Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami hikmah di sebalik penetapan haul pada sebahagian harta bagi mewajibkan zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Taubah: 103)

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398) Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Apabila cukup syarat bagi zakat maka hendaklah kita keluarkan zakat. Antara syaratnya adalah:

  • Islam
  • Milik sempurna
  • Cukup nisab
  • Cukup haul yakni tempoh setahun
  • Dan harta yang berkembang

Salah satu syarat diwajibkan untuk mengeluarkan zakat adalah cukup haul iaitu genap setahun qamari atau masihi  pemilikan harta tersebut ini sebagaimana yang telah  diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahwa  Nabi SAW bersabda:

وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun”

Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)

Telah dinyatakan dalam kitab Fiqh al-Manhaji makna cukup haul iaitu iaitu genap setahun harta tersebut berada dalam simpanannya. (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji fi Fiqh al-Syafie, 2:8). Dengan ini, difahami bahawa jika sekiranya harta tidak cukup haul, maka harta tersebut masih tidak diwajibkan zakat. Namun syarat tempoh setahun ini tidak terpakai ke atas tanaman, buah-buahan dan juga galian, yakni zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 2/16-17).

Cukup haul juga bermaksud harta yang diwajibkan zakat itu telah berada di tangan pemiliknya selama dua belas bulan Qamariyah (bulan Arab). Syarat setahun ini adalah bagi binatang ternakan, wang dan harta benda perniagaan, iaitu yang dapat dimasukkan ke dalam istilah “zakat modal.” Tetapi hasil pertanian, buah-buahan, madu, logam, harta karun (kunuz) dan seumpamanya, tidak disyaratkan satu tahun, dan semuanya itu dapat dimasukkan ke dalam istilah “zakat pendapatan (perolehan).”

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Perbezaan antara harta yang disyaratkan baginya haul dan yang tidak disyaratkan haul adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qudamah bahawasanya perbezaan antara harta yang disyaratkan wajib zakat setelah setahun haul adalah harta yang mempunyai potensi untuk berkembang. Contohnya, ternakan yang mempunyai potensi untuk menghasilkan susu dan anak, harta benda perniagaan yang mempunyai potensi untuk menghasilkan keuntungan, begitu juga wang. Semuanya itu disyaratkan berlalu setahun haul kerana dalam tempoh itu wujud potensi perkembangan dan kemudiannya agar zakat dapat dikeluarkan daripada keuntungannya. Tindakan ini lebih mudah dan ringan dan zakat itu diwajibkan adalah bertujuan untuk saling membantu.

Hakikat pertumbuhan tidak diambil kira, kerana banyak perselisihan pendapat dan sukar diukur dan kerana perkara yang dianggap sebagai potensi perkembangan belum tentu sedemikian, sebagaimana hikmah yang datang bersama sebab-sebabnya. Hal ini juga kerana kutipan zakat dilakukan secara berulang kali terhadap harta ini yang menyebabkan perlu ada parameter supaya tidak terjadi pungutan berulang kali pada satu harta dalam satu masa yang akan mengakibatkan harta itu habis.

Tetapi hasil pertanian dan buah-buahan adalah berkembang sendiri yang dikeluarkan zakat pada saat penghasilannya mencapai nisab, maka zakat wajib dikeluarkan pada waktu itu juga. Selepas itu, tanaman terus berkurang dan tidak berkembang, oleh kerana itu zakat tidak boleh dipungut sekali lagi kerana tanaman itu dalam keadaan tidak berpotensi untuk berkembang. Logam-logam yang diperolehi keluarnya daripada perut bumi adalah sama situasi zakatnya seperti pada tanaman dan buah-buahan. (Lihat al-Mughni, 1/625)

Dalil Pensyaratan Haul

Menurut Ibn Rusyd dalam Bidayah al-Mujtahid (2/261): “Jumhur fuqaha mensyaratkan bagi emas, perak dan ternakan diwajibkan zakat setelah cukup setahun. Ia selaras dengan ketetapan yang dilakukan oleh khalifah yang empat, dan tersebarnya amalan ini secara meluas di kalangan sahabat dan kerana kepercayaan mereka bahawasanya tersebarnya amalan ini tanpa sebarang khilaf. Perkara ini tidak boleh terjadi kecuali ia merupakan satu ketetapan syarak (tauqif). Sebuah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibn Umar ra daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda:

لَا زَكَاةَ فِي مَالٍ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat atas suatu harta sampai berlalu satu tahun.”

Riwayat al-Daraqutni (2745) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4/95)

Ini menjadi kesepakatan fuqaha yang mendiami bandar-bandar besar (fuqaha al-Amsar) walaupun pada masa awal Islam tiada perbezaan pandangan melainkan yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A dan Mu’awiyah R.A. Punca perbezaan itu adalah kerana tidak terdapat satu hadis yang jelas. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 2/261; Fiqh al-Zakat, PPZ, hlm. 141 – 143)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply