Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya melihat sesetengah melakukan jual beli secara online pada waktu Jumaat, apakah pandangan syariah mengenai hukum tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Al-Baidhawi di dalam tafsirnya menyebutkan: Ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa Allah SWT membolehkan aktiviti jual beli dalam kehidupan seharian. Namun, terdapat waktu-waktu tertentu di mana Allah SWT melarangnya, seperti ketika panggilan solat Jumaat berkumandang bagi kaum lelaki. Larangan ini bertujuan untuk menggalakkan kaum lelaki meninggalkan urusan dunia dan menghadiri solat Jumaat, yang merupakan kewajipan dalam Islam. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan: Wahai orang-orang yang beriman, jika dikumandangkan azan kedua untuk melaksanakan solat ketika khatib duduk di atas mimbar pada hari jumaat, maka berjalanlah untuk melaksanakan solat dan mendengarkan khutbah, kerana di dalamnya disebut nama Allah. Tinggalkanlah kegiatan berjual-beli  dan semua hal yang menyibukkan kamu dari solat. Usaha untuk melaksanakan solat dan meninggalkan jual-beli itu lebih baik daripada kesibukan dunia dan bermuamalah dengannya. Di dalamnya terdapat pahala yang begitu besar jika kamu mengetahui hakikat dua hal iaitu kebaikan dan keburukan. maka lakukanlah,  Jika kamu mengetahui bahawa hal itu adalah kebaikan (Lihat al-Wajiz, hlm.55)

Para fuqaha juga berpandangan bahawa ayat tersebut menyatakan pengharaman terhadap melakukan urusan jual beli dan lain-lain seumpamanya (seperti akan nikah dan akad sewa menyewa) setelah dikumandangkan azan kedua solat jumaat kerana boleh melalaikan daripada menumpukan solat jumaat. (Lihat  Mausu‘ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah 9/223, dan  Bidayah al-Muhtaj, 1/391)

Larangan berjual beli pada waktu solat Jumaat tidak terhad kepada urus niaga secara fizikal sahaja, tetapi merangkumi semua bentuk transaksi, termasuk jual beli yang dijalankan secara dalam talian (online).

Dalam isu ini Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan: Tidak dibenarkan bagi seseorang yang diwajibkan hadir solat Jumaat untuk sibuk dengan jual beli secara dalam talian setelah azan kedua solat Jumaat dikumandangkan. Hendaklah dia mengisi waktunya dengan zikir dan doa, kemudian mendengar khutbah, agar memperoleh pahala dan keutamaan yang sempurna. Pengecualian diberikan dalam keadaan darurat atau keperluan mendesak yang setara dengannya, di mana darurat tersebut diukur mengikut kadarnya. Dalam keadaan ini, jual beli dibolehkan demi mengambil kira keperluan atau darurat yang ada.[1]

Sebagai kesimpulannya, apabila dikumandangkan azan kedua untuk solat Jumaat, maka mereka yang diwajibkan untuk menghadiri Jumaat dikehendaki meninggal segala urus niaga. Larangan ini bertujuan memastikan kaum lelaki Muslim memberi keutamaan kepada ibadah Jumaat dan mengelakkan gangguan dalam melaksanakan kewajiban tersebut, walaupun urusniaga dilakukan dalam bentuk moden seperti perniagaan atas talian.

Apabila azan kedua untuk solat Jumaat dikumandangkan, mereka yang diwajibkan menghadiri solat Jumaat perlu meninggalkan segala urusan niaga walaupun ia dijalankan dalam bentuk moden seperti perniagaan dalam talian. Larangan ini bertujuan memastikan kaum lelaki Muslim memberi keutamaan kepada ibadah Jumaat dan menghindari sebarang gangguan dalam melaksanakan kewajiban tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahua‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/21493/%D8%AD% Diakses pada 20 Oktober 2024

Leave a Reply