Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan, apakah perbezaan kalimah ‘نَجَّيْنَا’ dan ‘أَنجَيْنَا’ dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kalimah ‘أَنجَيْنَا’ dan ‘نَجَّيْنَا’ disebut beberapa kali di dalam al-Quran. Perkataan “نََجََّى” membawa maksud menyelamatkan atau melepasakan atau megeluarkan. Begitu juga dengan  “أنجى”, apabila disebut ‘أَنْجَى فَلَانًا مِمَّا نَزَلَ بِهِ’, ia bermaksud menyelamatkan atau melepaskan seseorang daripada apa yang menimpanya.  (Lihat Mu’jam al-Lughah al-Mu’asarah, 3/174,175)

Allah SWT berfirman:

وَإِذْ نَجَّيْنَاكُم مِّنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ يُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ ۚ وَفِي ذَٰلِكُم بَلَاءٌ مِّن رَّبِّكُمْ عَظِيمٌ

Maksudnya: “Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu. ”

(Surah al-Baqarah:49)

Al-Qurtubi menyebutkan bahawa: “Ingatlah nikmat-Ku kepada kamu dengan menyelamatkan kamu daripada musuh kamu dan menjadikan para nabi dalam kalangan kamu. Seruan ini ditujukan kepada orang-orang yang ada pada masa itu, yang dimaksudkan adalah nenek moyang mereka yang telah berlalu. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 1/381)

وَإِذْ فَرَقْنَا بِكُمُ الْبَحْرَ فَأَنجَيْنَاكُمْ وَأَغْرَقْنَا آلَ فِرْعَوْنَ وَأَنتُمْ تَنظُرُونَ

Maksudnya: “Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.”

(Surah al-Baqarah:50)

Jalaluddin al-Suyuti menyatakan: Demi Allah, Dia telah membelah laut untuk mereka sehingga menjadi jalan kering yang mereka boleh lalui. Maka, Dia menyelamatkan mereka dan menenggelamkan kaum Firaun, musuh mereka. Ini adalah nikmat-nikmat daripada Allah, yang diperkenalkan kepada mereka agar mereka bersyukur dan mengenali hak-Nya. (Lihat al-Dur al-Manthur fi Tafsir bi al-Ma’thur, 1/167)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa secara umumnya kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud yang sama iaitu menyelamatkan. Namun, menurut sebahagian ulama kedua-dua kalimah tersebut mempunyai perbezaan yang halus.

Menut Dr Fadhil Soleh al-Samarrai: Al-Quran sering kali menggunakan kata “ نجّى ’’ (najja) untuk menunjukkan proses penyelamatan yang mengambil masa dan penuh ketelitian, manakala “أنجى “ (anja) digunakan untuk penyelamatan yang lebih cepat. Maka, “أنجى” membawa maksud penyelamatan yang lebih segera berbanding “نجّى” dalam melepaskan seseorang daripada kesulitan dan penderitaan.

Berdasarkan ini, apabila penyelamatan dari laut berlaku dengan cepat tanpa memakan masa yang lama, ayat pertama dalam Surah al-Baqarah menggunakan “أنجى ”. Sebaliknya, dalam situasi bersama Firaun yang memakan masa lebih lama, kata “نجّى” digunakan.[1]

Menurut Syeikh al-Sya’rawi pula beliau menyatakan: Kalimah “نجَّى” digunakan ketika azab sudah turun, manakala “أنجى”bermaksud mencegah azab daripada menimpa mereka. Yang pertama merujuk kepada penyelamatan daripada azab yang sedang berlaku, dan yang kedua bermakna menghilangkan azab Firaun sepenuhnya dari mereka. Maka, nikmat Allah kepada mereka berlaku dalam dua tahap: tahap pertama, Dia melepaskan mereka daripada azab yang sedang menimpa; tahap kedua, Dia menjauhkan mereka dari kaum Firaun, sehingga mereka terlindung daripada azab itu. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 1/325)

Justeru, perbezaan ini menunjukkan kehalusan dan ketelitian bahasa Al-Quran dalam menggambarkan situasi penyelamatan yang berbeza mengikut konteks setiap peristiwa. Ia juga mengajak kita untuk bertadabbur tentang kebijaksanaan Allah dalam menyampaikan pertolongan dengan cara yang paling sesuai sama ada secara segera atau berperingkat sebagai tanda kasih sayang-Nya terhadap hamba-hamba-Nya.

Allah SWT memerintahkan umat manusia supaya bertadabbur dengan ayat al-Quran supaya dapat menjadi iktibar dan pengajaran kepada setiap makhluk. Firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah Sad: 29)

Ibnu Kathir menyebut bahawa al-Quran merupakan petunjuk bagi setiap perkara yang benar dan sahih dan di ambil pengajarannya daripada akal pemikiran jelas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/63)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu‘Alam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://tadars.com/tdbr/eloquence/9865 Diakses pada 25 Oktober 2024

Leave a Reply