Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perbezaan antara “كَسَبَ” dengan “اكْتَسَبَ” dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kalimah “كَسَبَ” dan “اكْتَسَبَ” disebutkan dalam beberapa tempat dalam al-Quran. Antaranya ialah firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”

(Surah al-Baqarah:286)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kalimah  “كَسَبَ” dalam al-Quran menunjukkan perbuatan kebaikan, manakala “اكْتَسَبَ” pula yang berada pada wazan “افتعل” menunjukkan perbuatan kejahatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-Thari al-Jami’, 1/141 )

Selain itu, al-Baghawi ketika menafsirkan ayat “لَهَا مَا كَسَبَتْ” menyatakan bahawa apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh seseorang, dia akan memperoleh ganjaran dan pahalanya. Manakala mengenai ayat “وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ”, beliau menjelaskan bahawa apa sahaja kejahatan yang dilakukannya, dia akan menanggung dosanya. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/357)

Menurut Dr. Fadhil Soleh al-Samara’i pula beliau menjelaskan: “اكْتَسَبَ” mengandungi makna usaha dan ketekunan, dan ia tidak semestinya bermaksud kejahatan secara umum. Manakala “كَسَبَ” boleh berlaku dalam kebaikan dan kejahatan kerana “كَسَبَ” adalah lebih cepat untuk diperolehi. Sebaliknya, “اكْتَسَبَ” melibatkan usaha dan ketekunan sehingga tercapai. Melakukan kejahatan memerlukan kesulitan, manakala kebaikan boleh datang kepadamu tanpa disedari. Sebagai contoh, seseorang mungkin mengumpatmu, dan engkau memperoleh kebaikan, sementara dia mendapatkan kejahatan.[1]

Antara ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa kalimah “كَسَبَ” membawa maksud usaha ke arah kejahatan adalah firman Allah SWT:

بَلَىٰ مَن كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ فَأُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: “(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

(Surah al-Baqarah: 81)

Al-Baidhawi dalam tafsirnya  Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/90) menyatakan ayat “مَن كَسَبَ سَيِّئَةً” membawa maksud: siapa yang melakukan qabihah iaitu kejahatan yang buruk. Yang demikian menunjukkan bahawa kalimah “كَسَبَ” digunakan pada perkara yang baik mahupun yang buruk.

Selain itu juga, dalam Mafatih al-Ghaib, (7/118) disebutkan bahawa: الاكْتِسَاب” lebih khusus daripada “الْكَسْب” , kerana “الْكَسْب” terbahagi kepada dua: kebaikan yang diperoleh untuk diri sendiri dan untuk orang lain, manakala “الاكْتِسَاب” hanya merujuk kepada apa yang diperoleh seseorang untuk dirinya sendiri sahaja. Misalnya, seseorang itu dikatakan “كَاسِب” (kasib) bagi keluarganya, tetapi tidak dikatakan “مُكْتَسِب” (muktasib) untuk keluarganya.

Sebagai kesimpulannya, perbincangan mengenai kalimah “كَسَبَ” dan “اكتسب” dalam al-Quran secara umumnya menggariskan dua jenis perbuatan yang berbeza: “كَسَبَ” merujuk kepada perbuatan kebaikan yang mendatangkan ganjaran dan pahala, manakala “اكْتَسَبَ” menunjukkan perbuatan yang berkaitan dengan usaha dan ketekunan, termasuk kejahatan. Dengan Memahami perbezaan ini, ia dapat membantu kita dalam menghayati mesej al-Quran dengan lebih mendalam, terutamanya dalam konteks amalan baik dan buruk yang kita lakukan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu‘Alam

 

Nota hujung:

[1] Lihat https://tadars.com/tdbr/eloquence/6361 Diakses pada 24 Oktober 2024

Leave a Reply