Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya tertanya-tanya, sekiranya seorang suami hanya mendatangi isterinya melalui dubur (liwat) dan tidak pernah mendatanginya melalui faraj, adakah isteri itu masih perlu menjalani iddah jika si suami menceraikannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan yang diajukan, suka untuk kami memperjelaskan terlebih dahulu berkenaan terma “liwat” ini. Jika melihat kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ia merujuk kepada hubungan jenis melalui dubur.[1] Masyarakat kita mungkin memahami terma ini sebagai hubungan sejenis antara lelaki dengan lelaki sahaja, akan tetapi pada hakikatnya ia merujuk kepada perbuatan mendatangi seseorang melalui dubur, sama ada mangsa yang diperlakukan ke atasnya itu lelaki mahupun perempuan.

Di dalam sebuah hadith, Qatadah menceritakan bahawa beliau pernah ditanya berkenaan suami yang mendatangi isterinya melalui dubur. Lalu beliau meriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru R.A, Rasulullah SAW bersabda:

هِيَ اللُّوطِيَّةُ الصُّغْرَى

Maksudnya: “Itu adalah liwat kecil.”

Riwayat Ahmad (6968) dan al-Nasa’ie (8997) dalam al-Sunan al-Kubra. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilainya sebagai Hasan.

Bahkan terdapat riwayat yang menceritakan bahawa itulah permulaan berlakunya perbuatan tercela ini, sebelum ia menjadi hubungan homoseksual antara sejenis. Imam al-Suyuti membawakan riwayat daripada Ibn Abi al-Dunya dan Ibn ‘Asakir, daripada Tawus, bahawa beliau pernah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan suami yang mendatangi isterinya melalui dubur. Beliau menjawab: “Itulah asal bermulanya perbuatan kaum Nabi Lut. Perbuatan itu dilakukan oleh lelaki terhadap wanita, kemudian lelaki melakukan pula perbuatan tersebut sesama lelaki.” (Lihat al-Dur al-Manthur fi al-Tafsir bi al-Ma’thur, 3/495)

Segelintir individu mungkin tersilap memahami terma ini sehingga menyangka perbuatan tersebut tidak menjadi suatu kesalahan jika ia dilakukan terhadap isteri, dengan sekadar melihat kepada firman Allah SWT:

نِسَآؤُكُمْ حَرْثٌۭ لَّكُمْ فَأْتُوا۟ حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”

(Surah al-Baqarah: 223)

Akan tetapi, menjelaskan dalam ayat sebelumnya berkenaan pergaulan suami isteri ini. Allah SWT berfirman:

فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.”

(Surah al-Baqarah: 222)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di berkata, yang dimaksudkan dengan mendatangi mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah adalah mendatangi mereka melalui qubul dan bukannya dubur, kerana qubul (faraj) itu adalah tempat pembenihan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 100)

Ini disokong dengan banyak riwayat hadith, antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ اللهُ إِلَى رَجُلٍ جَامَعَ امْرَأَتَهُ فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Allah tidak akan melihat kepada lelaki yang mendatangi isterinya melalui dubur.”

Riwayat Ibn Majah (1923) dan Ahmad (8532)

Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَلْعُونٌ مَنْ أَتَى امْرَأَةً فِي دُبُرِهَا

Maksudnya: “Benar-benar terlaknat orang yang menyetubuhi isterinya melalui duburnya.”

Riwayat Abu Daud (2162)

Perincian berkenaan hukum liwat isteri ini juga telah kami bahaskan dalam artikel kami yang bertajuk: “Menyetubuhi Isteri Melalui Dubur.” Saudara boleh merujuk artikel ini untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan hukum pengharamannya.

Kewajipan Iddah Bagi Bekas Isteri yang Diliwat

Berbalik kepada persoalan utama yang diajukan, perbuatan suami meliwat isteri ini tidak menggugurkan kewajipan iddah yang telah ditetapkan oleh Islam. Imam Abu al-Hasan al-Mawardi mengatakan, terdapat tujuh hukum yang sama di antara mendatangi wanita melalui qubul (faraj) atau dubur (punggung), antaranya adalah kewajipan iddah daripada persetubuhan melalui dubur seperti mana diwajibkan bagi persetubuhan di faraj.

Begitu juga disebutkan oleh Imam Abu al-Ma‘ali al-Juwaini, iaitu persetubuhan melalui dubur tetap mewajibkan iddah dan juga hukum al-musaharah. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/321; Nihayah al-Matlab, 12/394)

Hukum ini bahkan dipersetujui oleh fuqaha mazhab al-Maliki dan al-Hanbali. Imam Khalil bin ishaq al-Jundi al-Maliki menyebutkan, mendatangi melalui dubur sama sahaja seperti hukum berjimak biasa; yang mana kedua-duanya mewajibkan iddah selepas berlakunya talak. (Lihat al-Taudhih, 4/9)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi pula menyatakan, sekiranya seseorang lelaki itu menyetubuhi isterinya melalui dubur, dia tidaklah dikenakan hukuman hudud kerana ia dianggap syubhah, dan cukup dikenakan ta‘zir atas perbuatan haram tersebut. Hukumnya pula sama seperti hukum berjimak biasa yang mewajibkan iddah. (Lihat al-Mughni, 7/297)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan ringkas di atas, kami katakan bahawa perbuatan liwat terhadap isteri itu mengambil hukum yang sama seperti persetubuhan melalui faraj. Maka, seandainya seseorang suami mendakwa bahawa dia tidak pernah bersetubuh dengan isterinya melainkan melalui dubur sahaja, ia tidak menjadi alasan gugurnya kewajipan iddah ke atas isteri tersebut sekiranya berlaku penceraian.
Adapun hukum perbuatan ini, ia adalah haram dan berdosa besar yang mesti ditinggalkan serta dijauhi oleh setiap manusia. Tidaklah perbuatan ini melainkan satu perilaku yang amat keji, sehinggakan Allah SWT menurunkan azab yang dahsyat ke atas kaum Nabi Lut A.S kerana bergelumang dengan perbuatan ini. Firman-Nya:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَتَأْتُونَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍۢ مِّنَ ٱلْعَـٰلَمِينَ (٨٠) إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ ٱلرِّجَالَ شَهْوَةًۭ مِّن دُونِ ٱلنِّسَآءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌۭ مُّسْرِفُونَ (٨١) وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِۦٓ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌۭ يَتَطَهَّرُونَ (٨٢) فَأَنجَيْنَـٰهُ وَأَهْلَهُۥٓ إِلَّا ٱمْرَأَتَهُۥ كَانَتْ مِنَ ٱلْغَـٰبِرِينَ (٨٣) وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًۭا ۖ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُجْرِمِينَ (٨٤)

Maksudnya: “Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: ‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?’ (80) ‘Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas’. (81) Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: ‘Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri’. (82) Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. (83) Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan. (84)”

(Surah al-A‘raf: 80-84)

Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari perbuatan keji ini, menyelamatkan umat Islam dari ujian yang amat berat ini, serta mengembalikan kefahaman yang benar kepada kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=liwat. Diakses pada 30 Oktober 2024.

Leave a Reply