Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin bertanya tentang korban ta‘yin, bolehkah dijelaskan keadaannya dan hukumnya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Ibadah Korban merupakan ibadat yang agung di sisi Allah SWT dan merupakan tuntutan dan galakan-Nya di dalam al-Quran al-Karim. Allah SWT berfirman:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban.”

(Surah al-Kauthar: 2)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Para Mufassir Salaf semisal ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi menafsirkan ayat ini dengan: Tunaikan Solat Sunat Hari Raya pada pagi 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha) dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)

Rasulullah SAW juga begitu menganjurkan amalan korban dan menyatakannya sebagai amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT sepanjang Zulhijjah. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada suatu pun amalan anak Adam pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) yang lebih disukai oleh Allah melainkan ibadat menumpahkan darah (haiwan korban). Pada hari kiamat, ia akan datang dengan tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Darah sembelihan haiwan korban itu akan diterima oleh Allah dari tempat ia diterima sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Jadi, biarlah hatimu bergembira dengannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Imam Jalaluddin al-Suyuti mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki mengatakan: Ia merupakan amalan paling afdal pada hari Aidiladha kerana hari tersebut memang dikhususkan untuk melaksanakan korban. Apabila sesuatu amalan itu dikhususkan pada hari tertentu, maka ia merupakan amalan yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari tersebut, selepas ibadat-ibadat fardhu seperti solat lima waktu.” (Lihat Qut al-Mutaghazzi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 1/390)

Seterusnya, berhubung kepada persoalan yang diajukan di atas, kami nyatakan bahawa:

Pertama: Korban menjadi wajib kerana lafaz: “Ini haiwan korban.”

Keadaan korban menjadi wajib akan terjadi apabila seseorang melakukan al-iltizam (menjadikan sesuatu perkara itu wajib ke atas dirinya); atau nazar semisal mengatakan:

  1. Wajib ke atas aku melaksanakan korban.
  2. Korban itu wajib ke atas aku.

Korban juga boleh menjadi wajib menerusi konsep al-Ta‘yin atau al-Ja‘lu. Sehubungan dengan itu, konsep Korban al-Ta‘yin adalah apabila seseorang mengambil mana-mana haiwan ternakan lalu mengisyaratkan kepadanya seraya berkata:

  1. Kambing ini, untuk (korban) demi Allah. Ia wajib ke atasku.
  2. Aku jadikan haiwan ini korban.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan lagi berkenaan hal ini sebagaimana katanya: “[Imam al-Nawawi berkata: Korban tidak akan menjadi wajib kecuali dengan al-iltizam] sama seperti mana-mana ibadat sunat yang lain, dan ini  dinyatakan secara jelas agar tidak disalah faham bahawa maksud al-Sunnah yang dikehendaki di sini adalah jalan/cara (al-tariqah), meskipun jauh untuk ia difahami begitu dalam konteks ini. Ada yang berpendapat, jika maksudnya yang dikehendaki adalah al-iltizam secara mutlak, maka terpakailah padanya keadaan (kata-kata) seperti, “Aku telah mewajibkan korban,” atau “Korban ini wajib ke atasku,” atau “Jika aku membeli kambing ini, maka demi Allah, wajiblah ke atasku untuk menjadikannya sebagai haiwan korban,” dalam keadaan tiada kewajipan dalam hal ini (pada asalnya untuk dia melakukan perkara tersebut) atau sebarang nazar yang khusus, maka kata-kata seperti “Aku jadikan ini sebagai haiwan korban,” atau “Ini adalah sebagai korban (untuk Allah)” adalah termasuk dalam jenis ini. Maka apabila ia disebutkan, teruslah korban itu menjadi wajib sepertimana kes pembebasan hamba dan wakaf.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/345).

Al-Ta‘yin [التَّعْيِينُ] bermaksud: Menentukan mana-mana haiwan ternakan sebagai haiwan yang akan dijadikan korban untuk disembelih pada Hari Raya Aidiladha atau hari-hari Tasyriq.

Al-Ja‘lu [الْجَعْلُ] bermaksud: Perbuatan menjadikan mana-mana haiwan ternakan sebagai haiwan yang diniatkan untuk disembelih korban para Hari Raya Aidiladha.

Dalam kalangan ulama al-Syafi‘iyyah di Tanah Jawi, Syeikh Daud al-Fatani turut berkata: “Orang yang melafazkan bahawa: binatang korban yang dia tentukan pada awal tahun sebagai binatang korban, maka berubah menjadi wajib korban tersebut sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh Ibn Hajar.” (Lihat al-Sayd wa al-Zaba’ih, hlm. 17)

Maka, sekiranya seseorang membeli haiwan ternakan kemudian dia mengatakan kalimat/kata-kata di bawah ini; maka ibadat korban tersebut menjadi wajib ke atas dirinya. Bukan sunat lagi hukumnya. Korban tersebut tidak boleh dibatalkan. Haiwan tersebut juga tidak boleh ditukar. Kalimat tersebut adalah:

Lafaz al-Ta’yin هَذِهِ أُضْحِيَةٌ

“Ini adalah haiwan korban.”

Kedua: Korban menjadi wajib hanya apabila disertakan niat tekad.

Dalam erti kata lain, al-Ta‘yin hanya berlaku dengan niat dan al-qasd, iaitu tekad tujuan untuk memang benar-benar serius menjadikan haiwan tersebut wajib dikorbankan. Jika seseorang mengatakan perkataan di atas dengan niat al-Ikhbar (memberitahu orang bahawa ia akan disembelih korban) sepertimana yang berlaku dalam kalangan orang awam kini, maka ia tidak menjadi wajib atas dasar al-Ta‘yin.

Imam al-Ramli berkata: “Maka, apa yang berlaku pada ucapan-ucapan orang awam kebanyakannya ketika membeli binatang korban apabila mereka berkehendak untuk melaksanakan korban dengannya daripada awal tahun. Setiap orang yang bertanya mereka berkenaan binatang tersebut, mereka menjawab kepadanya: “Ini untuk korban” dalam keadaan jahilnya mereka itu dengan hasil ucapan mereka daripada segala hukum yang akan berlaku bahawa binatang tersebut menjadi korban wajib yang tertegah ke atasnya untuk memakan daging daripada binatang korbannya. Maka, atas kejahilan ini semua, tidak diterima perkataannya itu iaitu orang yang asalnya berkehendak untuk mengatakan itu korban, namun dengan niat sunat.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/137)

Al-‘Allamah ‘Abd al-Hamid al-Syirwani juga ada menyebutkan dalam al-Hasyiah: “Al-Ta‘yin ini hanya berlaku sekiranya pelakunya tidak memaksudkan al-Ikhbar (iaitu sekadar memberitahu), sekiranya dia berniat untuk sekadar memberitahu seperti berkata, “Kambing ini yang ingin dijadikan sebagai korban,” maka tiada al-Ta‘yin yang berlaku.” (Lihat Hasyiah al-Syirwani ‘ala al-Tuhfah, 9/346)

Begitu juga sekiranya seseorang mengatakan “Sahaja aku berkorban” sebagai niat untuk berkorban sahaja. Ia tidak menjadikan korban itu wajib, kerana ia bukan suatu bentuk al-Ta‘yin. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Tidak termasuk dalam perkataan Imam al-Nawawi, sekiranya seseorang itu berkata sedemikian kerana sekadar berniat. Maka, niat itu menjadi sia-sia (yakni tidak menjadi nazar pada hukum) sama hukumnya seperti niat nazar; (ia belum mewajibkan lagi). Hal ini menunjukkan bahawa tatkala ucapan/perkataan tersebut diucapkan, ia tidak berhajat lagi untuk memandang kepada niat bahkan tidak diambil kira niat yang bertentangan kerana ia adalah jelas.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/355)

Di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin, disebut seperti berikut:

Berdasarkan zahir perkataan mereka, sesiapa yang berkata, “Ini adalah haiwan korban,” atau “Ia adalah haiwan korban,” atau “Ini adalah haiwan hadyu,”  maka haiwan tersebut telah ditentukan sebagai korban (menjadi korban ta‘yin) dan hak pemilikannya terhadap haiwan tersebut telah luput. Dia tidak boleh mempergunakannya kecuali untuk menyembelihnya pada waktu yang ditetapkan dan mengagihkan dagingnya. Niatnya yang berbeza tidak diambil kira kerana lafaznya adalah jelas (sarih).

Al-Azra‘i berkata, perkataan mereka secara zahirnya menunjukkan bahawa ini adalah suatu penetapan yang dilakukan, tetapi ia lebih mirip dengan pengakuan. Beliau menganggap pandangan ini adalah baik dalam kitab al-Qala’id. Beliau berkata: Daripada perkara ini, dapat diambil (difahami) bahawa jika seseorang bermaksud, “Aku ingin menjadikannya korban sunat” seperti yang lazim terjadi dalam adat kebiasaan masyarakat ketika mereka memilih haiwan untuk tujuan tersebut, maka ia ditafsirkan/difahami sebagaimana maksudnya yang dikehendaki.

Al-Bulqini dan al-Maraghi telah memberikan fatwa bahawa ia tidak menjadi korban yang dinazarkan hanya kerana dia berkata, “Ini adalah haiwan korbanku” dengan menyandarkannya kepada dirinya. Perkara yang sama juga berlaku untuk pernyataan, “Ini adalah aqiqah si fulan.” Namun, perkara ini telah menjadi isu/masalah (yang dibincangkan) dalam kitab al-Tuhfah, kemudian ia telah dijawab, tetapi hati lebih cenderung kepada apa yang dikatakan oleh al-Azra‘i. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 548)

Ketiga: Daging haiwan korban tersebut menjadi hak milik Allah sepenuhnya dan wajib disedekahkan semua daging tersebut.

Dalam erti kata lain, orang yang melakukan korban wajib seperti korban al-Ta‘yin (sebagaimana dijelaskan di atas) adalah diharamkan untuk mengambil daging korban wajib tersebut. Semua bahagian daging tersebut wajib disedekahkan kepada fakir miskin dalam kalangan umat Islam. Al-Khatib al-Syirbini menegaskan bahawa:

وَالْأُضْحِيَّةُ الْوَاجِبَةُ لَا يَجُوزُ لَهُ الْأَكْلُ مِنْهَا

Maksudnya: “Korban yang wajib tidak boleh bagi orang yang membuat korban untuk memakan daripada daging korban tersebut.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/134).

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah (amalan) kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 127)

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply