Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah bentuk kebaikan yang boleh dilakukan oleh seorang suami terhadap isterinya setelah kematiannya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Allah telah menetapkan bahawa kasih sayang dan rahmat adalah ikatan paling kukuh antara suami isteri. Islam sangat menganjurkan agar kasih sayang ini terus dijaga, meskipun perkahwinan tersebut diuji dengan perpisahan atau kematian salah seorang daripadanya. Kasih sayang yang berterusan ini mencerminkan penghargaan terhadap ikatan perkahwinan dan menghormati kenangan serta kebaikan pasangan yang telah tiada. Islam mendorong agar suami atau isteri tetap melakukan kebaikan, berdoa, dan mengenang jasa pasangan sebagai tanda kesetiaan dan penghormatan yang berpanjangan.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, dalam konteks syarak, tidak terdapat sebarang larangan terhadap suami untuk berbuat baik dan memuliakan isterinya selepas kematiannya. Malah, nas-nas sunnah yang mulia serta kisah-kisahnya telah menetapkan asas yang kukuh untuk menghormati isteri yang telah meninggal dunia dalam pelbagai bentuk.

Antara contoh kebaikan suami terhadap isterinya selepas kematiannya ialah bahawa Rasulullah SAW sering menyebut-nyebut isterinya, Ummul Mukminin Saidatina Khadijah RA, setelah kematiannya. Baginda juga memuliakan saudara-mara Khadijah sebagai tanda penghormatan dan kebaikan terhadapnya. Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin Saidatina Aisyah R.Anha, beliau berkata:

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ مِنْ كَثْرَةِ ذِكْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاهَا»، قَالَتْ: وَتَزَوَّجَنِي بَعْدَهَا بِثَلاَثِ سِنِينَ، وَأَمَرَهُ رَبُّهُ أَوْ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ

Maksudnya: “Aku tidak pernah cemburu terhadap seorang wanita sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. (Ini kerana) Rasulullah SAW sering menyebut (nama)nya.” Aisyah berkata: “Baginda mengahwiniku tiga tahun selepas (kewafatan)nya (Khadijah). Baginda diperintahkan oleh Tuhannya atau Jibril AS untuk memberikannya khabar gembira berupa rumah di syurga yang dibina daripada permata.”

Riwayat al-Bukhari (3817) dan Muslim (2835)

Al-Qastalani menyebutkan bahawa: Sesungguhnya, kerap menyebut sesuatu menunjukkan rasa cinta kepadanya, dan asal usul cemburu seorang wanita adalah daripada bayangan bahawa orang lain dicintai lebih daripadanya. (Lihat Irsyad al-Syari Li Syarh Sahih al-Bukhari, 2/167)

Selain itu juga, adalah dengan bersedekah atau wakaf dan diniatkan bagi pihak isteri.  Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi yang menjelaskan bahawa orang yang mati akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-’Adawi dalam kitabnya “Masyariq al-Anwar” bahawa  para ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Imam al-Qurtubi berkata lagi bahawa ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mati. (Lihat al-Tazkirah, hlm. 279)

Imam Ibn ‘Abd al-Barr al-Maliki pula menyebutkan dalam al-Tamhid (20/27): adapun bersedekah untuk si mati, maka para ulama telah sepakat tentang keharusannya, dan tidak ada perselisihan dalam hal ini.

Begitu juga, memohon keampunan bagi isteri yang telah meninggal dunia adalah satu bentuk penghormatan dan kebaikan yang berterusan daripada suami. Tindakan ini mencerminkan kasih sayang dan ikatan yang tidak terputus, walaupun isteri telah tiada. Doa dan permohonan keampunan kepada Allah bagi pihaknya menunjukkan bahawa suami masih menghargai dan mengingati jasa serta kebaikan isterinya, di samping mengharapkan rahmat dan kebaikan untuknya di alam akhirat. Ini juga melambangkan kemuliaan akhlak seorang suami yang tidak melupakan tanggungjawabnya untuk terus mendoakan kebahagiaan dan keselamatan isterinya dalam kehidupan selepas mati.

Dengan memohon keampunan (istighfar), ia memberi manfaat kepada si mati menurut ijmak ulama. Antara dalil yang menunjukkan hal ini ialah firman Allah:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (daripada Muhajirin dan Ansar) berdoa: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang telah beriman lebih duhulu daripada kami.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Syeikh Ibn Baz menyatakan: Si mati mendapat manfaat daripada amalan-amalan berikut yang dilakukan atas namanya: sedekah, doa, haji, dan umrah. Semua ini memberi kebaikan kepadanya. Begitu juga, jika si mati meninggalkan hutang, melunaskan hutang tersebut turut memberi manfaat kepadanya.

Adapun menghadiahkan pahala bacaan al-Quran untuk si mati, tiada dalil sahih yang menunjukkan keharusan amalan ini. Menurut pandangan yang lebih sahih, menghadiahkan bacaan al-Quran tidak disyariatkan. Maksudnya, seseorang membaca al-Quran bagi pihak si mati dan menghadiahkan pahalanya kepadanya, tidak disyariatkan.

Walau bagaimanapun, bersedekah atas nama si mati bermanfaat baginya menurut ijmak umat Islam. Begitu juga, mendoakannya dengan memohon keampunan, rahmat, darjat yang tinggi, dan pengampunan dosa turut memberi manfaat kepada si mati berdasarkan ijmak. Demikian juga halnya dengan ibadah haji atau umrah yang dilakukan bagi pihaknya, semua ini memberi manfaat kepada si mati. (Lihat Fatawa Nur  ‘ala Darb, 14/280)

Kesimpulannya

Dalam Islam, suami digalakkan untuk meneruskan kebaikan kepada isterinya walaupun setelah kematiannya. Perbuatan ini termasuk menghormati, mengingati jasa, dan mendoakan kesejahteraan isteri yang telah pergi, seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW terhadap isteri Baginda, Khadijah RA. Tindakan seperti bersedekah, berwakaf, memohon keampunan (istighfar), dan mendoakan kebaikan bagi isteri yang telah meninggal dunia bukan sahaja membawa manfaat kepadanya tetapi turut mencerminkan akhlak terpuji seorang suami. Dengan cara ini, suami dapat menunjukkan bahawa ikatan kasih sayang dan penghargaan terhadap isterinya tetap berlanjutan meskipun isteri sudah tiada.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Wallahua’lam

Leave a Reply