Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan dalil-dalil berkaitan ancaman terhadap perbuatan zina?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan persoalan di atas, ancaman terhadap perbuatan zina ini telah banyak disebutkan dalam nas-nas syarak, dijelaskan kepada kita bahawa ia merupakan seburuk-buruk maksiat yang juga menjadi pintu utama kepada banyak kerosakan lain.

Dalil daripada al-Quran

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT melarang para hamba-hambaNya daripada perbuatan zina dan menegah daripada mendekatinya. Begitu juga setiap yang membawa kepada zina seperti faktor-faktor dan aspek-aspek yang membawa kepadanya. Firman-Nya: (وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً) “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji”, yakni suatu perbuatan dosa besar. Firman-Nya: (وَسَاءَ سَبِيلًا) “dan satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)

Antara bentuk ( وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ) (“Dan janganlah kamu menghampiri zina”) ialah:

  • Berkhalwat dengan wanita ajnabiyyah
  • Melihat filem atau video pornografi
  • Membaca buku-buku berunsur pornografi
  • Menghadiri ke tempat-tempat yang lagha dan terdedah dengan pornografi
  • Menghampiri mereka yang berakhlak buruk yang banyak melakukan perbuatan keji seperti zina.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَٰهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ يَلْقَ أَثَامًا ‎(٦٨)‏ يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا ‎(٦٩)‏

Maksudnya: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan.”

(Surah al-Furqan: 68-69)

Ibn Jarir al-Tabari menyatakan: Orang-orang yang tidak menyembah tuhan selain Allah, mereka tidak mempersekutukan-Nya dalam ibadah mereka dan mereka mengabdikan diri kepada-Nya dengan tunduk patuh (dan mereka tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah) kecuali dengan hak sama ada hukuman bunuh kerana kekafiran setelah menjadi muslim (murtad), atau hukuman rejam sehingga mati kerana zina setelah berkahwin, atau hukuman mati kerana membunuh seseorang tanpa hak. Seterusnya mereka tidak berzina, iaitu mereka tidak mendekati apa yang diharamkan Allah atas mereka dari perbuatan-perbuatan keji daripada kemaluan. Sesiapa yang melakukan hal itu akan mendapat dosa iaitu dia akan mendapat hukuman, akibat dan seksaan daripada Allah sebagaimana Tuhan kita yang Maha Agung menyifatkannya, dan seksaan bagi mereka akan digandakan di hari kiamat, dan mereka akan kekal di dalamnya dalam kehinaan. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 19/303)

Ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa antara ciri-ciri hamba al-Rahman ialah mereka tidak akan mempersekutukan Allah SWT dan juga tidak akan berzina. Setelah itu, Allah SWT menyatakan sekiranya sesiapa yang melakukan dosa syirik dan berzina ini, akan digandakan azabnya pada hari akhirat dan mereka akan kekal dengan azab itu keadaan hina.

Selain itu, disebabkan hinanya zina ini, Allah SWT melarang orang-orang mukmin menikahi orang yang berzina, baik lelaki mahupun perempuan, sebagaimana firman-Nya:

الزَّانِي لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nur: 3)

Ibn Kathir menjelaskan berkenaan ayat di atas, ia merupakan pemberitahuan daripada Allah SWT bahawa lelaki penzina tidaklah berpasangan kecuali dengan wanita penzina atau wanita musyrikah. Iaitu, menuruti kehendaknya untuk berzina kecuali wanita penzina derhaka atau wanita musyrikah yang tidak memandang haram perbuatan zina. Demikian pula (وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ) “dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina,” iaitu derhaka kerana berzina, (أَوْ مُشْرِكٌ) “atau lelaki musyrik,” yang tidak menganggap zina sebagai perbuatan haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/165-166)

Al-Maraghi berkata: Sungguh tepat perumpamaan yang mengatakan, “Burung hanya hinggap di kalangan kumpulan yang sejenis dengannya.” Tidak dapat dinafikan, hukum atau anggapan ini hanya bersikap umum dan tidak terlaksana pada semua keadaan. Ia sama seperti ungkapan kata-kata, “Kebaikan hanya dilakukan oleh orang yang bertakwa,” sedangkan hakikatnya orang yang tidak bertakwa pun kadang-kadang melakukan kebaikan. Demikian halnya dengan lelaki yang berzina, kadang-kadang lelaki begini mengahwini wanita mukmin yang suci dan terdapat juga perempuan yang berzina dikahwini oleh lelaki mukmin yang suci. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4712)

Selain itu, Allah SWT berfirman:

وَلَا تُكْرِهُوا۟ فَتَيَـٰتِكُمْ عَلَى ٱلْبِغَآءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًۭا لِّتَبْتَغُوا۟ عَرَضَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَمَن يُكْرِههُّنَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ مِنۢ بَعْدِ إِكْرَٰهِهِنَّ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba perempuan kamu melakukan pelacuran kerana kamu inginkan kesenangan hidup di dunia sedangkan mereka mahu menjaga kesucian diri mereka. Sesiapa yang memaksa mereka, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Pengampun terhadap mereka setelah mereka dipaksa, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nur: 33)

Sebab turunnya ayat ini adalah sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah R.A, katanya:

كَانَ عَبْدُ اللهِ بْنُ أُبَيٍّ ابْنُ سَلُولَ يَقُولُ لِجَارِيَةٍ لَهُ: اذْهَبِي فَابْغِينَا شَيْئًا، فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ: {وَلَا تُكْرِهُوا۟ فَتَيَـٰتِكُمْ عَلَى ٱلْبِغَآءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًۭا لِّتَبْتَغُوا۟ عَرَضَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَمَن يُكْرِههُّنَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ مِنۢ بَعْدِ إِكْرَٰهِهِنَّ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ}

Maksudnya: “Abdullah bin Ubai bin Salul berkata kepada hamba perempuannya: ‘Pergilah dan lacurlah diri kamu untuk kami mendapat sedikit harta.’ Maka Allah SWT menurunkan ayat: ‘Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba perempuan kamu melakukan pelacuran kerana kamu inginkan kesenangan hidup di dunia sedangkan mereka mahu menjaga kesucian diri mereka. Sesiapa yang memaksa mereka, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Pengampun terhadap mereka setelah mereka dipaksa, lagi Maha Mengasihani.’”

Riwayat Muslim (3029)

Ibn Kathir menyatakan: Sebab penurunan ayat suci ini, sebagaimana disebutkan oleh lebih dari satu mufassir dari kalangan salaf dan khalaf, berkaitan dengan Abdullah bin Ubay bin Salul. Dia mempunyai hamba perempuan dan memaksa mereka untuk melacurkan diri semata-mata untuk mendapatkan upah pelacuran tersebut, dan juga untuk memperoleh keturunan dan kepemimpinan yang diinginkannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 6/50)

Allah SWT menegah orang-orang yang memiliki hamba untuk mengaut keuntungan dunia dengan melakukan paksaan terhadap hamba-hamba perempuan mereka untuk melacurkan diri, walhal hamba-hamba mereka itu mahu menjaga kehormatan diri dan enggan melakukan pelacuran. Allah SWT mengampunkan dosa mereka yang dipaksa melakukan zina, kerana sesungguhnya Allah SWT ialah Tuhan Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dalil Daripada Hadith

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ؟ قَالَ: «أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا، وَهُوَ خَلَقَكَ»، قُلْتُ: إِنَّ ذَلِكَ لَعَظِيمٌ، قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: «ثُمَّ أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ تَخَافُ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ»، قُلْتُ: ثُمَّ أَيُّ؟ قَالَ: «ثُمَّ أَنْ تُزَانِيَ بِحَلِيلَةِ جَارِكَ

Maksudnya: Aku bertanya kepada Nabi SAW: “Dosa apakah yang paling besar di sisi Allah?” Baginda SAW menjawab: “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah sedangkan Dia-lah yang menciptakanmu.” Aku berkata: “Sesungguhnya itu benar-benar dosa yang besar.” Aku bertanya lagi: “Kemudian apa lagi?” Baginda SAW menjawab: “Kemudian engkau membunuh anakmu kerana takut dia akan berkongsi rezeki denganmu.” Aku bertanya lagi: “Kemudian apa?” Baginda SAW menjawab: “Kemudian engkau berzina dengan isteri jiranmu.”

Riwayat al-Bukhari (7520)

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا زَنَى الْعَبْدُ خَرَجَ مِنْهُ الْإِيمَانُ فَكَانَ فَوْقَ رَأْسِهِ كَالظُّلَّةِ فَإِذَا خَرَجَ مِنْ ذَلِكَ الْعَمَلِ عَادَ إِلَيْهِ الْإِيمَانُ

Maksudnya:Apabila seorang hamba berzina akan keluarlah iman darinya. Keimanan itu seperti payung yang ada di atasnya. Kemudian jika ia berhenti dari perbuatan itu maka imannya akan kembali kepadanya.

Riwayat Abu Dawud (4690). Al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir (655) menyatakan bahawa hadith ini sahih

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang penzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman.”

Riwayat al-Bukhari (5578) dan Muslim (100)

Hadith ini bermaksud sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi bahawa para ulama berselisih pendapat dalam memahami makna hadith ini. Akan tetapi, pendapat yang tepat di sisi ahli tahqiq adalah seseorang itu tidak akan melakukan maksiat dalam keadaan imannya sempurna. Untuk itu, maksud penafian di dalam hadith ini adalah menafikan kesempurnaan sebagaimana yang disebutkan “Tidak ada ilmu melainkan yang bermanfaat dan tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat.

Tambahan pula, ijma‘ para ulama bahawa penzina, pencuri, pembunuh dan selain daripada mereka adalah termasuk di dalam perbuatan dosa besar selain dari syirik yang tidak menyebabkan mereka kufur (terkeluar daripada agama) dengan sebab melakukannya, bahkan ia menunjukkan akan kelemahan iman. Sekiranya mereka bertaubat, maka akan gugurlah hukuman ke atas mereka. Namun, sekiranya mereka terus kekal melakukan dosa-dosa besar tersebut, maka terserah kepada kehendak Allah untuk mengampunkan mereka lalu dimasukkan ke dalam syurga atau mengazab mereka terlebih dahulu sebelum memasukkan mereka ke dalam syurga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/41-42)

Selain itu, hadith ini melarang keras orang yang melakukan dosa besar dan menakutkan mereka akan balasan yang akan dikenakan disebabkan perbuatan tersebut serta ancaman akan hilangnya iman daripadanya ketika mereka melakukan perbuatan tersebut. Ini kerana, perbuatan tersebut akan melemahkan imannya kerana iman akan terus menjadi lemah dan berkurang disebabkan oleh maksiat yang dilakukan sehingga dikhuatiri pelakunya akan terjatuh ke dalam kekufuran. (Lihat Fath al-Mun’im, 1/212)

Antara perkara-perkara yang boleh mendekat diri seseorang kepada zina termasuklah dengan pandangan, ucapan, dan bayangan serta keinginan dalam hati. Ini thabit berdasarkan hadith yang daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)

Berdasarkan dalil di atas, jelas menunjukkan bahawa perintah Allah SWT supaya “jangan mendekati zina” melalui apa cara atau jalan sekalipun yang boleh membawa kepadanya seperti pandangan mata, sentuhan, pertuturan yang memikat, dan berkhalwat. Semua perkara ini jika bertujuan untuk memenuhi syahwat hati maka hukumnya adalah haram dan wajib dijauhi, walaupun dikira sebagai dosa-dosa kecil.

Sebagai penutup dalam perbincangan ini, kami sertakan di sini keburukan-keburukan yang datang daripada zina. Imam al-Zahabi berkata:

  • Mengikut hukum Islam, penzina yang belum pernah berkahwin disebat 100 kali sebatan sedangkan bagi yang sudah berkahwin, direjam sehingga mati.
  • Bagi mereka yang terlepas daripada hukuman dunia dan tidak bertaubat, para penzina digantung dengan kemaluan mereka di dalam neraka sambil dipukul kemaluan mereka dengan cemeti daripada besi sambil dicemuh oleh Malaikat Zabaniah.
  • Dicabut iman daripada dalam hatinya ketika berzina, seperti pakaian yang dicabut daripada tubuh.
  • Allah SWT tidak akan berkata-kata dengan orang tua yang berzina di Hari Kiamat, tidak mahu melihatnya (yakni membiarkannya), dan tidak menyucikannya daripada dosa-dosa dan baginya azab yang pedih.
  • Dianggap sebagai dosa paling besar selepas syirik kepada Allah dan membunuh nyawa tanpa alasan yang hak.
  • Dijadikan bekas seperti ketuhar dalam neraka bagi para penzina, yang sempit bahagian atasnya dan luas bahagian bawahnya, setiap kali disambar api mereka akan menjerit-jerit kerana panas yang melampau.
  • Kemaluan mereka akan berbau sangat busuk sehingga menyeksa para penghuni ahli neraka.
  • Iblis berbangga dengan para tenteranya yang berjaya menarik manusia melakukan zina hingga menganugerahkan mahkota istimewa kepada mereka.
  • Mendapat tiga keburukan di dunia; dihilangkan seri wajahnya, dipendekkan umurnya dan berkekalan dalam kefakiran.
  • Memperolehi tiga keburukan di akhirat; kemurkaan Allah, penghitungan amal yang buruk dan azab neraka.
  • Dijadikan sebatang sungai dalam neraka yang mengalirkan nanah dan muntah daripada kemaluan orang berzina yang menjadi minuman para peminum arak.
  • Dijadikan bagi mereka sebuah lembah di dalam neraka yang dalamnya ada ular dan kala jengking sebesar baghal, yang memiliki tujuh puluh duri yang berbisa yang mengengat para penzina selama seribu tahun sehingga terlerai dagingnya.
  • Dijadikan azab kubur baginya seperti azab separuh umat.
  • Diharamkan syurga buat orang yang berzina sedangkan dia tahu perbuatan itu dilarang.
  • Selain itu, perbuatan zina juga boleh merosakkan nasab manusia dengan lahirnya anak di luar hubungan perkahwinan. Semoga Allah mengampuni kita dan menjauhi kita daripada perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar. (Lihat al-Kaba’ir, 1/50-54)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Leave a Reply