Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dengan kita melakukan kebaikan walaupun kita dilanda kesempitan, maka hutang kita juga dapat dihindari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah al-Talaq: 3-4)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, ya benar sekali. Hendaklah kita melakukan kebaikan walaupun dilanda kesempitan.

Sebagai contoh, bersedekah walaupun sedikit pada saat kita memerlukan banyak lagi wang untuk melangsaikan hutang. Sesungguhnya dengan bersedekah itu mendatangkan keberkatan.

Kami kemukakan di sini, sebuah kisah menarik yang pernah berlaku dalam sejarah. Abu Uthman al-Hiri al-Naisaburi, beliau adalah imam di masjid di Naisabur menceritakan yang bahawa di tempatnya dikuasai oleh seorang pemimpin yang zalim, yang bernama Ahmad Ibn Abdillah al-Khujustani. Beliau bernazar jika peniaga tidak meletakkan dan memberikan kepadanya emas yang di satu tempat yang dipanggil Marba’ani (satu kawasan yang dibina di tanah tinggi untuk diisi dengan harta benda seperti dinar dan dirham), nescaya akan dibunuh.

Setiap seorang dikehendaki membayar sekurang-kurang 30 ribu dirham. Salah seorang peniaga datang bertemu Abu Uthman al-Hiri: “Hai Abu Uthman. Kamu telah mendengar nazar gabenor tersebut sedangkan tidak ada di sisiku melainkan tiga ribu dirham sahaja. Apa yang kamu cadangkan kepada kami? Sedangkan esok adalah hari yang mesti diserahkannya.” Katanya Abu Uthman: “Adakah kamu izinkan untuk aku menggunakan hartamu yang memberi manfaat kepadamu?” Jawabnya, “Ya.”

Kemudian dia membahagikan semuanya kepada fakir miskin wang sejumlah tiga ribu tersebut dan beliau pun terus-menerus berdoa pada malam tersebut sehinggalah azan Subuh dikumandangkan.

Kemudian orang ramai menunggu untuk diiqamatkan solat. Lalu dia berkata kepada khadamnya, “Pergilah lihat. Adakah berlaku apa-apa di negeri ini?”

Lalu khadam pergi dan kemudian pulang memberitahunya bahawa tiada apa-apa yang berlaku. Lalu Abu Uthman sujud dan berdoa. Antara doa yang beliau baca ialah:

وَحَقِّكَ لَا أَقَمْتُ الصَّلَاةَ حَتىَّ تُفَرِّجَ عَنْ عِبَادِكَ

Maksudnya: “Demi hak-Mu. Aku tidak mendirikan solat sehinggalah Kamu melepaskan bala ini daripada hamba-hamba-Mu.”

Kemudian dia menyuruh khadamnya sekali lagi pergi untuk melihat apa yang berlaku di pasar atau pekan. Kemudian, khadamnya pun pergi dan dengan segera pulang seraya memberitahunya: “Gabenor Ahmad Ibn Abdillah al-Khujustani telah ditikam dan perutnya terburai. Yang membunuhnya adalah mamaliknya sendiri (khadamnya).”

Lalu Abu Uthman pun mendirikan solat. Dengan sebab itu, Imam al-Zahabi berkata: “Kisah ini menunjukkan betapa besar dan pentingnya kelebihan waktu.” (Lihat Keajaiban Sedekah, hlm. 82)

Hal ini mengingatkan kami kepada hadith Nabi SAW:

صَنَائِعُ الْمَعْروُفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ

Maksudnya: “Melakukan perkara yang baik dan makruf boleh menyelamatkan daripada tempat-tempat kejahatan atau kebinasaan.”

Riwayat al-Hakim (429), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (6086) dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/69)

Dalam sebuah hadith, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

بَيْنَا رَجُلٌ بِفَلَاةٍ مِنَ الْأَرْضِ، فَسَمِعَ صَوْتًا فِي سَحَابَةٍ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ، فَتَنَحَّى ذَلِكَ السَّحَابُ، فَأَفْرَغَ مَاءَهُ فِي حَرَّةٍ، فَإِذَا شَرْجَةٌ مِنْ تِلْكَ الشِّرَاجِ قَدِ اسْتَوْعَبَتْ ذَلِكَ الْمَاءَ كُلَّهُ، فَتَتَبَّعَ الْمَاءَ، فَإِذَا رَجُلٌ قَائِمٌ فِي حَدِيقَتِهِ يُحَوِّلُ الْمَاءَ بِمِسْحَاتِهِ، فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللهِ مَا اسْمُكَ؟ قَالَ: فُلَانٌ – لِلِاسْمِ الَّذِي سَمِعَ فِي السَّحَابَةِ – فَقَالَ لَهُ: يَا عَبْدَ اللهِ لِمَ تَسْأَلُنِي عَنِ اسْمِي؟ فَقَالَ: إِنِّي سَمِعْتُ صَوْتًا فِي السَّحَابِ الَّذِي هَذَا مَاؤُهُ يَقُولُ: اسْقِ حَدِيقَةَ فُلَانٍ، لِاسْمِكَ، فَمَا تَصْنَعُ فِيهَا؟ قَالَ: أَمَّا إِذْ قُلْتَ هَذَا، فَإِنِّي أَنْظُرُ إِلَى مَا يَخْرُجُ مِنْهَا، فَأَتَصَدَّقُ بِثُلُثِهِ، وَآكُلُ أَنَا وَعِيَالِي ثُلُثًا، وَأَرُدُّ فِيهَا ثُلُثَهُ

Maksudnya: “Suatu ketika, ada seseorang berjalan di salah satu tanah lapang yang sunyi. Tiba-tiba dia mendengar suara dari arah awan berkata, “Siramilah kebun si fulan.” Lalu awan itu bergerak dan mencurahkan airnya pada harrah (sebuah tempat yang penuh dengan bebatuan). Lalu kemudian air tersebut turun di salah satu saluran air yang ada di harrah tersebut. Lantas orang itu mengikuti ke arah air tersebut mengalir. Tidak berapa lama berjalan, dia mendapati ada seseorang yang sedang berdiri di kebunnya sambil memegang cangkulnya untuk mengarahkan air. Dia bertanya kepada orang itu, “Wahai hamba Allah, siapakah namamu?” Orang tersebut menjawab, “Fulan,” – namanya sama seperti nama yang dia dengar dari arah awan. – Orang itu bertanya kembali, “Wahai hamba Allah, kenapa engkau tanya namaku?” Dia menjawab, “Aku mendengar suara di awan berkata, ‘Siramilah kebun si fulan,’ dan fulan tersebut adalah namamu. Apa yang engkau lakukan dengan kebunmu?” Dia menjawab, “Kerana engkau mengatakan seperti itu, maka ketika melihat hasil yang keluar dari kebunku, aku sedekahkan sepertiganya, aku makan sepertiganya bersama keluargaku, dan aku kembalikan sepertiganya ke kebun untuk ditanam.”

Riwayat Muslim, no. 2984

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Leave a Reply