Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami, bagaimana hutang al-Zubair R.A dapat dilangsaikan serta sebahagian daripada iktibar yang mungkin dapat kita ambil?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا (2) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ

Maksudnya: Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).

(Surah al-Talaq: 3-4)

Abdullah bin al-Zubair[1] menceritakan: “Ketika al-Zubair berdiri pada peperangan Jamal,[2] dia memanggilku, maka aku berdiri di sampingnya. Dia berkata: “Wahai anakku[3], tidak ada yang terbunuh pada hari ini kecuali orang zalim atau dizalimi, dan sungguh aku tidak melihat diriku melainkan akan terbunuh dalam keadaan dizalimi.[4] Sesungguhnya perkara yang paling merisaukanku adalah hutangku.[5] Adakah engkau melihat hutang kita dapat menyisakan sesuatu dari harta kita? Dia juga berkata: “Wahai anakku, juallah harta benda kita, bayarlah hutangku.”[6]

Lalu dia berwasiat pada satu pertiga daripada hartanya. Satu pertiga daripadanya adalah untuk anak-anaknya – yakni anak-anak Abdullah bin al-Zubair – Dia berkata:  “Sepertiga daripada yang sepertiga – jika harta kita masih berbaki setelah pembayaran hutang- maka diberikan kepada anakmu’.” Hisyam berkata: sebahagian anak Abdullah telah menyamai sebahagian anak-anak al-Zubair, Khubaib dan ‘Abbad, dan saat itu dia memiliki 9 orang anak lelaki dan 9 anak perempuan.

Abdullah berkata:  Dia pun berwasiat kepadaku berkenaan hutangnya dan berkata:  “Wahai anakku, jika engkau tidak mampu untuk membayar hutangku maka mintalah kepada tuan aku.” Abdullah berkata:  Demi Allah, aku tidak tahu apa yang dia maksudkan hingga aku bertanya: “Wahai bapaku, siapakah tuan kamu?” Dia menjawab:  “Allah.”[7] Abdullah berkata:  Demi Allah, tidaklah aku menemui suatu kesulitan dalam membayar hutangnya melainkan aku akan berkata:  “Wahai Tuan kepada al-Zubair, lunaskanlah hutangnya,” lalu Allah akan (membantu aku) melunaskannya.[8]

Al-Zubair R.A terbunuh[9] tanpa meninggalkan dinar mahupun dirham, kecuali beberapa bidang tanah, salah satunya ialah tanah al-Ghabah, sebelas buah rumah di Madinah, dua di Basrah, satu di Kufah, dan sebuah lagi di Mesir.

Abdullah berkata:  Sesungguhnya hutangnya menjadi banyak kerana apabila seseorang datang kepadanya dengan membawa harta untuk dijaga olehnya, maka al-Zubair akan berkata: “Tidak, akan tetapi jadikanlah ia sebagai pinjaman. Sesungguhnya aku khuatir harta itu tidak terjaga.”[10]

Dia (al-Zubair) tidak pernah memegang jawatan sebagai gabenor (penguasa) sama sekali dan tidak pula sebagai pengutip cukai kharaj atau urusan apa sekalipun; dia hanya memperoleh harta melalui peperangan yang disertai bersama Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan ‘Uthman R.A.

Abdullah bin al-Zubair berkata:  Aku mengira jumlah hutangnya dan ternyata jumlahnya ialah sebanyak dua juta dua ratus ribu. Dia berkata:  Hakim bin Hizam bertemu Abdullah bin Al-Zubair dan berkata:  “Wahai anak saudaraku, berapakah jumlah hutang yang ditanggung oleh saudaraku?” Dia menyembunyikan jumlah sebenarnya lalu berkata:  “seratus ribu.” Hakim berkata:  “Demi Allah, menurutku harta benda yang kalian punyai tidak akan dapat melunaskan hutang ini.” Abdullah berkata:  “Apa pendapatmu jika aku katakan jumlahnya dua juta dua ratus ribu?” Dia menjawab: “Menurutku kalian tidak akan mampu melunaskannya. Jika kalian tidak mampu, maka mintalah bantuan kepadaku.”

Dia (perawi) berkata:  “Al-Zubair telah membeli tanah al-Ghabah dengan harga seratus tujuh puluh ribu. Maka Abdullah telah menjualnya dengan harga satu juta enam ratus ribu. Kemudian dia berdiri dan berkata:  “Barang siapa yang memiliki hak (hutang) pada al-Zubair, maka hendaklah dia meminta bayaran kepada kami dari al-Ghabah.”

Abdullah bin Ja’far merupakan individu yang Al-Zubair berhutang kepadanya sebanyak empat ratus ribu, datang dan berkata kepada Abdullah (bin Al-Zubair): “Jika engkau mahu maka aku halalkan hutangnya padaku.”[11] Abdullah berkata:  “Tidak!” Abdullah bin Ja’far berkata lagi:  “Jika kamu mahu, kamu boleh tunda bayarannya.” Abdullah bin al-Zubair berkata:  “Tidak!” Dia (perawi) berkata:  Maka dia (Abdullah bin Ja’far) berkata:  “Ukurlah satu bahagian daripada tanah untukku.” Abdullah (bin al-Zubair) berkata:  “Untukmu dari tempat ini hingga ke tempat ini.” Dia (perawi) berkata:  Dia menjualnya lalu membayar dan melunaskan hutangnya.

Lalu berbaki daripadanya empat bahagian setengah. Dia (Abdullah bin Al-Zubair) datang menemui Mu’awiyah — dan di sisinya terdapat ‘Amr bin ‘Uthman, al-Mundzir bin al-Zubair dan Ibn Zam’ah- lalu Mu’awiyah berkata kepadanya: “Berapakah harta dinilaikan yang ditetapkan untuk Al-Ghabah?” Abdullah menjawab: “Setiap satu bahagian berharga seratus ribu.” Mu’awiyah berkata:  “Berapa bahagian yang masih berbaki?” Abdullah menjawab: “empat bahagian setengah.” Al-Mundzir bin al-Zubair berkata:  “Aku ingin membeli satu bahagian dengan harga seratus ribu.” ‘Amr bin ‘Uthman pula berkata:  “Aku ingin membeli satu bahagian dengan harga seratus ribu.” Ibn Zam’ah berkata:  “Aku ingin membeli satu bahagian dengan harga seratus ribu.”

Mu’awiyah berkata:  “Berapa  bahagian lagi yang berbaki?” Abdullah menjawab: “Masih berbaki sebanyak satu bahagian setengah.” Mu’awiyah berkata:  “Aku ingin membelinya dengan harga seratus lima puluh ribu.”[12] Dia (perawi) berkata: “Abdullah bin Ja’far turut menjual bahagiannya kepada Mu’awiyah dengan harga enam ratus ribu.

Setelah Ibn al-Zubair selesai melunaskan hutangnya, maka anak-anak al-Zubair berkata: “Bahagikanlah bahagian fara’id di antara kami.”[13] Abdullah berkata:  “Tidak, demi Allah aku tidak akan membahagikannya sehinggalah aku membuat pengumuman ketika musim (haji) selama empat tahun: “Ketahuilah, barang siapa yang al-Zubair berhutang dengannya, maka hendaklah dia menemui kami agar kami dapat melunaskannya.” Dia (perawi) berkata:  “Maka setiap tahun dia mengumumkan ketika musim (haji).”

Setelah berlalu empat tahun, dia pun membahagikannya kepada mereka.” Dia (perawi) berkata:  Al-Zubair memiliki empat orang isteri, lalu diasingkan sebanyak satu pertiga daripada harta, maka setiap isteri memperoleh sebanyak satu juta dua ratus ribu. Manakala kesemua hartanya berjumlah lima puluh juta dua ratus ribu.”

Inilah sepertimana yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari (no. hadith 3129).

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari (9/392), terdapat beberapa pelajaran yang boleh diambil daripada hadith ini. Antaranya:

  • Disunatkan untuk membuat wasiat apabila menghadapi situasi yang dikhuatiri boleh membawa maut.
  • Penerima wasiat harus menangguhkan pembahagian harta pusaka sehingga semua hutang si mati dilunaskan dan wasiat-wasiatnya dipenuhi jika masih termasuk dalam satu pertiga harta pusaka.
  • Memastikan semua hutang telah dilunaskan sebelum harta pusaka dibahagikan.
  • Boleh menunggu untuk melunaskan hutang jika harta pusaka tidak berupa wang tunai, dan pemiutang tidak mahu menerima pembayaran selain wang tunai.
  • Berhutang bukanlah perkara yang makruh (tidak disukai) jika pelakunya mampu membayar.
  • Hibah (pemberian) tidak dapat dimiliki kecuali selepas diserahkan.
  • Hibah yang belum diserahkan belum mengeluarkan harta itu dari pemilikan yang pertama. Kerana Ibn Ja’far menawarkan kepada Ibn al-Zubair untuk membebaskan mereka dari tanggungan hutang al-Zubair, tetapi Ibn al-Zubair menolaknya.
  • Kedermawanan Ibn Ja’far yang mengikhlaskan hartanya yang cukup besar.
  • Sesiapa yang menghibahkan harta kepada seseorang, tetapi penerima hibah menolaknya, maka pemberi hibah tidak dianggap mengambil kembali apa yang telah dihibahkannya.
  • Sikap Ibn al-Zubair yang menolak hibah harus difahami bahawa semua waris menyetujuinya, dan dia mengetahui waris yang belum baligh juga akan setuju dengan kebijaksanaannya itu selepas mereka baligh. Namun, Ibn Battal menjawab bahawa hal ini bukan perkara yang mempunyai hukum tetap apabila berlaku persengketaan, tetapi hal ini diperintahkan dalam kemuliaan jiwa dan kebaikan akhlak. Secara lahiriah, Ibn al-Zubair mengambil semua hutang dalam tanggungannya dan berkomitmen untuk melunasinya, lalu para waris meredhainya.
  • Sikap al-Zubair yang sangat baik dalam memperlakukan sahabat-sahabatnya, kerana dia rela menjaga titipan mereka ketika mereka tiada. Dia juga mengurus wasiat-wasiat mereka kepada anak-anak selepas mereka meninggal dunia. Dia tidak cukup dengan hal ini sehingga bersikap ekstra hati-hati dengan menjadikan harta benda mereka sebagai titipan atau wasiat, di mana dia menjadikannya sebagai tanggungannya walaupun umumnya dia sendiri tidak memerlukannya. Dia mengubah dari titipan menjadi hutang untuk memperkuat pemeliharaan harta mereka. Adapun pendapat Ibnu Battal sebelumnya, “Dia melakukan hal itu untuk mendapatkan keuntungan dari harta tersebut” perlu ditinjau lebih lanjut, kerana hal ini memerlukan penetapan bahawa dia menggunakannya untuk berdagang dan hartanya yang banyak diperoleh kerana perdagangan, padahal secara lahiriah menyalahi hal itu. Sebab jika demikian maka apa yang dia tinggalkan ketika kematiannya pasti akan dapat melunasi hutang bahkan mungkin melebihi jumlah hutangnya. Padahal kenyataannya jumlah peninggalannya jauh lebih kecil dari jumlah hutangnya, hanya saja Allah memberkatinya dengan menanamkan keinginan kuat dalam hati orang yang ingin membeli tanah yang ditinggalkannya untuk membeli berlipat ganda melebihi harganya. Kemudian keberkatan ini terus mengalir sehingga sampai kepada Abdullah bin Ja’far kerana apa yang tampak dari kisah ini berupa akhlak mulia sehingga dia mendapat untung dari bahagiannya dari tanah yang diberikan Muawiyah.
  • Ibn al-Jauzi berkata, “Hadis ini menjadi bantahan bagi mereka yang tidak menyukai mengumpulkan harta yang banyak, sebagaimana yang beredar di kalangan orang-orang awam yang mengaku zuhud.” Namun, pernyataan ini ditanggapi bahawa perkataan mereka hanya sekadar motivasi, kerana pemberi nasihat perlu memotivasi orang-orang agar bersikap zuhud dan tidak mementingkan urusan dunia. Keadaan bahawa yang demikian tidak dianggap makruh bagi al-Zubair dan orang-orang sepertinya tidak bermakna berlaku umum bagi semua orang.
  • Pentingnya masalah hutang, kerana seperti al-Zubair dengan segala keutamaan dan kedudukannya tetap merasa gentar jika ditagih hutang selepas kematiannya.
  • Kekuatan jiwa Abdullah bin al-Zubair kerana tidak menerima bantuan yang ditawarkan oleh Hakim bin Hizam, juga pembebasan hutang yang ditawarkan oleh Abdullah bin Ja’far. (Lihat Fath al-Bari, 9/393)

Berdasarkan kenyataan di atas, beberapa pelajaran penting dalam pengurusan hutang dan wasiat dapat dipelajari. Antaranya ialah kepentingan melunaskan semua hutang sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan. Selain itu, kisah ini juga menonjolkan tekad dan kekuatan jiwa dalam menghadapi hutang, seperti yang ditunjukkan oleh Abdullah bin al-Zubair, yang dengan penuh tekad melunaskan hutang yang ditinggalkan oleh bapanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

NOTA HUJUNG:

[1]. Beliau merupakan seorang sahabat yang soleh, mujahid fi sabilillah, serta anak kepada sahabat yang dijamin syurga, iaitu Zubair bin ‘Awwam. Ibunya bernama Asma’ binti Abu Bakar. Nama penuh beliau ialah Abdullah bin al-Zubair bin al-‘Awwam bin Khuwailid bin Asas bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qushai al-Asadi. Abdullah ibn al-Zubair lahir pada tahun pertama Hijrah. Beliau merupakan tokoh ahli ibadah yang tekun melakukan solat malam dan berpuasa, dan meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SAW sebanyak 33 hadith.

[2]. Perang Jamal atau perang unta berlaku pada 11 Jamadil Akhir 36H atau Disember 657M yang mengambil masa tidak sampai sehari. Kemenangan berpihak kepada Saidina Ali. Sebagai khalifah yang bijak, Saidina Ali memaafkan mereka yang sebelum ini menghunus pedang untuk memeranginya. Aisyah juga dikirim kembali ke Madinah dengan dikawal oleh sepasukan wanita lengkap bersenjata.

[3]. Ini menunjukkan pentingnya wasiat. Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَيْءٌ يُوصِي فِيهِ، يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ إِلَّا وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidak selayaknya bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan tidur selama dua malam melainkan wasiatnya sudah ditulis di sisinya.” [Riwayat al-Bukhari, no. 2738 dan Muslim, no. 1627]

Hadis ini menyebut kalimah ‘tidak selayaknya’ atau ‘tidak sepatutnya’, yang menunjukkan bahawa langkah berhati-hati perlu diambil, iaitu dengan menulis wasiat di sisinya kerana dia tidak mengetahui bila ajalnya akan tiba. Ini berkemungkinan kelalaiannya mengakibatkan segala hajatnya tergendala.

[4]. Ini menunjukkan betapa tajam firasat dan sangkaan sahabat Nabi yang bernama al-Zubair ini.

[5].Penulis menyatakan di sini, beberapa dalil yang menunjukkan betapa hutang ini memberi kerunsingan antaranya: Daripada Uqbah bin Amir bahawa Rasulullah SAW yang bersabda: Janganlah membuat takut jiwa kamu setelah dia berasa tenang! Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa maksudnya?” Baginda menjawab, “Hutang.” [Riwayat al-Tahawi, no. 4282]. Dalam athar yang lain menyebut: “Hutang adalah kecemasan di malam hari dan kehinaan pada siangnya.” Imam al-Qurtubi berkata: “Para ulama’ berpendapat bahawa aib dan kehinaan di situ diakibatkan sibuknya hati dan fikiran serta perasaan cemas yang sentiasa menyelubunginya kerana ingin melunaskan hutangnya, dan perasaan rendah diri ketika bertemu dengan orang yang menghutangi dan berasa amat menderita kerana telah menunda pelunasan hutangnya sampai melebihi batas yang ditentukan.”

[6]. Inilah sifat sahabat yang cuba menyelesaikan pembayaran hutang dan berazam dengan bersungguh-sungguh. Benarlah hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) disertai maksud akan membayarnya, maka Allah akan membayarkannya untuknya, sebaliknya siapa yang mengambilnya dengan maksud ingin merosakkannya (yakni merugikan pemiutang), maka Allah akan merosakkannya (yakni merugikan penghutang itu).” [Riwayat al-Bukhari, 2387]

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Lafaz Allah akan melenyapkan secara zahir pelenyapan di sini terjadi pada kehidupan dunianya iaitu pada penghidupan atau mata pencariannya atau pada dirinya”. Hadis ini merupakan satu tanda daripada tanda-tanda kenabian: kerana kita sering kali melihat dengan mata kepala kejadian orang-orang yang mengalami dua peristiwa yang saling bertolak belakang disebutkan dalam hadis di atas. Ada juga yang mengatakan, bahawa maksud daripada pelenyapan ini adalah azab di Akhirat.” (Lihat Fath al-Bari, 5/154)

[7]. Penulis teringat kepada sebuah hadis yang memberi semangat kepada yang ingin melunaskan hutang. Daripada Maimunah binti al-Harith R.Anha sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدَّانُ دَيْنًا يَعْلَمُ اللَّهُ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ إِلاَّ أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ فِي الدُّنْيَا

Maksudnya: “Tidakkah seorang Muslim berhutang, sedang Allah mengetahui bahawa ia bertekad untuk melunaskannya nescaya Allah akan melunaskan hutangnya ketika dia masih hidup.” [Riwayat Ibn Majah, no. 2408].

[8]. Inilah karamah para sahabat kerana benarnya hati kepada Allah. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُۥ مِنۡ أَمۡرِهِۦ يُسۡرٗا

Maksudnya: “..maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat.” [Surah al-Nisa’: 3]

[9]. Ketika terjadinya Perang Jamal antara pasukan yang dipimpin Aisyah binti Abu Bakar dengan pasukan Ali bin Abi Talib, al-Zubair bertemu dengan Ali dan menyatakan dirinya tidak lagi memihak dan akan berusaha mendamaikan kedua pasukan itu. Selepas itu ketika sedang bersolat, beliau ditikam oleh Amr Ibn Jarmuz.

[10]. Inilah cara di mana berlakunya keuntungan bersama. Harta sekali-kali tidak dibiarkan menjadi beku, tetapi dikembangkan untuk mendapat keuntungan. Dalam istilah Muamalat bolehlah dianggap sebagai Mudharabah. Menurut istilah ulama’ fiqh, perkongsian seperti ini berlaku apabila pemilik menyerahkan hartanya kepada seseorang untuk diusaha dan diniagakan. Keuntungan pula akan dikongsi bersama. Atas dasar ini, amalan ini dinamakan juga sebagai syarikat kerana mereka berkongsi keuntungan. Benarlah hadith Nabi SAW, daripada Suhaib RA bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلاَثٌ فِيهِنَّ الْبَرَكَةُ الْبَيْعُ إِلَى أَجَلٍ وَالْمُقَارَضَةُ وَإِخْلاَطُ الْبُرِّ بِالشَّعِيرِ لِلْبَيْتِ لاَ لِلْبَيْعِ

Maksudnya: “Ada tiga perkara yang diberkati iaitu jual beli secara hutang, muqaradhah dan mencampurkan gandum dan barli untuk kegunaan rumah bukan untuk dijual.” [Riwayat Ibn Majah, no. 2289]

Walaupun sanad kesemua hadis ini lemah, tetapi secara keseluruhannya semua sanad ini saling kukuh memperkukuh antara satu sama lain. Hal ini menjadikan hadis-hadis ini boleh diterima dan boleh dijadikan hujah. Apatah lagi, ia disokong oleh amalan para sahabat dan ijma’ mereka.

[11].  Sikap inilah yang dipuji oleh Rasulullah SAW sepertimana dalam riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Dan Allah SWT menolong hambanya selama mana hamba itu menolong saudaranya.” [Riwayat Muslim, no. 1924]

[12]. Itulah hebatnya orang Arab Quraisy dalam menyelesaikan hutang. Antara pengajaran yang dapat diambil di sini ialah:

  • Sikap sahabat yang menolong melangsaikan hutang dengan cara pembelian harta atau tanah.
  • Sikap sahabat sanggup membantu melangsaikan hutang ayahnya.
  • Sikap sahabat yang tidak mahu mengambil kesempatan tatkala ada di kalangan sahabat yang ingin memberikan pertolongan dan bantuan.
  • Peranan pemimpin yang begitu cakna dan prihatin terhadap rakyat jelata terutamanya isu hutang.
  • Menjual aset dalam membayar hutang adalah satu langkah yang bijak.
  • Hebatnya al-Zubair bin al-Awwam dengan peninggalan yang banyak.

[13]. Ilmu Fara’id juga disebut sebagai ilmu mawarith, yang merupakan perkataan jama’ (plural) bagi mirath (warisan) yang juga disebut sebagai turath dan irth. Ia merupakan kata nama bagi harta pusaka yang diwarisi daripada si mati. Hukum pusaka yang disyariatkan dalam Islam. Ia telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hikmah hukum pusaka disyariatkan dan harta dibahagikan kepada pewaris amat jelas, antaranya:

Menghormati fitrah manusia. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia supaya mengasihi anak yang dianggap sebagai cahaya hidup dan penyambung hayat. Oleh itu, kita dapati manusia sanggup bersusah payah hanya untuk anak-anak mereka. Dengan kesungguhan inilah kekayaan dan kehidupan di dunia berkembang. Sekiranya Islam mengharamkan pusaka, kesungguhan untuk bekerja menjadi malas dan segala usaha mereka menjadi sia-sia. Hasil susah payah mereka akan bertukar tangan, mungkin kepada orang yang tidak disukainya. Fenomena ini bertentangan dengan fitrah yang Allah jadikan untuk manusia. Hal ini berdasarkan maksud firman Allah SWT:

ٱلۡمَالُ وَٱلۡبَنُونَ زِينَةُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.” [Surah al-Kahfi: 46]

Dan di dalam maksud firman Allah SWT yang lain:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٰتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ

Maksudnya: “Dihiaskan(dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak.” [Surah al-Kahfi: 46]

Merealisasikan keseimbangan sosial dalam lingkungan keluarga kerana harta yang mereka miliki melalui pusaka ini mendatangkan kebaikan kepada semua.

Memelihara hubungan silaturahim setelah kematian si mati. Ini kerana kaum keluarga si mati seperti saudara lelaki, saudara perempuan dan sebagainya akan menerima bahagian masing-masing daripada harta si mati.

Leave a Reply