Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memotong kuku?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Memotong dan memendekkan kuku adalah sunat hukumnya, terutamanya pada hari Jumaat berdasarkan mazhab al-Syafi‘i. Anjuran sunat ini adalah berdasarkan hadith baginda Nabi SAW menerusi hadith ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab R.Anhuma, bahawa Rasulullah bersabda:

الفِطْرَةُ خَمْسٌ – أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – : الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ ، وَنَتْفُ الْإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Amalan fitrah itu ada lima – atau lima perkara ini adalah antara tuntuan fitrah – : berkhatan, mencabut bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, memendekkan misai.”

Riwayat al-Bukhari (5889) dan Muslim (257)

Anjuran ini sebaiknya dilaksanakan pada hari Jumaat, sepertimana qaul muktamad mazhab al-Syafi‘iyyah. Imam al-Nawawi berkata: “Imam al-Syafi‘i dan para ashab – semoga Allah merahmati mereka semua – telah menyebutkan bahawa dianjurkan (sunnah) memotong kuku; dan melaksanakannya perkara ini pada hari Jumaat (adalah yang terbaik).” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/287)

Selain itu, terdapat beberapa riwayat daripada para sahabat dan tabi’in yang menunjukkan mereka memiliki kebiasaan memotong kuku pada hari Jumaat. Antaranya:

  • Ibnu Umar R.Anhuma biasanya memotong kuku dan merapikan misai pada hari Jumaat. (Lihat al-Sunan Al-Kubra oleh al-Baihaqi, 3/244)
  • Daripada Ibrahim bahawa beliau menceritakan, “Orang ramai memotong kuku mereka pada hari Jumaat.” (Lihat al-Musannaf oleh Ibn Abi Syaibah, 2/65)
  • Muhammad bin Ibrahim al-Taimi (salah seorang tabi’in) berkata, “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat dan memendekkan misainya maka dia telah menyempurnakan hari Jumaatnya.” (Lihat al-Musannaf oleh Abd al-Razzaq, 3/197)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, para ulama fiqh dari kalangan Syafi’iyyah dan Hanabilah, menyebut galakan dan anjuran memotong kuku pada setiap hari Jumaat. Imam Nawawi berkata: “Al-Syafi’e dan ashabnya dengan tegas (secara nas) menyebut anjuran memotong kuku pada hari Jumaat.” (Lihat al-Majmu’, 1/340)

Oleh itu, perbuatan memotong kuku sangat digalakkan untuk dilakukan pada hari Jumaat. Islam sangat menganjurkan penganutnya supaya merapikan diri antaranya dengan memotong kuku kerana agama Islam sentiasa mengutamakan kebersihan. Tambahan pula hari Jumaat merupakan hari bagi kaum muslimin berkumpul di masjid untuk mendengar khutbah. Disebabkan itulah, sebahagian sahabat Nabi SAW dan sebahagian tabi’in memotong kuku mereka pada hari Jumaat. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 8/104)

Namun, sekiranya tidak sempat, seseorang boleh melakukannya pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Akan tetapi, ia hendaklah tidak dibiarkan sehingga melebihi 40 hari. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik R.A, kata beliau:

وُقِّتَ لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَصَّ الشَّارِبِ ، وَتَقْلِيمَ الأَظْفَارِ ، وَحَلْقَ الْعَانَةِ ، وَنَتْفَ الْإِبْطِ ، لاَ يُتْرَكُ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ يَوْمًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW memberikan batasan waktu kepada kami untuk memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, dan mencukur bulu kemaluan, agar tidak dibiarkan lebih dari empat puluh hari.”

Riwayat Muslim (520), al-Tirmizi (2759) dan al-Nasa’ie (15)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadis ini memberi penjelasan berkenaan para sahabat tidak pernah melewatkan untuk melakukan perkara-perkara ini apabila sampai masanya, dan kalaupun melewatkannya, tidak pernah sampai melebihi 40 hari. Ia juga bukan dengan maksud Nabi memberi keizinan untuk melewatkan sehingga 40 hari secara mutlak. (Lihat al-Majmu’, 1/287)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”

Leave a Reply