Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang pelajar tahfiz yang masih cuba untuk memperkukuhkan hafalan dalam masa yang sama memahami isi kandungan al-Quran. Saya lihat, terdapat firman Allah SWT: (إِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ) dalam dalam Surah al-Naml dan firman Allah SWT: (فَإِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ) dalam Surah al-Rum dengan penambahan huruf Fa’. Adakah terdapat makna yang berbeza di sebalik penambahan huruf ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah

Afala yatadabbarunal quran…aqfaluha…

Pertama sekali, kami memuji usaha saudara yang menanam keazaman tinggi untuk memelihara Kalamullah ini, bukan sahaja dari aspek hafalan semata-mata, bahkan termasuk kefahaman terhadap ayat-ayat suci al-Quran itu sendiri.

Makna (إِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ) dalam Surah al-Naml

Dalam menjawab persoalan ini, perlu untuk kita ketahui bahawa setiap ayat yang warid itu pastinya bersesuaian dengan konteks dan juga tempat. Berkenaan Surah al-Rum, ia merupakan salah satu surah yang diturunkan sebelum hijrah Rasulullah SAW ke al-Madinah al-Munawwarah. Oleh yang demikian, intipati yang dibawakan oleh surah ini lebih menjurus kepada perbahasan aqidah dan segala perkara yang terkait dengannya dalam konteks keimanan kepada Allah SWT, bukti kewujudan-Nya serta keesaan-Nya, keimanan terhadap hari Akhirat, juga penjelasan tentang peranan manusia selaku mukallaf yang dituliskan bagi setiap mereka amal ibadah. Kemudian, surah ini membawakan juga kritikan terhadap kaum Musyrikin dengan disertakan bukti-bukti kesesatan aqidah yang mereka anuti.

Berbalik kepada konteks penceritaan dalam ayat di atas, apabila Allah SWT telah menyempurnakan perbicaraan tentang kewujudan permulaan dan Akhirat, Dia menyebutkan selepas itu perkara yang berkaitan dengan kenabian. Oleh kerana hujjah utama dalam pembuktian kenabian Rasulullah SAW adalah al-Quran, maka Allah SWT menjelaskan terlebih dahulu bahawa ia adalah suatu mukjizat dari pelbagai sudut, dan ini dapat kita teliti menerusi firman-Nya dalam ayat 76 hingga ayat 78.

Seterusnya, selepas dinyatakan hujjah kenabian Baginda, Dia memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk bertawakal kepada-Nya, tidak menghiraukan musuh-musuh Allah, dan melaksanakan urusan-urusan penting risalah al-Quran dengan hati yang teguh. Firman-Nya:

فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۖ

Maksudnya: “Oleh itu, bertawakallah kepada Allah.”

(Surah al-Naml: 79)

Kemudian, digariskan pula sebab-sebab mengapa Baginda SAW perlu bertawakal dan berserah diri kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya:

إِنَّكَ عَلَى ٱلْحَقِّ ٱلْمُبِينِ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata.”

(Surah al-Naml: 79)

Ayat ini mengandungi penjelasan bahawa orang yang berada di pihak yang benar layak mendapat pertolongan dari Allah SWT dan tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Sebab kedua disebutkan pula oleh Allah SWT:

إِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ وَلَا تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا وَلَّوْا۟ مُدْبِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya).”

(Surah al-Naml: 80)

Menyingkap rahsia disebalik ayat ini yang dijadikan salah satu sebab bagi perintah untuk bertawakkal; kerana selagi mana seseorang berharap untuk memperoleh sesuatu daripada orang lain, maka hatinya tidak akan kuat untuk menunjukkan penentangan terhadap orang tersebut. Namun, apabila dia memutuskan harapannya daripada orang tersebut, maka hatinya akan menjadi kuat untuk menzahirkan penentangan. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 24/571; al-Tafsir al-Maudu‘i li Suwar al-Quran al-‘Azim, 6/221)

Kata penegas (إِنَّ) dalam ayat 80 ini adalah penjelasan bagi menjawab apa yang mungkin terlintas dalam fikiran seseorang setelah mendengar firman-Nya: “Sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang jelas nyata.” [Surah al-Naml: 79]. Seolah-olah dikatakan: “Mengapa mereka tidak beriman kepada seseorang yang terbukti berada di atas kebenaran yang nyata?” Lalu dijawab dengan firman-Nya: “Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan keingkarannya).” [Surah al-Naml: 80].

Kata penegas dalam ayat 80 ini pula datang dalam konteks sebagai “sebab” atau “alasan” dengan makna seperti huruf Fa’ (bererti: maka). Ia juga memberikan keuzuran kepada Rasulullah SAW serta sebagai hiburan baginya. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 20/34; Ruh al-Ma‘ani, 10/230)

Makna (فَإِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ) dalam Surah al-Rum

Di dalam Surah al-Rum pula, Allah SWT menceritakan berkenaan penciptaan alam ini dan penetapan hukum alam yang amat tepat dan teliti, serta sunnah-sunnah Ilahi yang menakjubkan yang menghubungkan antara setiap satu dengan yang lain, dari sebesar-besar ciptaan hingga sekecil-kecil zarah. Maka segala kejadian di bumi dan di langit berlaku selaras dengan hukum-hukum ini. Melihat dari perspektif yang lain, sunnah-sunnah Ilahi ini menjadi bukti kewujudan Pencipta yang Maha Esa serta kekuasaan-Nya yang bersifat sempurna. Surah ini turut menjelaskan perihal kelangsungan sunnah-sunnah alam ini bergantung pada tingkah laku manusia, dan bergantung pada kepatuhan mereka terhadap apa yang telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada mereka, dan segala kerosakan, kekacauan, dan keburukan yang berlaku adalah hasil ketidakpatuhan tersebut. (Lihat al-Tafsir al-Maudu‘i li Suwar al-Quran al-‘Azim, 6/413)

Melihat kepada ayat yang saudara ajukan itu, Allah SWT menjelaskan perihal kekecewaan manusia apabila terhentinya nikmat yang dikurniakan kepada mereka, begitu juga bagaimana bergembira apabila nikmat itu muncul. Keadaan mereka berubah-ubah dan tidak tetap pendirian kerana hanya melihat kepada keadaan semasa, bukan kepada pengakhirannya. Ini jelas sebagaimana dalam firman Allah SWT:

وَلَئِنْ أَرْسَلْنَا رِيحًۭا فَرَأَوْهُ مُصْفَرًّۭا لَّظَلُّوا۟ مِنۢ بَعْدِهِۦ يَكْفُرُونَ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin (menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).”

(Surah al-Rum: 51)

Setelah itu Allah SWT berfirman pula:

فَإِنَّكَ لَا تُسْمِعُ ٱلْمَوْتَىٰ وَلَا تُسْمِعُ ٱلصُّمَّ ٱلدُّعَآءَ إِذَا وَلَّوْا۟ مُدْبِرِينَ

Maksudnya: “(Maka janganlah engkau berdukacita – wahai Muhammad – terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan keingkarannya).”

(Surah al-Rum: 52)

Boleh jadi, huruf Fa’ pada kalimah (فَإِنَّكَ) datang sebagai isyarat turutan, selepas dari firman-Nya: “Nescaya mereka sesudah itu terus kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).” [Surah al-Rum: 51]. Ia menunjukkan bahawa kekufuran adalah keadaan yang dominan bagi mereka yang mengingkari; kerana mereka berada antara kekufuran kepada Allah dan keengganan untuk bersyukur kepada-Nya.

Huruf Fa’ di sini juga boleh datang bagi menunjukkan makna tersirat, iaitu: “Sekiranya keberpalingan mereka terasa berat bagimu – wahai Muhammad – dan sikap berterusan mereka dalam kekufuran menyedihkanmu, maka ketahuilah bahawa mereka seperti orang mati, dan engkau tidak dapat menyeru orang mati. Ini merupakan keuzuran bagi Nabi SAW dan tanda bahawa Baginda telah berusaha sedaya upaya dalam menyampaikan risalah. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 25/110; al-Tahrir wa al-Tanwir, 21/125)

Menurut Dr. Fadhil Soleh al-Samara’i, konteks ayat 80 dari Surah al-Naml menceritakan berkenaan orang-orang beriman yang berada dalam petunjuk serta rahmat Allah SWT.  Manakala konteks ayat 52 dari Surah al-Rum ini menceritakan berkenaan orang-orang Kafir, ancaman serta balasan buruk terhadap mereka. Oleh yang demikian, penggunaan kata penegas yang merujuk kepada “sebab” atau “alasan” adalah lebih banyak berbanding dalam Surah al-Naml. Sebab mengapa penambahan kata penegas ini, apabila berbezanya konteks kedua-dua ayat di atas, dan kesesuaian tempatnya.[1]

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan yang kami bawakan, hikmah sebenar di sebalik penambahan huruf tersebut hanya diketahui oleh Allah SWT. Adapun menurut perbahasan ilmu yang terhad pada seorang manusia, jelas kelihatan penggunaan kata penegas pada Surah al-Rum itu kerana konteks tersebut lebih sesuai, agar hujjah dan bukti-bukti ketuhanan itu tertegak di atas kaum Musyrikin.

Adapun di dalam Surah al-Naml, berpada dengan penggunaan satu sahaja kata penegas kerana konteks ayat tersebut ditujukan kepada kaum Mukmin yang sememangnya telah beriktikad bahawa tidak ada Tuhan selain Allah SWT, yang mana ia diiringi dengan keimanan terhadap qada’ dan qadar-Nya.

Semoga penjelasan ringkas ini dapat memberikan sedikit pencerahan kepada saudara yang bertanya. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=ksQcHmMcyLQ. Diakses pada 29 Oktober 2024.

Leave a Reply