Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang menyertai saham di syarikat-syarikat yang berbeza?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam bahasa Arab, sebutan yang lebih tepat bagi perkataan syarikat adalah syirkah. Walau bagaimanapun, ia boleh juga disebut dengan syarikah atau syarkah. Menurut bahasa Arab, syirkahbermaksud perkongsian melalui kontrak atau tanpa kontrak. Istilah ini digunakan bagi merujuk kepada perkongsian harta. Contohnya berdasarkan firman Allah SWT:

 وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَالَةً أَوِ امْرَأَةٌ وَلَهُ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ ۚ فَإِن كَانُوا أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ

Maksudnya: Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga.

(Surah al-Nisa’: 12)

Kalaalah ialah pewaris selain daripada anak, cucu dan ke bawah atau bapa, datuk dan ke atas. Pewaris yang dimaksudkan di sini adalah saudara lelaki atau perempuan sebelah ibu.

Istilah ini juga digunakan bagi merujuk kepada perkongsian yang tidak membabitkan harta. Contohnya, firman Allah SWT:

 هَارُونَ أَخِي (30) اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي (31) وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي

Maksudnya: Iaitu Harun saudaraku. Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku. Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.

(Surah Taha: 30-32)

Menurut istilah ulama’ fiqh, syarikat ialah hak dua orang atau lebih terhadap sesuatu tanpa pengagihan yang khusus. Contohnya, dua orang atau lebih berkongsi memiliki sebidang tanah tanpa ditentukan sempadan masing-masing. Pengertian ini dianggap umum merangkumi semua perkongsian melalui kontrak dan tanpa kontrak.[1]

Pengertian yang lebih khusus bagi syarikat ialah kontrak yang diwujudkan secara sukarela dengan tujuan pengurusan dan memperolehi untung.

Jenis-jenis Syarikat

Berdasarkan pengertian di atas, jelas kepada kita, syarikat adakalanya berkonsepkan keuntungan dan adakalanya tidak. Oleh itu, para ulama’ membahagikan syarikat kepada dua jenis, iaitu: 

  1. Syarikat amlak (perkongsian harta)
  2. Syarikat aqad (kontrak)

Syarikat perkongsian harta (amlak) berlaku apabila dua orang atau lebih memiliki sesuatu perkara, perkongsian ini mungkin berlaku secara tidak sengaja iaitu tanpa sebarang tindakan atau kehendak mereka. Contohnya, apabila mereka mewarisi sesuatu bersama. Perkongsian ini juga mungkin berlaku secara sukarela iaitu dengan tindakan dan kehendak mereka. Contohnya mereka berkongsi membeli sesuatu atau mereka menerima sesuatu hadiah secara bersama atau sebagainya.

Bagi perkongsian seperti ini, kedua-dua mereka dianggap sebagai orang asing bagi bahagian rakannya. Ini bermakna mereka tidak dibenarkan menggunakan bahagian rakan mereka tanpa keizinannya. Kerana mereka tidak mempunyai sebarang kuasa ke atas miliknya.

Perkongsian seperti ini tidak menjadi topik perbincangan dalam perbincangan ulama’ mengenai syarikat. Ia akan dibincangkan dalam tajuk yang berkenaan dengannya seperti hadiah, pusaka, wasiat dan sebagainya.

Topik yang dibincangkan oleh ulama’ dalam tajuk syarikat adalah syarikat kontrak. Pengertian syarikat telah dinyatakan tadi. Syarikat seperti ini terbahagi kepada beberapa jenis. Ada yang dibenarkan oleh syara’ dan ada yang dilarang. Kita akan membincangkan tajuk ini secara lebih mendalam selepas kita membincangkan tentang kesahihannya menurut syara’ dan hikmah dan pensyariatannya.

Kesahihan Menurut Syara’

Secara umumnya, semua bentuk perkongsian (pensyarikatan) adalah dibenarkan. Ini dinyatakan oleh:

Pertama: Al-Quran.

Firman Allah SWT:

 مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَاءُ فِي الثُّلُثِ

Maksudnya: Maka mereka bersekutu pada satu pertiga.[2]

(Surah al-Nisa’: 12)

Ayat ini dengan jelas membenarkan pensyariatan. Di sini, Allah telah menetapkan saudara seibu turut sama bersyarikat (berkongsi) sepertiga harta pusaka dan dibahagikan sama rata. Perkara ini juga boleh dilihat dalam ucapan Nabi Daud AS dalam firman Allah SWT:

 وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الْخُلَطَاءِ لَيَبْغِي بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ

Maksudnya: Dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain.

(Surah Sad: 44)

Maksud orang yang bergaul dan berhubungan di sini ialah orang yang berkongsi. Walau bagaimanapun, ayat ini boleh dijadikan dalil tetapi hanya sebagai sokongan kerana hukum ini adalah dalam syariat sebelum ini. Menurut pendapat yang paling sahih, syariat sebelum ini bukan syariat bagi kita.

Kedua: Al-Sunnah.

Terdapat banyak hadith yang membenarkan perkongsian.

  1. Hadith riwayat Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ أَنَا ثَالِثُ الشَّرِيكَيْنِ مَا لَمْ يَخُنْ أَحَدُهُمَا صَاحِبَهُ فَإِذَا خَانَهُ خَرَجْتُ مِنْ بَيْنِهِمَا

Maksudnya:Allah SWT berfirman: Aku adalah rakan kongsi ketiga selagimana tiada siapa di antara mereka yang mengkhianati sahabatnya. Apabila ada yang mengkhianati sahabatnya, aku akan keluar daripada perkongsian mereka.”

Riwayat Abu Daud (3383)

Hadith ini menyatakan bahawa Allah SWT akan menjaga dan membantu orang yang berkongsi sama ada dua orang atau lebih dengan memberkati harta dan perniagaan mereka selagimana bersikap jujur dan amanah.

Tetapi jika mereka mula bersikap tidak jujur dan pecah amanah, keberkatan perniagaan mereka akan ditarik dan bantuan kepada mereka akan disekat. Akibatnya, akan berlaku perselisihan dan pergaduhan yang akhirnya membawa kepada kegagalan dan kerugian.

  1. Hadith al-Sa’ib bin Abu al-Sa’ib RA:

أَنَّهُ كَانَ شَرِيْكَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ البِعْثَةُ فِي التِّجَارَةِ، فَلَمَّا جَاءَ يَوْمُ الفَّتْحِ قَالَ: مَرْحَباً بِأَخِى وَشَرِيكِى كَانَ لاَ يُدَارِى وَلاَ يُمَارِى

Maksudnya:Beliau telah menjadi rakan kongsi perniagaan dengan Rasulullah SAW sebelum Baginda dilantik sebagai Nabi. Ketika pembukaan Mekah, Baginda bersabda: Selamat datang saudara dan rakan kongsi saya yang tidak pernah menolak dan tidak pernah bertengkar.

Riwayat Abu Daud (4836)

Sabda Baginda bahawa rakan kongsi saya merupakan suatu perakuan tentang perkongsian yang dibenarkan oleh syara’. Ini adalah dengan andaian ucapan tersebut adalah sabda Baginda. Jika ucapan tersebut adalah kata-kata al-Sa’ib RA, maka dengan berdiam diri menunjukkan Baginda memperakui perkara tersebut.

Maksud hadith ini ialah: Kamu merupakan rakan kongsi yang baik. Kamu sentiasa bersetuju dan tidak membantah serta berbalah dengan saya.

iii.       Hadith riwayat al-Barra’ bin Azib RA:

أَنَّ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ وَالْبَرَاءَ بْنَ عَازِبٍ كَانَا شَرِيكَيْنِ فَاشْتَرَيَا فِضَّةً بِنَقْدٍ وَنَسِيئَةٍ فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَمَرَهُمَا أَنَّ مَا كَانَ بِنَقْدٍ فَأَجِيزُوهُ وَمَا كَانَ بِنَسِيئَةٍ فَرُدُّوهُ

Maksudnya:Beliau dan Zaid bin Arqam RA merupakan rakan kongsi. Mereka telah membeli perak secara tunai dan hutang. Lalu berita ini sampai kepada Rasulullah SAW dan Baginda memerintahkan mereka: Apa yang dibeli secara tunai hendaklah mereka ambil dan apa yang dibeli secara hutang hendaklah mereka kembalikan.

Musnad Ahmad (4/371)

Ini juga adalah satu lagi perakuan agenda bahawa perkongsian dibenarkan. Di samping itu, budaya perkongsian yang diamalkan oleh manusia ini tidak pernah ditegah oleh Baginda. Budaya ini juga telah diamalkan oleh umat Islam semenjak dahulu tanpa ada sesiapa yang menentangnya. Kenyataan ini menggambarkan ia diterima secara ijma’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/395-398)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, katanya: Masih berbaki di sini bahagian penting bagi tajuk ini, iaitu perkara yang berkaitan dengan halal dan haram saham, berasaskan syarikat yang dianggap mempunyai pemilikan yang terbesar. Perkara yang dimaklumi adalah syarikat dibahagikan kepada tiga bahagian:

1) Halal yang tidak ada keraguan, dan tidak ada perselisihan mengenainya. Ia adalah syarikat-syarikat dan bank-bank yang mempunyai undang-undang yang selari dengan hukum Syariah Islam, seperti bank-bank Islam, syarikat-syarikat insurans Islam dan syarikat-syarikat lain yang selaras dengan Syariah. Oleh kerana ia berpegang dengan hukum syariah, maka ia tidak terlibat dengan menerima atau memberi faedah riba, iaitu ia tidak meminjam dengan faedah riba dan tidak juga menyimpan lebihan asetnya dengan faedah riba daripada bank-bank konvensional. Syarikat jenis ini telah disepakati oleh ulama zaman ini akan keharusannya.

2) Haram yang tidak ada keraguan dan perselisihan mengenainya. Iaitu, ia mempraktikkan aktiviti yang dilarang, seperti syarikat yang berurus niaga dengan arak, khinzir, alat- alat melalaikan yang diharamkan atau bank riba dan yang seumpamanya. Syarikat ini telah disepakati oleh ulama akan pengharamannya, maka haram untuk terlibat dalam syarikat ini, begitu juga tidak dibenarkan membeli sahamnya untuk dilaburkan dan tidak juga untuk diniagakan.

3) Syarikat yang mempraktikkan kegiatan yang halal yang tidak ada keraguan padanya, seperti syarikat simen, elektrik, air, pengangkutan, laluan kereta api, atau industri campuran atau lain-lain, yang mana ia melaksanakan peranannya dalam pembinaan ekonomi negara dan khidmatnya. Namun begitu, asal kegiatannya adalah halal, kemudian timbul keraguan pada syarikat tersebut apabila ia mempunyai projek yang ingin dilaksanakan, lalu ia meminjam dengan faedah daripada bank konvensional dan apabila syarikat itu mempunyai lebihan aset yang mengalir lalu asetnya disimpan di bank konvensional bersama faedah.

Perkara inilah yang membuatkan ulama kontemporari berbeza pendapat. Ada yang mengharamkan sahamnya dan sebarang penglibatan dengannya selama mana ia terlibat dengan riba sama ada melalui pinjaman atau simpanan yang dilakukan. Ini bertujuan untuk menjauhkannya daripada dosa riba. Di antara mereka juga ada yang membenarkan untuk terlibat dalam syarikat ini untuk mencapai maslahah yang kuat, dengan syarat ia perlu membersihkan keuntungan yang terkena riba dan perkara ini dapat diketahui daripada belanjawan syarikat. Ulama ini mempunyai dalil yang telah mereka perincikan.

Jawatankuasa antarabangsa pada Muktamar Zakat yang Pertama di Kuwait pada tahun 1984 telah mencapai faedah yang saya kira perlu untuk disebutkan di sini mengenai fatwa dari muktamar zakat yang pertama, yang saya rasakan sangat berbahagia terlibat di dalam muktamar tersebut. (Lihat Fiqh al-Zakah, PPZ, 1/474-475)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”

Nota hujung:

[1] Dalam definisi yang lain, al-Syarikah boleh diertikan sebagai kontrak perkongsian antara dua pihak atau lebih yang sama-sama berkongsi usaha melalui harta (modal pokok) atau keusahawanan atau reputasi (kemasyhuran) dengan sama-sama berkongsi keuntungan dan kerugian antara mereka mengikut apa yang dipersetujui bersama. Dinyatakan disini beberapa takrif yang lain:

(i)              Menurut Ulama’ Hanafi, “syarikat” ialah suatu kontrak antara dua orang yang berkongsi dalam modal dan untung.

(ii)   Menurut Ulama’Mazhab Maliki, ia merupakan izin kedua-dua pihak yang bersyarikat bagi pengurusan harta bersama mereka dan setiap pihak mempunyai hak pengurusan itu.

(iii)  Menurut Ulama’ Mazhab Syafie, “syarikat” ialah thabit hak pada sesuatu bagi dua orang atau lebih secara milik bersama.

(iv) Menurut Ulama’ Mazhab Hanbali, “syarikat” ialah bersama (berhimpun) dalam memperolehi hak atau tasarruf (kuasa pengurusan).

[2] Ayat ini menunjukkan adanya perkongsian harta justeru ianya boleh menjadi dalil bahawa memiliki harta dengan cara bersyarikat atau perkongsian adalah harus.

Leave a Reply