Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah sifat memberi makan kepada orang miskin adalah satu manifestasi terhadap keimanan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Dalam surah al-Muddaththir iaitu salah satu surah yang awal diturunkan, al-Quran memperlihatkan kepada kita suatu peristiwa di akhirat, di mana “golongan kanan” dalam kalangan Muslimin yang berada di dalam syurga bertanya kepada golongan kafir dan para pembohong sebab mereka dicampak ke dalam neraka. Golongan tersebut menjawab bahawa mereka dicampakkan ke dalam neraka kerana tidak mengambil berat terhadap golongan miskin dan membiarkan mereka berada dalam kelaparan. Firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ (38) إِلَّا أَصْحَابَ الْيَمِينِ (39) فِي جَنَّاتٍ يَتَسَاءَلُونَ (40) عَنِ الْمُجْرِمِينَ (41) مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ (42) قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ (43) وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ (44) وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ (45) وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ

Maksudnya: Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya, Kecuali puak Kanan, (Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya, Tentang (tempat tinggal) golongan yang bersalah, (Setelah melihat golongan yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Golongan yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan golongan yang mengerjakan sembahyang: “Dan kami tidak pernah memberi makan golongan miskin; “Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama- sama golongan yang memperkatakannya; “Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan.”

(Surah al-Muddaththir: 38-46)

Maksud memberi makan golongan miskin dalam ayat di atas juga termasuk memberi pakaian, perumahan, dan keperluan-keperluan asas mereka.

Al-Tabari berkata: Firman Allah, ‘وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ’ (Dan kami tidak pernah memberi makan golongan miskin), yakni disebabkan oleh kedekut atas nikmat yang telah diberikan Allah SWT dan enggan memberikan hak orang lain. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/757)

Secara jelasnya, ahli syurga yang dikenali sebagai Ashab al-Yamin ini bertanyakan soalan terhadap orang kafir, apakah yang menyebabkan mereka masuk ke dalam Neraka Saqar? Lalu mereka menjawab bahawa mereka bukanlah dari golongan yang melaksanakan solat fardu. Mereka juga tidak pernah memberikan makanan atau sesuatu perkara yang menjadi kewajipan ke atas mereka memberinya terhadap orang miskin. Ayat 43 dan 44 ini menunjukkan bahawa mereka jelas memperakui kesalahan mereka dengan kata-kata penafian yang berterusan, iaitu mereka sentiasa berterusan menafikan bahawa mereka tidak menunaikan solat fardu, dan mereka juga sentiasa berterusan menafikan bahawa mereka tidak memberikan makan kepada golongan fakir miskin. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 15/147)

Dalam surah al-Qalam, Allah menceritakan kisah pemilik-pemilik kebun yang menunggu waktu malam untuk memetik hasil kebun mereka untuk mengelak daripada memberi kepada golongan miskin sebahagian daripada hasil kebun mereka. Mereka akhirnya ditimpa laknat Allah. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, hlm. 18-19)

Firman Allah SWT:

فَطَافَ عَلَيْهَا طَائِفٌ مِّن رَّبِّكَ وَهُمْ نَائِمُونَ (19) فَأَصْبَحَتْ كَالصَّرِيمِ (20) فَتَنَادَوْا مُصْبِحِينَ (21) أَنِ اغْدُوا عَلَىٰ حَرْثِكُمْ إِن كُنتُمْ صَارِمِينَ (22) فَانطَلَقُوا وَهُمْ يَتَخَافَتُونَ (23) أَن لَّا يَدْخُلَنَّهَا الْيَوْمَ عَلَيْكُم مِّسْكِينٌ (24) وَغَدَوْا عَلَىٰ حَرْدٍ قَادِرِينَ (25) فَلَمَّا رَأَوْهَا قَالُوا إِنَّا لَضَالُّونَ (26) بَلْ نَحْنُ مَحْرُومُونَ (27) قَالَ أَوْسَطُهُمْ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ لَوْلَا تُسَبِّحُونَ (28) قَالُوا سُبْحَانَ رَبِّنَا إِنَّا كُنَّا ظَالِمِينَ (29) فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَلَاوَمُونَ (30) قَالُوا يَا وَيْلَنَا إِنَّا كُنَّا طَاغِينَ (31) عَسَىٰ رَبُّنَا أَن يُبْدِلَنَا خَيْرًا مِّنْهَا إِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا رَاغِبُونَ (32) كَذَٰلِكَ الْعَذَابُ ۖ وَلَعَذَابُ الْآخِرَةِ أَكْبَرُ ۚ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka kebun itu didatangi serta diliputi oleh bala bencana dari Tuhanmu (pada malam hari), sedang mereka semua tidur. Lalu menjadilah ia sebagai kebun yang telah binasa semua buahnya. Kemudian pada pagi-pagi, mereka panggil memanggil antara satu dengan yang lain – (Setengahnya berkata): “Pergilah pada pagi-pagi ke kebun kamu, kalau betul kamu mahu memetik buahnya”. Lalu berjalanlah mereka sambil berbisik (katanya): “Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu mendapatkan kamu”. Dan pergilah mereka pada pagi-pagi itu, dengan kepercayaan, (bahawa) mereka berkuasa menghampakan fakir miskin dari hasil kebun itu. Sebaik-baik sahaja mereka melihat kebunnya, mereka berkata: “Sebenarnya kita sesat jalan, (ini bukanlah kebun kita)”. (Setelah mereka perhati dengan teliti, mereka berkata: “Tidak! Kita tidak sesat), bahkan kita orang-orang yang dihampakan (dari hasil kebun kita, dengan sebab ingatan buruk kita sendiri)”. Berkatalah orang yang bersikap adil di antara mereka: “Bukankah aku telah katakan kepada kamu (semasa kamu hendak menghampakan orang-orang fakir miskin dari habuannya): amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu) ?” Mereka berkata (dengan sesalnya): “Maha Suci Tuhan Kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!” Kemudian setengahnya mengadap yang lain, sambil cela-mencela. Mereka berkata: “Aduhai celakanya kita! Sesungguhnya kita adalah orang-orang yang melampaui batas. “Semoga Tuhan kita, (dengan sebab kita bertaubat) menggantikan bagi kita yang lebih baik daripada (kebun yang telah binasa) itu; sesungguhnya, kepada Tuhan kita sahajalah kita berharap”. Demikianlah azab seksa (yang telah ditimpakan kepada golongan yang ingkar di dunia), dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih besar lagi; kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan (tentulah mereka beringat-ingat).”

(Surah al-Qalam: 19-33)

Dalam Tafsir al-Bayan, dijelaskan bahawa Allah SWT merakamkan keadaan para pemilik kebun di mana mereka mewarisi kebun daripada waris mereka yang suka membantu golongan miskin. Menurut Mujahid bin Jabr, kebun tersebut merupakan kebun anggur. Kalangan mufasir yang lain menjelaskan bahawa kebun ini meliputi pelbagai jenis tanaman yang menghasilkan limpahan buah-buahan.

Dahulunya, waris mereka gemar memanggil orang-orang miskin untuk datang mengambil lebihan hasil termasuk buah-buahan yang tersalah pungut agar dapat dimanfaatkan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/63) Waris ini melakukan jariah yang amat menyenangkan golongan miskin. Apabila anak-anaknya mewarisi kebun itu, mereka lebih mementingkan keuntungan mutlak. Mereka tidak mahu mewarisi tauladan murni waris mereka.

Kali ini, mereka berpakat sesama sendiri untuk meminggirkan orang-orang miskin. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 68/1907) Untuk tujuan itu, pada suatu hari mereka bersumpah akan memetik sendiri hasil kebun pada awal pagi keesokan hari. Mereka langsung tidak mengingati Allah SWT. Bahkan niat mereka bertambah buruk. Para pemilik kebun tersebut nekad untuk memastikan hasil kebun itu tidak diberikan kepada golongan miskin.

Sewaktu para pemilik kebun sedang tidur lena pada waktu malam, Allah SWT menurunkan azab ke atas kebun mereka. Segala tanaman hancur terbakar dalam satu malam tanpa disedari mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 15/64) Pada waktu subuh, para pemilik mula memanggil antara satu sama lain untuk bergerak bagi menjalankan rancangan mereka. Mereka bergerak ketika subuh supaya dapat menyelesaikan pungutan hasil tanaman sebelum ketibaan golongan miskin. Lalu berjalanlah mereka sambil berbisik: “Pada hari ini, janganlah hendaknya seorang miskin pun masuk ke kebun itu untuk mendapatkan buah-buahan.”

Mereka bergerak dengan penuh yakin bahawa rancangan mereka untuk  menghampakan fakir miskin akan berjaya. Segala kemewahan akan menjadi milik mereka sepenuhnya tanpa perlu diagih-agihkan seperti biasa. Setibanya mereka di kebun, mereka mendapati laman kebun sudah tiada. Tanah kebun menjadi hangus dan licin daripada sebarang tanaman. Seolah-olah tidak pernah terbina kebun yang luas. Para pemilik kebun menjadi tidak keruan. (Lihat Tafsir al-Azhar, 29/60) Lantas mereka menyebut: “Sebenarnya kita sesat jalan, (ini bukanlah kebun kita).”

Akan tetapi, itulah lokasi kebun yang selalu dikunjungi. Setelah mereka bertenang, mereka mula berkata: “Tidak! (kita tidak sesat), bahkan kita adalah orang-orang yang dihampakan!” Ketika itu, timbul keinsafan dalam diri. Mereka mula memahami bahawa kebun asal mereka telah dihancurkan Allah SWT disebabkan sikap tamak lagi tidak bersyukur mereka kepada Tuhan Yang Maha Pengurnia Rezeki.

Salah seorang daripada mereka mula menyuarakan kepada saudara-saudaranya. Dia pernah menyebut sebelum ini bahawa rancangan untuk menghampakan orang-orang miskin adalah tindakan yang buruk. HAMKA menyebut lelaki tersebut merupakan seorang yang sudah tentu matang, berpengalaman dan tidak terlalu tua atau terlalu muda. Dia pada asalnya tidak bersetuju namun akhirnya terpaksa akur dengan kehendak saudara-saudaranya.

Dalam peringatan lelaki tersebut, dia sempat menyebut amatlah elok kiranya mereka dapat mengingati Allah serta membatalkan rancangan yang bercanggah dengan ketetapan saksama sebelum ini. Malangnya hasil perbincangan mereka terus memutuskan untuk mensasarkan keuntungan biarpun dengan cara menindas orang-orang miskin.

Allah SWT merakamkan penyesalan mereka namun segala harta sudah pun hancur. Mereka kembali bermunajat kepada Allah SWT dan mengakui mereka adalah golongan yang zalim kerana mahu menzalimi orang-orang miskin. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/66) Tiada lagi celaan terhadap orang-orang miskin bahkan mereka mula mencela sikap diri sendiri yang menjadi punca penerimaan balasan daripada Tuhan.

Bukanlah mudah untuk membina semula harta yang musnah. Jika mereka mahu mengusahakan kembali, mereka sudah sedar hakikat yang akan menentukan kelangsungan kebun hanyalah di bawah kuasa Allah SWT. Para pemilik kebun berharap agar Allah SWT mengantikan sesuatu yang lebih baik daripada kebun yang pernah mereka miliki.

Demikianlah kisah azab yang telah ditimpakan ke atas golongan yang tidak bersyukur kepada Tuhan. Mereka mempamerkan sifat bakhil, dengan menyekat golongan miskin dan bersikap kufur nikmat. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 68/1907) Apabila Allah SWT menentukan azab, tiada siapa yang dapat menahan meskipun memiliki kekayaan yang luar biasa. Sesungguhnya azab hari akhirat lebih parah berbanding balasan di dunia. Inilah hakikat yang perlu difahami manusia agar berwaspada terhadap sikap kufur nikmat dan lalai mengingati Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/332)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Leave a Reply