Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa tiada lafaz haram pada larangan khamar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Maidah: 90)

Al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Susungguhnya kejayaan itu hanya akan dicapai sekiranya meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah SWT terutama perbuatan-perbuatan buruk  iaitu arak yang melibatkan segala sesuatu yang merosakkan akal fikiran  disebabkan kesan  mabuk  serta segala bentuk perjudian atau taruhan yang merugikan dan menguntungkan kedua belah pihak. Selain itu  juga penyembahan berhala, patung-patung berhala dan segala sesuatu yang disembah selain Allah. Termasuk juga suatu amalan kuno di mana orang mencari nasib atau keputusan dengan melempar anak panah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.243)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, Allah SWT tidak menyebutkan lafaz haram secara jelas dalam ayat di atas, namun pengharamannya dapat difahami melalui perintah untuk menjauhkannya dan juga hadith-hadith Rasulullah SAW yang menjelaskan pengharaman tersebut. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Fath ‘Allam Fi Bayan Maakhiz al-Ahkam (hlm.634) bahawa:

Sumber hukum tersebut berdasarkan perintah larangan dalam firman-Nya “فَاجْتَنِبُوهُ” iaitu “Maka hendaklah kamu menjauhinya” bersama dengan qarain (petunjuk-petunjuk) dan dalil-dalil lain dalam ayat tersebut yang menunjukkan kepada pengharaman.

Ibn Faris menyatakan: Ayat ini (Surah al-Maidah:90) adalah ayat yang paling jelas dalam al-Quran tentang pengharaman arak kerana Allah Ta‘la memerintahkan supaya menjauhinya, mengancam mereka yang menghalalkannya, serta mengaitkannya dengan judi, penyembahan berhala, dan penentuan nasib dengan anak panah.

Beliau berkata: Perintah menjauhi dalam ayat ini disertai dengan petunjuk yang menunjukkan bahawa maksudnya adalah kewajipan menjauhi arak, iaitu apa yang datang selepas ayat ini berupa celaan terhadap kekotoran yang dinamakan arak, menyandarkannya kepada syaitan, dan ancaman terhadap orang yang melakukannya. Oleh itu, perintah ini mesti difahami sebagai perintah yang mewajibkan. Jika menjauhinya adalah wajib, maka terlibat dengannya adalah haram. Maka arak diharamkan berdasarkan dalil ini. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/473-475)

Bahkan menurut al-Baidhawi: Allah SWT telah menegaskan pengharaman arak dan judi dalam ayat ini dengan memulakan ayat tersebut dengan lafaz ‘innama’ (sesungguhnya) dan mengaitkannya dengan penyembahan berhala dan penentuan nasib dengan anak panah. Dia menyebut kedua-duanya sebagai kekotoran dan menjadikannya sebagai perbuatan syaitan, yang menunjukkan bahawa terlibat dengan keduanya adalah kejahatan yang mutlak atau dominan. Dia memerintahkan agar menjauhi kedua-duanya dengan sepenuhnya, dan menjadikannya sebab yang diharapkan membawa kepada kejayaan. Kemudian, Dia menegaskan perkara tersebut dengan menjelaskan keburukan-keburukan duniawi dan agama yang terdapat dalam kedua-duanya, yang menyebabkan pengharaman perkara tersebut. (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 2/142)

Justeru, Allah SWT tidak menggunakan lafaz haram secara jelas dalam ayat tersebut bagi menggambarkan bahawa perbuatan  meminum arak merupakan perbuatan yang besar dosanya dan buruk akibatnya kerana ia boleh membawa mafsadah pada kehidupan dunia mahupun akhirat. Tambahan lagi, Allah SWT menyifatkan bahawa perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang keji lagi kotor yang merupakan perbuatan syaitan. Oleh yang demikian Allah SWT menggunakan lafaz “فَاجْتَنِبُوهُ” yang membawa maksud “maka hendaklah engkau menjauhi ia”.

Tambahan lagi, Allah SWT telah mengaitkan pengharaman arak dengan pengharaman penyembahan berhala sebagai penegasan dan peringatan keras dalam larangan meminumnya sebagaimana yang disebutkan oleh al-Wahidi. Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda:

مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَابِدِ وثَنٍ

Maksudnya: “Orang yang ketagih arak adalah seperti penyembah berhala.”

Riwayat Ibn Majah (3375)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan melindungi kita daripada godaan dan gangguan dari syaitan dan keturunannya. Amin. Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Wallahu A’lam.

Leave a Reply