Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah doa dhuha yang masyhur ini, iaitu (اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ…) merupakan sunnah yang diamalkan oleh Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Dhuha merupakan salah satu dari solat nafilah (sunat) yang dituntut. Terdapat banyak nas yang menyebutkan akan kelebihan dan kepentingan solat ini. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata :

أَوْصَانِي خَلِيلِي صلى الله عليه وسلم بِثَلاَثٍ بِصِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَىِ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَرْقُدَ

Maksudnya:Kekasihku telah berpesan kepadaku terhadap tiga perkara. (Iaitu) berpuasa sebanyak tiga hari dalam sebulan, dua rakaat solat dhuha, dan supaya aku melakukan solat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat Muslim (721)

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa solat dhuha ini dituntut oleh Rasulullah SAW. Dua rakaat solat dhuha yang disebutkan di dalam hadith ini menjelaskan berkenaan bilangan rakaat paling ringkas bagi solat dhuha. Meskipun begitu, ia tidaklah terhad kepada dua rakaat sahaja, bahkan para fuqaha al-Syafi’eyyah menjelaskan bahawa bilangan rakaat paling afdhal bagi solat dhuha adalah sebanyak 8 rakaat manakala bilangan rakaat paling maksima adalah sebanyak 12 rakaat seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Imam al-Nawawi turut berkata: Sesungguhnya Nabi SAW melakukan solat dhuha ini pada sebahagian waktu dan baginda meninggalkannya pada sebahagian waktu yang lain, takut-takut orang ramai menyangka ia sebagai wajib atau takut-takut ia difardhukan ke atas mereka. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 4/37)

Kesahihan Doa (اللهم إن كان رزقي في السماء فأنزله…)

Terdapat beberapa doa yang mahsyur, yang diajarkan oleh para ulama’ untuk diamalkan selepas solat sunat Dhuha. Antaranya ialah:

اَللَّهُمَّ إِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاءُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ، اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ فِيْ الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْداً فَقَرِّبْهُ، بِحَقِّ ضُحُائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا آتَيْتُ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya waktu Duha itu ialah waktu Duha-Mu, kecerahan itu ialah kecerahan-Mu, keindahan itu ialah keindahan-Mu, kekuatan itu ialah kekuatan-Mu, kekuasaan itu ialah kekuasaan-Mu dan perlindungan itu ialah perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezekiku ada di langit maka turunkanlah, jika ada di dalam perut bumi maka keluarkanlah, jika ia sukar maka permudahkanlah, jika ia haram maka sucikanlah, jika ia jauh maka dekatkanlah. Berkat waktu Duha-Mu, kecerahan-Mu, keindahan-Mu, kekuatan-Mu dan kekuasaan-Mu, berikanlah kepada kami segala apa (kebaikan) yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.

Namun begitu, tidak ada satu doa khusus pun yang diajarkan oleh Nabi SAW untuk solat sunat Dhuha, dan ia juga tidak diriwayatkan daripada mana-mana sahabat atau tabi’in yang mengamalkan doa ini. Hal ini kerana, doa ini adalah doa seorang wanita Badwi yang tidak diketahui identitinya, yang didengar oleh sebahagian orang alim ketika beliau berdoa di Arafah. Al-Dinuri telah meriwayatkannya dalam kitab al-Mujalasah wa Jawahir al-‘Ilm dengan sanadnya (hlm. 727): “daripada al-Asma’i, katanya:

سَمِعْتُ أَعْرَابِيَّةً بِعَرَفَاتٍ وَهِيَ تَقُولُ: اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِي فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ فِي الْأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ نَائِيًا فَقَرِّبْهُ، وَإِنْ كَانَ قَرِيبًا فَيَسِّرْهُ…

Maksudnya: Aku mendengar seorang wanita Badwi di Arafah berkata: “Ya Allah, jika rezekiku ada di langit, maka turunkanlah; jika ada di bumi, keluarkanlah; jika jauh, dekatkanlah; jika dekat, mudahkanlah.”

Doa ini juga dinukilkan oleh al-Jahiz dalam kitabnya al-Bayan wa al-Tabyin (517), dan juga oleh al-Zamakhshari dalam Rabi’ al-Abrar (178), serta beberapa penulis yang lain.

Keutamaan Doa yang Ringkas

Tujuan doa ini secara umumnya adalah untuk memohon agar rezeki diperoleh dan memudahkan sampainya rezeki itu, dan ini bukanlah sesuatu yang dilarang. Walau bagaimanapun, sesungguhnya Rasulullah SAW suka akan doa yang ringkas dan meninggalkan doa yang berlebihan sebagimana yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha. katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ

Maksudnya: Rasulullah SAW suka memilih doa-doa yang ringkas tetapi penuh makna, dan meninggalkan selain daripada itu.

Riwayat Ahmad (27649) dan Abu Dawud (1482). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (1842) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih

Maksud “doa yang ringkas” ialah doa yang mencakupi kebaikan dunia dan akhirat, dengan ungkapan yang ringkas tetapi penuh makna, seperti dalam firman Allah SWT: رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ, dan juga doa meminta ‘afiah di dunia dan akhirat.

Syeikh Syams al-Haq menukilkan bahawa Ali al-Qari menyatakan bahawa “doa yang ringkas” adalah yang mencakupi tujuan-tujuan yang baik atau yang menggabungkan pujian kepada Allah SWT dengan adab yang sopan dalam permintaan. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud, 4/249).

Amalan Doa ini dalam Solat Dhuha?

Sebahagian ulama mutaakhirin daripada mazhab Syafi’i telah menyarankan doa ini dibaca dalam solat Dhuha sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab mereka: “Disunatkan berdoa dalam solat Dhuha dengan doa ini:

 اَللَّهُمَّ إِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاءُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ، اَللَّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ فِيْ الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْداً فَقَرِّبْهُ، بِحَقِّ ضُحُائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ آتِنِي مَا آتَيْتُ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ.

Doa ini disebutkan oleh al-Dimyati al-Bakri dalam Hasyiah I’anah al-Talibin (1/295), Hasyiah al-Tiblawi ‘ala Tuhfah al-Muhtaj” (2/231), dan Hasyiah al-Jamal (1/485).

Namun begitu, kami katakan bahawa mengkhususkan doa ini dalam satu ibadah tertentu adalah tidak menepati kaedah syara’ kerana setiap doa yang dikhususkan dengan pahala sunat memerlukan kepada dalil yang jelas daripada al-Quran dan juga al-Sunnah. Hal ini kerana doa ini tidak pernah diamalkan oleh Nabi SAW, para sahabat dan juga para tabi’in sehingga ia dijadikan sebagai amalan yang disunatkan secara khusus bagi solat dhuha.

Walaupun begitu, sekiranya seseorang itu ingin juga mengamalkan doa ini, ia boleh diamalkan sebagai doa secara umum tanpa menyandarkan bahawa ia adalah doa yang disunnahkan secara khusus dan bukan dijadikan sebagai doa yang paling utama untuk solat dhuha serta tidak boleh menganggapnya ia adalah doa yang diamalkan oleh Nabi SAW.

Justeru, pilihan yang terbaik dalam mengamalkan doa ialah sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Sebagai contoh sekiranya ingin dimurahkan rezeki, Nabi SAW mengajarkan supaya berdoa sebagaimana riwayat daripada Ali R.A bahawa seorang hamba datang kepadanya mengadu bahawa beliau tidak mampu menyelesaikan hutangnya, lalu Ali berkata, “Mahukah aku ajarkan kamu beberapa kalimat yang diajarkan kepadaku oleh Rasulullah SAW, jika engkau mempunyai hutang sebesar Gunung Sair sekalipun, Allah pasti akan melunaskannya untukmu? Katakanlah:

 اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan rezeki halal-Mu agar tidak mengharapkan yang haram, dan kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu agar tidak bergantung kepada selain-Mu.”

Riwayat al-Tirmizi (3563). Hadith ini dinilai hasan sebagaimana dalam Sahih al-Tirmizi

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dan juga jawapan kepada persoalan di atas, kami katakan bahawa doa dhuha yang masyhur yang kita biasa dengar, iaitu doa “ اَللَّهُمَّ إِنَّ الضَّحَاءَ ضَحَاءُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ … ” bukanlah berasal daripada sunnah Nabi SAW mahupun athar para sahabat, tetapi ia merupakan doa yang didoakan oleh seorang wanita Badwi yang tidak diketahui identitinya, yang didengar oleh sebahagian orang alim ketika beliau berdoa di Arafah.

Justeru, kami katakan bahawa mengkhususkan doa ini dalam satu ibadah tertentu adalah tidak menepati kaedah syara’ kerana setiap doa yang dikhususkan dengan pahala sunat memerlukan kepada dalil yang jelas daripada al-Quran dan juga al-Sunnah. Hal ini kerana doa ini tidak pernah diamalkan oleh Nabi SAW, para sahabat dan juga para tabi’in sehingga ia dijadikan sebagai amalan yang disunatkan secara khusus bagi solat dhuha.

Walaupun begitu, sekiranya seseorang itu ingin juga mengamalkan doa ini, ia boleh diamalkan sebagai doa secara umum tanpa menyandarkan bahawa ia adalah doa yang disunnahkan secara khusus dan bukan juga dijadikan sebagai doa paling utama untuk solat dhuha serta tidak boleh menganggapnya ia adalah doa yang diamalkan oleh Nabi SAW.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Leave a Reply