Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada sedikit kemusykilan tentang pandangan sambutan atau majlis bertemakan halloween. Adakah dibolehkan untuk sertai jika tiada ritual agama di dalam majlis tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan menerangkan secara sedikit berkenaan halloween ini terlebih dahulu. Ringkasnya, halloween adalah perayaan yang disambut pada 31 Oktober, yang terkenal dengan asal usul pagan dan agama serta tradisi sekulernya. Di kebanyakan negara Eropah dan sebahagian besar Amerika Utara, sambutan Halloween adalah lebih bersifat tidak keagamaan, diraikan dengan parti, kostum seram, jack-o’-lantern, ukiran labu, dan pemberian gula-gula. Namun, perayaan ini juga menandakan permulaan All-hallo-tide, iaitu tiga hari triduum Kristian yang didedikasikan untuk memperingati orang yang telah meninggal dunia. All-hallo-tide bermula dengan Halloween (31 Oktober), diikuti oleh Hari Para Orang Kudus (All Saints’ Day) (1 November) dan Hari Para Mendiang (All Souls’ Day) (2 November).

Halloween berasal daripada perayaan Samhain di kalangan masyarakat Celt kuno di Britain dan Ireland. Pada tarikh yang bersamaan dengan 1 November dalam kalendar moden, dipercayai tahun baru bermula. Tarikh ini dianggap sebagai permulaan musim sejuk, waktu di mana ternakan dibawa pulang dari padang ragut dan pajakan tanah diperbaharui. Semasa perayaan Samhain, dipercayai roh orang yang telah meninggal dunia akan kembali melawat rumah mereka, dan mereka yang meninggal dunia pada tahun tersebut akan mengembara ke alam lain. Orang ramai menyalakan unggun api di puncak bukit untuk menghidupkan semula api di rumah bagi musim sejuk serta untuk menakutkan roh jahat. Kadang-kadang, mereka memakai topeng dan penyamaran lain untuk mengelak daripada dikenali oleh roh-roh yang dipercayai hadir. Dengan cara ini, makhluk seperti ahli sihir, goblin, pari-pari, dan syaitan dikaitkan dengan hari tersebut. Tempoh ini juga dianggap sesuai untuk ramalan mengenai perkara seperti perkahwinan, kesihatan, dan kematian. Apabila Rom menakluk masyarakat Celt pada abad ke-1 Masihi, mereka menambahkan perayaan mereka sendiri seperti Feralia, yang memperingati orang mati, dan Pomona, dewi hasil tuaian.[1]

Secara kontemporari, sambutan Halloween dilakukan dengan berpakaian kostum, dan berjalan pintu ke pintu rumah dan meminta gula-gula atau coklat sambil berkata “trick or treat!” (helah atau habuan). Ucapan ini merupakan semacam “ugutan” yang membawa maksud “beri kami (gula-gula) atau kami buat kacau.” Kanak-kanak zaman sekarang biasanya tidak lagi membuat kacau di rumah orang yang tidak memberi apa-apa. Akan tetapi, sebahagian kanak-kanak masih membuat kacau di rumah orang yang dianggap kedekut dengan cara “menghiasi” pohon yang ada di depan rumah dengan kertas tisu atau menulis di tingkap dengan sabun. Di samping itu, ibadat dan upacara keagamaan Kristian turut diamalkan sebilangan pihak sempena Halloween seperti menghadiri upacara gereja dan menziarahi kubur-kubur si mati serta (pada dahulu kala) berpuasa, sementara pihak lain menganggapnya sebagai perayaan sekular.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa menyambut Halloween adalah haram dan tidak dibolehkan dalam Islam. Ini kerana berdasarkan penjelasan di atas, didapati bahawa sambutan halloween adalah sinonim dengan perayaan keagamaan sebahagian penganut agama Kristian dan syiar mereka.

Seorang Muslim tidak boleh sama sekali atas nama Fiqh Ta‘ayush (fiqh hidup bersama) melibatkan diri apatah lagi mengiktiraf apa-apa perkara yang melibatkan akidah dan syiar agama lain. Ini berdasarkan prinsip yang telah dinyatakan oleh Allah SWT:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Maksudnya: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

(Surah al-Kafirun: 6)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti menyebutkan, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk menzahirkan bahawa Baginda berlepas diri daripada amal perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, hal ini sebagai tanda pengingkaran terhadap perkara tersebut. Ini juga bagi menzahirkan kewajipan untuk menjauhi perbuatan mereka itu, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam ayat di atas. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/157).

Bahkan tidak ada yang diredhai oleh Allah SWT melainkan agama Islam, sebagaimana yang jelas dalam firman-Nya:

ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

(Surah al-Ma’idah: 3)

Imam Ibn Kathir menyebutkan, ini merupakan nikmat terbesar dari Allah SWT kepada umat ini, di mana Dia menyempurnakan buat mereka agama mereka, maka mereka tidak perlu lagi kepada agama yang lain, dan tidak juga kepada nabi selain dari nabi mereka. Selawat dan salam dari Allah SWT buat Nabi, yang mana dijadikan khatim al-anbiya’ dan diutuskan kepada sekalian manusia serta jin. Tidak ada yang halal melainkan apa yang telah dihalalkan, dan tidak ada yang haram melainkan apa yang diharamkan, dan tidak ada agama melainkan apa yang disyariatkan-Nya, dan setiap apa yang dikhabarkan adalah hak serta benar, tidak ada pendustaan padanya dan tidak ada juga pertikaian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/22).

Malah, terdapat larangan yang jelas untuk turut serta dalam perayaan orang bukan Islam, sebagaimana firman Allah SWT:

وَٱلَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ ٱلزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا۟ بِٱللَّغْوِ مَرُّوا۟ كِرَامًۭا

Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.

(Surah al-Furqan: 72)

Imam al-Qurtubi mengatakan, yang dimaksudkan dari ayat di atas adalah, janganlah kalian hadiri majlis pendustaan dan kebatilan, dan janganlah menyaksikannya. Kalimah (ٱلزُّورَ) merujuk kepada semua perkara yang batil dan rekaan, dan yang paling dahsyat adalah kesyirikan serta mengagungkan musuh. Beginilah yang ditafsirkan oleh al-Dhahhak, Ibn Zaid, dan salah satu riwayat Ibn ‘Abbas R.A. Adapun dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, yang dimaksudkan di sini adalah perayaan orang-orang Musyrik. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/79)

Apatah lagi, tidak dapat dinafikan bahawa menyertai sambutan Halloween ini juga secara tidak langsung telah meletakkan diri orang yang menyertainya umpama menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌تَشَبَّهَ ‌بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San‘ani menyatakan, hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai orang fasiq, atau orang kafir atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus bagi mereka sama ada pakaian, kenderaan atau cara (gerak-geri), maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai orang kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur dan ada yang berpendapat dia tidak kufur tetapi perlu diadabkan (diambil tindakan oleh pemerintah). (Lihat Subul al-Salam, 2/646-647).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, dia tidak dikira sebagai kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). (Lihat Raudhah al-Talibin,10/69)

Syeikh Ibn al-‘Uthaimin menyatakan bahawa menyerupai orang kafir bermaksud seorang Muslim melakukan sesuatu yang telah menjadi ciri khusus buat orang kafir. Adapun apa-apa yang telah tersebar dalam kalangan orang-orang Islam dan perkara tersebut tidak menjadi ciri atau sesuatu (khusus) yang membezakannya dengan orang kafir, maka ia tidak dinamakan sebagai tasyabbuh (penyerupaan). Oleh itu, ia tidak lagi menjadi haram disebabkan oleh tasyabbuh, melainkan ia mungkin menjadi haram dari sudut yang lain. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Rasail Syeikh al-‘Uthaimin, 12/290).

Tambahan lagi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam.

Muzakarah telah memutuskan beberapa perkara, antaranya:

  • Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam: Yakni, sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau Keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya: Menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya. Menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama, meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh, memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam. Tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

  • Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syara‘: Yakni, sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya: Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama, menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya, mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa, mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 13-14).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang Muslim tidak boleh menyertai atau menyambut Halloween kerana ia adalah perayaan yang sinonim dengan keagamaan lain dan juga syiar mereka. Lebih-lebih lagi, kita juga dilarang daripada menyerupai orang-orang kafir dan fasiq dalam aspek-aspek tertentu yang melibatkan identiti, lambang dan syiar agama mereka. Jelas di sini bahawa terdapat unsur-unsur tasyabbuh yang tidak dibenarkan dalam perayaan Halloween ini, sebagaimana sedia maklum selalunya bagi mereka yang menyambut perayaan ini akan mengenakan kostum-kostum seram tertentu bersesuaian dengan hari Halloween, ditambah lagi dengan kepercayaan-kepercayaan tertentu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi, meskipun tiada upacara atau ritual agama yang jelas di dalamnya, namun tidak menyertainya adalah jauh lebih baik dan selamat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

NOTA HUJUNG:

[1] Lihat https://www.britannica.com/topic/Halloween. Diakses pada 28 Oktober 2024.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Halloween. Diakses pada 28 Oktober 2024.

Leave a Reply