Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kalau kita angkat takbir ketika hendak bangun dari rukuk dan kemudian baca “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” dan kemudian angkat takbir lagi ketika hendak sujud. Boleh atau tidak dan sahkah sembahyang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya kita diperintahkan untuk mendirikan solat sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.”

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, mengangkat tangan dalam solat hanya disunatkan pada empat tempat:

  • Ketika takbiratul ihram.
  • Ketika hendak rukuk.
  • Ketika bangun dari rukuk untuk iktidal.
  • Ketika bangun dari tasyahud awal untuk rakaat ketiga. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/310).

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ فِي الصَّلاَةِ، فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ حَتَّى يَجْعَلَهُمَا حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ، وَإِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوعِ فَعَلَ مِثْلَهُ، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَعَلَ مِثْلَهُ، وَقَالَ: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ، وَلاَ يَفْعَلُ ذَلِكَ حِينَ يَسْجُدُ، وَلاَ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ مِنَ السُّجُودِ

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW memulakan solat dengan mengangkat takbir, dan Baginda mengangkat kedua-dua belah tangannya hingga ke paras bahu, dan apabila Baginda bertakbir untuk rukuk Baginda melakukan seperti itu, dan apabila Baginda membaca ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’ Baginda juga berbuat demikian, dan membaca pula ‘رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ’. Namun Baginda tidak berbuat demikian (mengangkat tangan) ketika ingin sujud, dan tidak juga ketika bangun daripada sujud.

Riwayat al-Bukhari (738) dan Muslim (390) dengan sedikit perbezaan lafaz

Begitu juga dalam riwayat lain dinyatakan:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ إِذَا دَخَلَ فِي الصَّلاَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ، وَإِذَا رَكَعَ رَفَعَ يَدَيْهِ، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَفَعَ يَدَيْهِ، وَإِذَا قَامَ مِنَ الرَّكْعَتَيْنِ رَفَعَ يَدَيْهِ، وَرَفَعَ ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Ibn Umar apabila beliau ingin memulakan solat, beliau akan bertakbir, dia akan mengangkat kedua-dua tangannya; dan apabila dia rukuk dia mengangkat kedua-dua tangannya; dan apabila dia menyebut ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’ beliau mengangkat kedua-dua tangannya; dan apabila bangun daripada rakaat kedua beliau mengangkat kedua-dua tangannya. Ibn Umar menisbahkan perkara tersebut kepada Nabi SAW.

Riwayat al-Bukhari (739)

Empat tempat ini telah ditetapkan sebagai tempat di mana tangan diangkat dalam solat. Dalam hadith Ibn Umar R.Anhuma disebutkan: “Baginda tidak berbuat demikian (mengangkat tangan) ketika ingin sujud, dan tidak juga ketika bangun daripada sujud.”

Bahkan tentang perbuatan mengangkat tangan ketika sujud dan bangkit daripadanya, Abdullah bin Umar R.Anhuma menafikannya, sebagaimana disebutkan dalam hadith di atas. Namun, al-Nasa’i meriwayatkan daripada Malik Ibn al-Huwairith bahawa Nabi SAW melakukan perbuatan ini, dan hadith tersebut telah disahihkan oleh sebahagian ulama, seperti al-Albani.

Ramai ahli ilmu menyatakan bahawa tambahan ini adalah syaz kerana bercanggah dengan hadith Ibn Umar yang disepakati kesahihannya. Antara yang menegaskan bahawa tambahan ini adalah syaz ialah Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Dalam kitab Zad al-Ma‘ad (1/215), beliau menyebutkan, kemudian Nabi SAW bertakbir dan turun sujud tanpa mengangkat tangannya. Akan tetapi terdapat riwayat yang mengatakan Baginda SAW juga mengangkat tangan, dan ini telah disahihkan oleh sebahagian huffaz seperti Abu Muhammad Ibn Hazm, namun ini adalah satu kekeliruan dan tidak sahih sama sekali. Yang mengelirukan perawi adalah tersilap dengan lafaz, “Baginda SAW bertakbir pada setiap kali turun dan bangkit,” yang ditafsirkan sebagai “Baginda SAW mengangkat tangan pada setiap kali turun dan bangkit.”

Al-Hafiz Ibn Rajab menyebutkan, dengan beranggapan bahawa sebutan mengenai perbuatan mengangkat tangan ini adalah terpelihara (sahih), dan tidak terkeliru antara takbir dan angkat tangan — perlu diingat bahawa Malik bin al-Huwairith dan Wa’il bin Hujr bukanlah penduduk Madinah. Mereka hanya tiba di sana sekali atau dua kali. Maka, mungkin mereka melihat Nabi SAW melakukannya sekali. Namun, hal ini bertentangan dengan penafian Ibn Umar yang sangat komited mengikut Nabi SAW dan amat teliti dalam mengingati perbuatan Baginda. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan amalan Nabi SAW adalah tidak mengangkat tangan selain pada tiga tempat dan ketika bangun dari dua rakaat — yakni dari tasyahud awal. Walau bagaimanapun, terdapatnya riwayat mengenai perbuatan mengangkat tangan ketika sujud dan selainnya, namun ia adalah hadith-hadith yang bermasalah.  (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 6/354).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa perbuatan mengangkat tangan ketika takbir intiqal (perpindahan perbuatan) untuk sujud adalah tidak disunatkan kerana Nabi tidak melakukannya sebagaimana yang diketahui melalui hadith sahih.Adapun hadith yang menyebutkan berkenaan perbuatan mengangkat tangan ketika hendak sujud dan ketika bangkit daripadanya adalah dinilai sebagai lemah oleh kebanyakan ulama. Namun, jika ada orang terangkat tangan atau mengangkat tangan ketika hendak sujud, maka hal itu tidaklah sampai membatalkan solatnya, dan solatnya tetap dianggap sebagai sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

 

Leave a Reply