Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, semasa menunaikan umrah, adakah kita masih boleh melakukan solat jamak, atau perlu mengikuti waktu solat seperti biasa? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara rukhsah yang Allah berikan kepada umat ini adalah dibenarkan untuk menjama‘kan di antara dua solat dalam keadaan-keadaan yang tertentu seperti musafir, hujan, sakit dan seumpamanya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Jama‘ bermaksud menggabungkan dua solat di dalam satu waktu. Iaitu menggabung solat Zohor dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan solat Isyak. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa harus hukumnya menjama‘kan di  antara solat Zohor dengan Asar pada waktu yang dia suka dan juga solat Maghrib dengan solat Isyak menurut mazhab al-Syafi‘i, dan ini juga berdasarkan persepakatan ulama’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/249)

Syeikh Abd al-Muhsin al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi orang bermusafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 149/1)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”

Riwayat al-Bukhari (1107)

Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah permusafiran. Akan tetapi, Mazhab Hanafi mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/329)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, antara syarat-syarat dibenarkan untuk mengambil rukhsah adalah sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/186) :

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi.

Antara syarat yang diharuskan oleh seorang yang bermusafir untuk melakukan jamak sebagaimana yang dinyatakan di atas adalah tidak berniat untuk menetap di tempat destinasi selama empat hari atau lebih.

Oleh yang demikian dalam isu ini, jemaah umrah dibenarkan untuk menjamakkan solat selagi mereka memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas. Namun, sekiranya mereka berniat untuk menetap di Makkah selama empat hari atau lebih, mereka tidak lagi dibenarkan menjamakkan solat kerana tidak memenuhi syarat rukhsah yang diperuntukkan bagi musafir. Oleh itu, mereka diwajibkan menunaikan solat mengikut waktu biasa seperti yang dituntut.

Tambahan pula, syarat rukhsah ini bertujuan untuk meringankan ibadah bagi mereka yang berada dalam keadaan musafir atau menghadapi kesulitan perjalanan. Apabila seseorang berniat menetap untuk tempoh yang lebih lama, mereka dikira telah keluar dari status musafir dan dikehendaki mengikuti waktu solat yang ditetapkan seperti biasa.

Kami menyarankan agar jemaah umrah yang tidak menghadapi kesulitan (masyaqqah) sepanjang keberadaan mereka di Makkah, supaya meninggalkan amalan jamak dan menunaikan solat secara tamam (penuh). Ini kerana menunaikan solat secara penuh tanpa jamak adalah lebih utama, terutamanya dalam usaha memperoleh ganjaran pahala solat berjemaah di Masjidil Haram. Selain itu, tindakan ini selaras dengan sunnah Rasulullah SAW, yang menunaikan solat secara penuh setelah tiba di destinasi.

Dengan mengikuti cara ini, jemaah dapat memanfaatkan sepenuhnya keutamaan solat di Masjidil Haram, yang ganjarannya berlipat ganda, serta menghayati sunnah Nabi SAW dalam ibadah solat di tanah suci.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu‘Alam

 

Leave a Reply