalam keadaan mengejut! Telah datang petanda-petanda Kiamat itu. Lantas, bagaimanakah keadaan mereka apabila diperingatkan berkenaannya?”

(Surah Muhammad: 18)

Syeikh Abu al-Su‘ud al-Hanafi berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Petanda-petanda kiamat telah pun datang, namun ramai manusia tidak mengambil kisah berkenaannya, dan tidak mengambil cakna atau pengajaran daripadanya tentang betapa dekatnya Hari Kiamat itu akan tiba! Lantas, semua itu menyebabkan Hari Kiamat akan tiba kelak dalam keadaan mengejut dan secara tiba-tiba. Perkataan al-asyrat (الأشْراطُ) adalah perkataan plural bagi syart (شَرَطٍ) yang bermaksud tanda.” (Lihat Irsyad al-‘Aql al-Salim, 8/97)

Antara ilmu pengetahuan tentang Hari Kiamat dan tanda-tandanya adalah pengetahuan berkenaan Titian Sirat. Sirat ini diisyaratkan oleh Allah di dalam al-Quran dan disebutkan jelas oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith-hadith sahih. Allah SWT berfirman:

 وَإِن مِّنكُمْ إِلَّا وَارِدُهَا ۚ كَانَ عَلَىٰ رَبِّكَ حَتْمًا مَّقْضِيًّا (71) ثُمَّ نُنَجِّي الَّذِينَ اتَّقَوا وَّنَذَرُ الظَّالِمِينَ فِيهَا جِثِيًّا

Maksudnya: “Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu.”

(Surah Maryam: 71-72)

Imam Ibn Juzai al-Kalbi al-Gharnati menafsirkan ayat di atas, seraya mengungkapkan: Ada yang menafsirkan “الورود” (al-wurud) bermaksud mendatangi atau tiba di tempat tersebut, seperti dalam firman Allah: “وَرَدَ مَآءَ مَدْيَنَ” (Dia sampai di telaga air negeri Madyan) [al-Qasas: 23], dan yang dimaksudkan dengannya ialah melintasi sirat. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, )

Diriwayatkan di sisi tafsiran para Salaf, Imam al-Suddi bertanya kepada Murrah al-Hamazani tentang ayat: “وَإِن مِّنكُمۡ إِلَّا وَارِدُهَاۚ” di atas, beliau menjawab dengan menukilkan hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

يَرِدُ النَّاسُ النَّارَ ثُمَّ يَصْدُرُونَ مِنْهَا بِأَعْمَالِهِمْ، فَأَوَّلُهُمْ كَلَمْحِ البَرْقِ، ثُمَّ كَالرِّيحِ، ثُمَّ كَحُضْرِ الفَرَسِ، ثُمَّ كَالرَّاكِبِ فِي رَحْلِهِ، ثُمَّ كَشَدِّ الرَّجُلِ، ثُمَّ كَمَشْيِهِ

Maksudnya: “Manusia akan mendatangi neraka, kemudian melintasi titian sirat berdasarkan amalan mereka. Ada yang melintasinya sepantas kilat, kemudian seperti angin, kemudian seperti larian kuda, kemudian seperti penunggang di atas tunggangannya, kemudian seperti berlarinya seorang lelaki, dan akhirnya seperti berjalan kaki.”

Riwayat al-Tirmizi (3159)

Berhubung dengan soalan di atas, kami nyatakan bahawa Qantarah dari sudut bahasa adalah sebuah titian atau jambatan. Imam Badruddin al-‘Aini al-Hanafi menukilkan bahawa Imam Ibn al-Tin menjelaskan Qantarah sebagai: “Al-Qantarah itu adalah setiap sesuatu (berupa titian atau jambatan) yang dibentangkan di atas sebuah tasik atau lembah, Imam al-Qurtubi menamakan Qantarah sebagai titian Sirat yang kedua.” (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 12/285).

Berhubung dengan hakikat al-Qantarah yang disebut di dalam hadith Abu Sa‘id al-Khudri RA, bahawa beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا خَلَصَ المُؤْمِنُونَ مِنَ النّارِ حُبِسُوا بقَنْطَرَةٍ بيْنَ الجَنَّةِ والنّارِ، فَيَتَقاصُّونَ مَظالِمَ كانَتْ بيْنَهُمْ في الدُّنْيا، حتّى إذا نُقُّوا وهُذِّبُوا أُذِنَ لهمْ بدُخُولِ الجَنَّةِ، فَوالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بيَدِهِ، لَأَحَدُهُمْ بمَسْكَنِهِ في الجَنَّةِ أدَلُّ بمَنْزِلِهِ كانَ في الدُّنْيا.

Maksudnya: “Apabila orang-orang beriman selamat daripada api neraka, mereka akan ditahan sebentar di Qantarah yang terletak antara syurga dan neraka, di situ orang-orang yang dizalimi dalam kalangan mereka akan menuntut keadilan atas kezaliman yang telah dialami di dunia dahulu, sehingga semua orang sudah disucikan dari dosa dan dimurnikan, barulah diizinkan untuk memasuki syurga. Demi Tuhan yang mana nyawa Muhammad berada di Tangan-Nya, tempat tinggal mereka di syurga jauh lebih jelas keindahannya berbanding tempat tinggal di dunia.”

Riwayat al-Bukhari (2440)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mensyarahkan hadith di atas sekali gus mengujarkan Qantarah bermaksud:

الَّذِي يَظْهَرُ أَنَّهَا طَرَفُ الصِّرَاطِ مِمَّا يَلِي الْجَنَّةَ، وَيُحْتَمَلُ أَنْ تَكُونَ فِي غَيْرِهِ بَيْنَ الصِّرَاطِ وَالْجَنَّةِ

Maksudnya: “Secara zahirnya adalah Qantarah berada di hujung titian sirat yang menghala ke syurga, dan adanya juga kemungkinan bahawa ia berada di tempat lain antara titian dan syurga.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 5/96)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami katakan bahawa al-Qantarah adalah bahagian Titian Sirat yang paling hujung dan akhir sebelum sampai ke hadapan pintu Syurga. Tempat ini merupakan tempat Allah mengarahkan agar keadilan dilaksanakan sesama orang Mukmin supaya mereka masuk syurga dalam keadaan sudah bersih daripada sebarang dosa sesama manusia.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، وَأَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَكَلِمَةَ الْإِخْلَاصِ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمًا لَا يَنْفَدُ، وَقُرَّةَ عَيْنٍ لَا تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَاءَ بِالْقَضَاءِ، وَبَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَلَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَفِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الْإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Dengan ilmu-Mu terhadap perkara ghaib, kekuasaan-Mu atas sekalian makhluk, hidupkanlah aku apabila kehidupan itu baik buatku. Dan matikanlah aku apabila kematian itu baik buat diriku. Aku memohon sifat takutkan-Mu ketika tidak dilihat dan ketika dilihat orang ramai, dan kalimat keikhlasan ketika redha dan marah. Aku memohon kenikmatan yang tidak terhapus, penyejuk mata yang tidak terputus. Aku mohon kepada-Mu sifat redha dengan ketentuan, ketenangan hidup selepas mati, kelazatan memandang Wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada segenap bahaya yang memudharatkan, jua fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami mendapat petunjuk dan diberi petunjuk sentiasa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply