Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bernazar berpuasa seminggu sekiranya mendapat zuriat, tetapi puasa saya terhenti pada hari ke 6 dan saya sambung pada hari ke 8. Perlukah saya bermula semula dari awal? Sekiranya tidak mampu, adakah cara yang lain membayar nazar tersebut. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Nazar

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

 ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Kemudian, hendaklah mereka menghilangkan kotoran yang ada pada badan mereka kerana panjangnya rambut dan kuku. Hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka melakukan melakukan tawaf di keliling Baitullah yang telah dibangun lama untuk beribadah. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 322)

Diriwayatkan daripada  Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”

Riwayat al-Bukhari (6696)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut bahawa: Nazar hanya dibolehkan kepada perkara kebajikan dan sekiranya bernazar perkara haram dan makruh maka tidak sah nazarnya seperti bernazar untuk merogol dan selainnya (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/26).

Rukun Nazar

Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar.

  • Sighah
  • Orang yang bernazar
  • Perkara yang dinazarkan.

Syarat Nazar

Syarat nazar ialah dalam perkara yang mentaati kepada Allah seperti ibadat, puasa, zakat, haji, sedekah, infaq dan lain-lain.

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat Al-Bukhari (6696)

Berdasarkan kaedah di atas, dapat kita fahami nazar itu hanya terpakai kepada perkara yang mentaati Allah SWT sahaja dan bukan perkara maksiat dan haram.

Kaffarah Nazar

Kaffarah sumpah adalah pilihan antara:

  • Memberi makan sepuluh orang miskin,
  • Memberikan pakaian kepada mereka, atau
  • Memerdekakan seorang hamba.
  • Jika seseorang itu tidak dapat dan tidak mampu melaksanakan salah satu dari tiga pilihan ini, maka dia mesti berpuasa selama tiga hari untuk membayar kaffarah tersebut.

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa tidak boleh seseorang itu menangguhkan kaffarah sumpah, dan dia mesti melaksanakan kaffarah itu sesegera mungkin setelah pelanggaran sumpah itu dilakukan, kerana ini adalah asas dalam perkara ini. Oleh itu, jika seseorang itu tidak mampu untuk memberi makan, memberi pakaian, atau memerdekakan hamba dengan segera, maka dia wajib berpuasa selama tiga hari. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 19/454)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak perlu untuk anda mula semula puasa yang sebelum ini. Ini kerana anda tidak bernazar untuk puasa seminggu secara berturut-turut. Maka, cukup untuk anda melaksanakan puasa selama 7 hari.

Akan tetapi, sekiranya anda bernazar secara berturut, maka anda perlu puasa secara berturut selama 7 hari. Sekiranya tidak mampu, maka anda dikenakan nazar seperti berikut:

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati supaya tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri untuk menunaikannya di masa depan. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.

Riwayat Muslim (1640)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

 Wallahua’lam.

Leave a Reply