Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bagaimanakah seseorang itu mengetahui yang dia sudah mencapai tahap redha dengan ujian yang telah diberikan oleh Allah swt, selain daripada dia berhenti mengeluh daripada ujian tersebut. Dan bagaimana mahu memujuk hati untuk redha dengan ujian yang ditimpa oleh kita? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ‎﴿١٥٥﴾‏ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ‎﴿١٥٦﴾‏ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

(Surah al-Baqarah: 155-157)

Pada ayat ini, Allah SWT memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua ini (mereka yang diuji Allah S.W.T dalam kalangan hambaNya) mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/467)

Definisi Redha

Redha asal daripada kalimah arab (رَضِيَ-يَرْضَي) yang menunjukkan maksud berlawanan dari kemarahan. Dari segi istilah pula ia membawa maksud : Redha adalah kegembiraan hati atas ketetapan takdir (qadha’).”

Al-Munawi mentakrifkan : “Redha adalah ketenangan jiwa bagi manusia terhadap apa yang menimpanya atau apa yang hilang daripadanya tanpa mengalami perubahan.  Para ahli feqah menyatakan bahwa redha itu adalah persetujuan (izin). Mereka menjadikan izin sebagai redha kerana itu menunjukkan persetujuan terhadapnya.” (Lihat Nudhrah al-Nai’m Fi Makarim Akhlak Rasul al-Karim,6/ 2105)

Bagi menjawab persoalan di atas, dapat kami katakan bahawa salah satu tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya adalah dengan menurunkan ujian kepada mereka. Sebaik-baik hamba yang menghadapi ujian ialah mereka yang mampu meredhai segala ketetapan Allah atas diri mereka. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

 وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السُّخْطُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya apabila Allah mencintai sebuah kaum nescaya Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Maka barangsiapa yang redha (dengan ketetapan Allah), maka Allah akan redha kepadanya. Dan barangsiapa yang tidak redha, maka Allah pun tidak akan redha kepadanya.”

Riwayat al-Tirmizi (2320) dan Ibnu Majah (4021)

Ini merupakan berita gembira bagi orang beriman iaitu apabila dia diuji dengan musibah, janganlah dia menyangka bahawa Allah SWT membencinya. Bahkan, ini mungkin menjadi tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Allah mengujinya dengan musibah. Oleh itu, jika manusia rehda, bersabar, dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka dia akan mendapat keredaan-Nya. Namun, jika dia marah dan tidak redha, maka dia akan mendapat kemurkaan Allah. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin oleh Ibn Uthaimin, 1/259)

Antara tanda seseorang itu  redha terhadap ujian yang menimpanya sebagaimana yang disebutkan oleh Zhu Nun al-Misri rahimahullah Ta’ala ialah:

  • Meninggalkan pilihan atau keinginan peribadi sebelum ketetapan Allah berlaku
  • Hilangnya rasa pahit selepas ketetapan itu
  • Membara rasa cinta di tengah-tengah ujian.
  • Kegembiraan hati dengan ketetapan Allah yang telah berlaku. (Lihat al-Ghaniyyah Li Talibi Tariq al-Haq, 2/331)

Selain itu juga, dinyatakan dalam Madarij al-Salikin (2/175) bahawa: Maka sesiapa yang teguh dalam bertawakal, berserah diri, dan menyerahkan segala urusan kepada Allah, pasti akan mencapai  keredhaan tersebut.

Kesimpulan

Tanda-tanda ini menunjukkan tahap kesempurnaan redha, di mana seseorang benar-benar menyerahkan diri kepada Allah dalam setiap aspek kehidupan. Sesiapa yang kukuh dalam tawakal, berserah diri, dan menyerahkan urusan kepada Allah pasti akan memperoleh redha dan ketenangan hati yang luar biasa. Yang demikian juga mencerminkan sifat seorang mukmin yang redha terhadap ketetapan allah kepadanya. Diriwayat daripada Suhaib Bin Sinan al-Rumi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ المُؤْمِنِ، إنّ أمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وليسَ ذاكَ لأَحَدٍ إلّا لِلْمُؤْمِنِ، إنْ أصابَتْهُ سَرّاءُ شَكَرَ، فَكانَ خَيْرًا له، وإنْ أصابَتْهُ ضَرّاءُ، صَبَرَ فَكانَ خَيْرًا له

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu‘alam

Leave a Reply