Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perbezaan antara perkataan Kazib dalam Surah Yunus ayat 17 yang datang dalam bentuk nakirah, dengan perkataan al-Kazib dalam Surah Ali ‘Imran ayat 94 yang datang dalam bentuk ma‘rifah? Adakah di sana terdapat rahsia dan hikmah di sebalik perbezaan tersebut? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bawakan terlebih dahulu ayat-ayat yang berkenaan iaitu firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran:

فَمَنِ افْتَرَىَ عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ مِن بَعْدِ ذَلِكَ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

(Surah Ali ‘Imran: 94)

Abu al-Su‘ud menafsirkan ayat di atas bahawa maknanya adalah sesiapa yang mereka-reka suatu pendustaan atas nama Allah SWT dengan mendakwa bahawa Dia telah mengharamkan perkara yang disebutkan sebelum penurunan kitab Taurat kepada Bani Israel dan umat-umat sebelumnya. (Lihat Irsyad al-‘Aql al-Salim ila Mazaya al-Kitab al-Karim,  2/59)

Manakala dalam surah Yunus, Allah SWT berfirman:

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِآيَاتِهِ ۚ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْمُجْرِمُونَ

Maksudnya:  “Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.”

(Surah Yunus: 17)

Al-Nasafi menjelaskan ayat “فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افترى عَلَى الله كَذِبًا” bahawa berkemungkinan maksudnya adalah pembohongan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik terhadap Allah, dengan mendakwa bahawa Dia memiliki sekutu dan anak, dan juga sebagai langkah menghindari apa yang mereka sandarkan kepada-Nya daripada pembohongan. Seterusnya ayat “أَوْ كَذَّبَ بِآيَاتِهِ” pula bermaksud mendustakan ayat-ayat-Nya dalam al-Quran, yang menjelaskan bahawa mereka yang berbohong terhadap Allah dan mendustakan ayat-ayat-Nya adalah sama dalam kekufuran. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa tidak akan berjaya. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 2/12).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, Dr. Fadhil al-Samarra’i ada menjelaskan bahawa makna penggunaan bentuk ma‘rifah dan nakirah bagi perkataan tersebut adalah di mana bentuk ma‘rifah merujuk kepada sesuatu yang tertentu. Dalam konteks ini, perkataan al-Kazib (الْكَذِبَ) merujuk kepada satu perkara tertentu yang dinyatakan dalam konteks. Oleh itu, apabila disebut al-Kazib (pembohongan), ia merujuk kepada kebohongan mengenai perkara tertentu yang disebut secara khusus dalam konteks. Namun, apabila hanya disebut kazib (كذب) dalam bentuk nakirah, ia merangkumi segala bentuk pembohongan.

Sebagai contoh, dalam firman Allah SWT:

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِـلاًّ لِّبَنِي إِسْرَائِيلَ إِلاَّ مَا حَرَّمَ إِسْرَائِيلُ عَلَى نَفْسِهِ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ التَّوْرَاةُ قُلْ فَأْتُواْ بِالتَّوْرَاةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ، فَمَنِ افْتَرَىَ عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ مِن بَعْدِ ذَلِكَ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Ya‘qub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu — wahai Bani Israil — sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar. (Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.’”

(Surah Ali ‘Imran: 93-94)

Di sini, perbicaraannya adalah mengenai makanan yang merupakan perkara tertentu iaitu apabila dia mengharamkan sesuatu ke atas dirinya dan dia berdusta atas nama Allah dengan mengatakan, “Dia mengharamkan (makanan) ini.” Oleh itu, Baginda bersabda: “Maka, bawalah Kitab Taurat itu dalam hal ini, hal berkaitan makanan.”

Justeru, firman Allah SWT: “فَمَنِ افْتَرَى عَلَى اللّهِ الْكَذِبَ” (perkataan al-kazib datang dalam bentuk ma‘rifah) kerana pembohongan tersebut berkaitan dengan satu isu tertentu — iaitu berkenaan makanan. Sebaliknya, penggunaan perkataan kazib yang datang dalam bentuk nakirah pula adalah bersifat umum merangkumi semua bentuk pendustaan dan pembohongan, dan bukannya dusta dalam hal tertentu sahaja. Misalnya dalam Surah Yunus, ayat 17, firman Allah SWT:

فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللّهِ كَذِبًا أَوْ كَذَّبَ بِآيَاتِهِ إِنَّهُ لاَ يُفْلِحُ الْمُجْرِمُونَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.”

(Surah Yunus: 17)

Dalam ayat di atas, tidak ada isu tertentu yang dinyatakan lalu menjadikan kebohongan/pendustaan itu bersifat umum. Oleh yang demikian, perkataannya (iaitu kazib) dalam bentuk nakirah dari segi bahasa adalah merujuk kepada penggunaannya secara umum dan menyeluruh (syumul).[1] (Lihat juga Lamasat Bayaniyyah fi Nusus min al-Tanzil, hlm. 701).

Kesimpulannya, perkataan al-kazib iaitu yang datang dalam bentuk ma‘rifah adalah merujuk kepada penggunaannya khusus iaitu sesuatu perkara yang tertentu. Dalam erti kata lain, pendustaan itu adalah tertumpu pada hal/topik tertentu iaitu berkenaan makanan. Manakala perkataan kazib yang datang dalam bentuk nakirah adalah merujuk kepada penggunaannya secara umum yang merangkumi semua bentuk pendustaan dan kebohongan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.facebook.com/groups/1644933089141517/posts/2828594967441984/?_rdr. Diakses pada 25 Oktober 2024.

Leave a Reply