Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah maksud kafir dan apa jenis-jenis pembahagiannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا ثُمَّ ازْدَادُوا كُفْرًا لَّمْ يَكُنِ اللَّهُ لِيَغْفِرَ لَهُمْ وَلَا لِيَهْدِيَهُمْ سَبِيلًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka ke jalan yang benar.

(Surah al-Nisa’: 137)

Secara umumnya, perkataan kafir ini tidak jauh bezanya dengan perkataan “kufur” kerana ia berasal daripada asal perkataan yang sama iaitu al-kufr “الْكُفْرُ”. Secara ringkasnya, perkataan kafir “الْكَافِرُ” berasal daripada perkataan kufr “الْكُفْرُ” yang bermaksud lawan kepada iman. Manakala kata majmuk (plural) bagi perkataan kafir ialah kuffar “كُفَّارٌ”, kafarah “كَفَرَةٌ” dan kifar “كِفَارٌ”, sebagaimana kata majmuk bagi perkataan ja’i‘ “جَائِعٌ” ialah jiya‘ “جِيَاعٌ” dan bagi perkataan na’im “نَائِمٌ” ialah niyam “نِيَامٌ”. Selain itu, perkataan kafir juga boleh bermaksud malam yang gelap gelita kerana ia menutupi segala sesuatu dengan kegelapannya. Menurut Ibn al-Sikkit, dinamakan sebagai kafir kerana dia menyembunyikan nikmat-nikmat Allah kepadanya. Selain itu, perkataan kafir juga merujuk kepada petani kerana dia menutup/menyembunyikan biji benih dengan tanah. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 271).

Perkataan “kafir” jika ia datang dalam bentuk mutlak, maka ia merujuk kepada seseorang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Al-Laith menyebutkan, dikatakan bahawa orang kafir dipanggil sedemikian kerana kekufurannya telah menutupi seluruh hatinya. Al-Azhari menyatakan, penjelasannya ialah, kafir dari segi bahasa, maknanya adalah penutupan. Manakala “الكافر ذو كفر” adalah merujuk kepada orang kafir yang memiliki penutupan terhadap hatinya dengan kekufurannya, sebagaimana dikatakan kepada sarung senjata sebagai: kafir, iaitu yang menutupi senjata tersebut. Selain daripada itu, di sana terdapat pendapat lain yang lebih baik daripada pendapat al-Laith, iaitu bahawasanya ketika Allah ‘Azza wa Jalla menyeru untuk mentauhidkan-Nya, Dia sebenarnya menyerunya untuk menikmati nikmat yang akan diberikan kepada-Nya jika dia menerimanya. Oleh itu, apabila dia menolak seruan untuk mentauhidkan-Nya itu, dia menjadi kafir terhadap nikmat Allah, iaitu menutupi nikmat-nikmat itu dengan sebab keingkarannya, menghalangi nikmat-nikmat itu daripadanya. (Lihat Tahzib al-Lughah, 10/112).

Abu ‘Ubaid al-Qasim bin Sallam menyebutkan, adapun kafir, maka dikatakan bahawa ia dinamakan sebagai kafir kerana dia menutup dan menyembunyikannya seperti mana seseorang menutup dan menyembunyikan senjata. Dialah orang yang telah memakaikannya senjata sehingga dia menutup setiap sesuatu daripadanya, begitu juga kekufuran telah menutup hati orang kafir. Oleh sebab itu, dikatakan bahawa malam adalah kafir kerana ia menutupi segala sesuatu. Selain itu, turut dikatakan bahawa kafir dinamakan demikian kerana ingkar, sebagaimana dikatakan: “كافرني فلان حقي إذا جحده حقه” (Fulan mengingkari hakku apabila dia menolak haknya). (Lihat Gharib al-Hadith, 3/13-14).

Kafir menurut istilahnya ialah orang yang tidak beriman kepada Allah, para rasul-Nya, dan syariat-Nya. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Raghib al-Asfahani bahawa kafir secara mutlak dikenal pada mereka yang menolak keesaan Allah, atau kenabian, atau syariat, atau menolak ketiga-tiganya. (Lihat al-Mufradat, hlm 715)

Begitu juga Ibn Qayyim menyatakan bahawa kafir adalah orang yang menolak keesaan Allah dan mendustakan rasul-Nya, baik dengan keras kepala, kejahilan, atau meniru orang-orang yang keras hatinya. (Lihat Tariq Hijratain, 1/411).

Pembahagian Kafir

Kafir terbahagi kepada empat jenis iaitu kafir mu‘ahad, kafir zimmi, kafir musta’man dan kafir harbi.

  • Kafir mu‘ahad

Mereka ialah orang kafir yang mempunyai perjanjian dengan orang Islam, seperti mana yang terjadi antara Nabi SAW dan Quraisy dalam perjanjian Hudaibiyah. (Lihat Sabil al-Muhtadin ila Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 192).

Berkenaan kafir mu‘ahad ini terdapat riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.’Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَنْ قَتَلَ مُعَاهَدًا لَمْ يَرِحْ رَائِحَةَ الجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا تُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ أَرْبَعِينَ عَامًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh kafir mu‘ahad (orang kafir yang memeterai perjanjian damai dengan orang Islam), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga dapat dicium dari jarak sejauh 40 tahun perjalanan.”

Riwayat al-Bukhari (3166)

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, orang kafir yang dimaksudkan dalam hadith di atas ialah orang yang mempunyai perjanjian dengan kaum Muslimin, sama ada melalui perjanjian jizyah, genjatan senjata daripada pemerintah, atau perlindungan keamanan daripada orang Islam. (Lihat Fath al-Bari, 12/259).

Begitu juga terdapat hadith yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا، أَوِ انْتَقَصَهُ، أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ، أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ، فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘ahad, atau mengurangi haknya, atau membebaninya sesuatu yang tidak tertanggung olehnya, ataupun mengambil daripadanya sesuatu tanpa senang hati, maka aku akan menjadi pembelanya kelak pada hari Kiamat.”

Riwayat Abu Daud (3052)

Al-‘Azim Abadi menyatakan bahawa termasuk di dalam erti al-Mu‘ahid ialah kafir zimmi dan musta’man — yakni yang diberi jaminan keamanan. Di antara perkara yang termasuk dalam kezaliman ke atas mereka adalah seperti mengutip bayaran jizyah atau kharaj bukan kepada sesiapa yang diwajibkan ke atasnya atau mengambil lebih daripada sepatutnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 8/211.) Tambahan lagi, Syihabuddin al-Qarafi menyebutkan, ikatan janji setia dengan kafir zimmi mewajibkan beberapa hak yang mesti dijaga. Hal ini kerana mereka hidup dalam lindungan kita serta berada dalam naungan Allah SWT dan RasulNya serta di bawah naungan Islam. Sesiapa yang mengganggu mereka sekalipun dengan suatu perkataan yang buruk, atau melakukan penghinaan terhadap kehormatan salah seorang daripada mereka, atau apa jua jenis daripada penganiayaan, maka mereka itu telah mensia-siakan naungan Allah SWT dan Rasul-Nya serta naungan agama Islam. (Lihat al-Furuq, 3/14).

  • Kafir zimmi

Dalam Mausu‘ah al-Mafahim al-Islamiyyah al-‘Ammah (hlm. 297) dinyatakan bahawa zimmah (الذِّمَّة) dari segi bahasa bermaksud perlindungan dan perjanjian. Justeru, ahli zimmah merujuk kepada ahl al-‘Ahd “أهل العهد” iaitu mereka yang berada di bawah perjanjian dan zimmi “الذمى” pula adalah “المعاهد” iaitu orang yang berjanji/berada dalam perjanjian.

Seterusnya, dari segi istilah pula zimmiyyun (kafir zimmi) dan zimmi adalah nisbah kepada zimmah “الذِّمَّة” iaitu perjanjian perlindungan yang diberikan oleh pemerintah atau wakil pemerintah terhadap dirinya dan juga hartanya sebagai gantian bagi kewajipan membayar jizyah dan tunduk kepada hukum-hakam Islam.

Selain itu, Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti juga ada menyatakan bahawa Zimmiyyun (kafir zimmi) adalah merujuk kepada mereka dalam kalangan ahli kitab yang mempunyai perjanjian (zimmah), yang mana dikenakan ke atas mereka bayaran jizyah. Mereka ini mempunyai hukum khas. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘ oleh al-Syanqiti, 138/15).

Dalam erti kata lain, mereka ialah orang kafir yang tinggal bersama kita (dalam satu negara) serta kita melindungi mereka dan membela mereka, dan mereka memberi jizyah sebagai ganti kepada perlindungan yang diberikan dan keberadaan mereka di dalam negara kita — negara Islam. (Lihat Sabil al-Muhtadin ila Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 192).

Terdapat riwayat daripada al-Qasim bin Mukhaimirah, daripada salah seorang sahabat Nabi SAW, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَتَلَ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الذِّمَّةِ، لَمْ يَجِدْ رِيحَ الْجَنَّةِ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ سَبْعِينَ عَامًا

Maksudnya: “Sesiapa yang membunuh seseorang daripada kalangan kafir zimmi (tanpa hak), dia tidak akan dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jarak sejauh 70 tahun perjalanan.”

Riwayat Ahmad (18072) dan al-Nasa’i (4749); Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib (2453)

  • Kafir musta’man

Kafir musta’man merujuk kepada orang kafir yang datang dari negeri musuh; tetapi memasuki ke tempat kita dengan aman untuk menjual barang dagangannya  atau untuk membeli atau bekerja; maka orang ini adalah dihormati dan dilindungi darahnya — walaupun dia daripada kalangan musuh kita — kerana dia telah diberikan jaminan keamanan khas.  (Lihat Sabil al-Muhtadin ila Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 192)

Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti mendefinisikan al-Musta’man sebagai orang kafir yang bermusuhan yang memasuki wilayah orang Islam dengan aman, untuk berdagang atau untuk membuat kontrak atau untuk kepentingan tertentu, sama ada kepentingan umum atau peribadi, mereka akan diberikan jaminan oleh pemerintah atau mana-mana orang Islam. Jaminan ini diberikan oleh sesiapa sahaja daripada kalangan mereka yang berhak.  Ia mengambil hukum jaminan yang diberikan kepada semua orang Islam.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam hadith yang sahih:

وذِمَّةُ المُسْلِمِينَ واحِدَةٌ، يَسْعى بها أدْناهُمْ

Maksudnya: “Jaminan kaum Muslimin adalah satu, jaminan itu berlaku meskipun dari orang yang paling rendah dari mereka.

Riwayat al-Bukhari ( 3179)

Mereka adalah musuh kepada orang lain yang bukan daripada kalangan mereka. Oleh itu, apabila Ummu Hani’ datang kepada Rasulullah SAW ketika pembukaan Makkah beliau sedang mandi dan Fatimah menutupinya dengan kain, dan pada ketika itu Ali ingin membunuh seorang daripada kaumnya sendiri. Adat orang Arab adalah apabila seseorang meminta perlindungan masuk ke rumah seseorang, dia akan diberikan perlindungan sebagaimana dia memberikan perlindungan kepada dirinya sendiri. Ini adalah daripada sifat orang-orang mulia dan tanda-tanda kesempurnaan dan keunggulan manusia, bahawa dia tidak akan dianiaya, tetapi dengan syarat dia tidak melanggar batasan-batasan Allah SWT, dan melanggar larangan-larangan-Nya. Oleh itu, sekiranya mereka melanggar batasan tersebut mereka tidak akan diberikan jaminan, kerana hukum agama berhak untuk dikenakan ke atasnya. Jika diberikan perlindungan ke atas mereka bermakna membantu mereka dalam melakukan dosa dan pencerobohan. Ini sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong-menolong dalam melakukan dosa serta permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Mereka pada zaman Jahiliyyah, apabila seseorang memasuki rumah orang lain dan memijak hamparannya, atau masuk ke dalam rumahnya lalu berkata: “Aku meminta perlindungan daripadamu,” atau “aku meminta perlindungan,” atau meminta keamanan daripadanya, maka dia tidak akan ditolak kerana apabila dia memasuki rumah seseorang, dia menjadi seperti seorang tetamu, dan tetamu harus dihormati dan tidak dihina, ditunaikan segala keperluannya dan tidak ditolak. Maka dia akan diberikan perlindungan dan akan menjadi tanggungan ke atas orang yang memberikan perlindungan bagi kebaikan atau keburukannya. Dalam erti kata lain, orang yang mencari perlindungan apabila masuk ke wilayah orang Islam dan meminta perlindungan daripada seorang Muslim, maka dia dianggap sebagai tetangga bagi semua orang Islam.

Diriwayatkan bahawa semasa zaman Umar bin al-Khattab R.A, Abu Musa al-Asy‘ari R.A  dari Syam telah menulis kepadanya: Bahawa apabila orang-orang Rom memasuki wilayah orang Islam, mereka tidak dikenakan apa-apa ke atas mereka. Akan tetapi apabila orang-orang Islam memasuki wilayah mereka sebagai pedagang, mereka dikenakan cukai sebanyak 1/10 (‘usyur). Oleh itu, Umar memerintahkan agar cukai 1/10 (‘usyur) tersebut turut dikenakan kepada mereka, apabila mereka memasuki wilayah Islam, dan ini dinamakan sebagai al-ta‘syir.

Ia merupakan cukai yang dikenakan ke atas perdagangan di wilayah orang Islam, sebagai muamalah yang sama, sama seperti sistem kastam yang dikenali dalam zaman kita. Oleh itu, ia merupakan cukai yang dikenakan ke atas orang kafir, sebagaimana yang dilakukan oleh orang Islam apabila mereka berdagang di wilayah mereka sendiri, maka muamalah tersebut adalah sama. Amalan ini dijalankan oleh Umar bin al-Khattab R.A, dan diteruskan oleh khalifah-khalifah yang lain selepas beliau, sehingga menjadi suatu amalan yang disepakati.

Jika orang kafir berdagang di wilayah orang Islam atau mempunyai wakil orang Islam yang mengeksport barang-barang dagangan mereka, maka adalah dibenarkan untuk mengenakan cukai ke atas mereka sebagaimana yang dikenakan ke atas orang Islam apabila mengeksport barang dagangan kepada mereka. Ini dikenali sebagai ta‘syir dan ia mempunyai garis panduan tertentu. Pihak pemerintah boleh mempertimbangkan dan mengambil kira kepentingan umum dalam menjalankan sistem ini, dengan mengenakan bayaran 1/10 cukai kepada orang kafir, dan separuh daripada 1/10 kepada golongan zimmi, dan seperempat daripada 1/10  kepada orang Muslim jika mereka berdagang dari wilayah mereka. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘ oleh al-Syanqiti, 138/15).

 

  • Kafir harbi

Kafir Harbi merujuk kepada mereka yang tidak memiliki perjanjian, jaminan, atau perjanjian zimmah antara dia dan orang Islam. Dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: Kafir harbi adalah mereka yang bukan Muslim yang tidak termasuk dalam perjanjian zimmah, dan mereka tidak menikmati keamanan atau perjanjian antara mereka dan orang Islam. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/104)

Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti mentakrifkan kafir harbi sebagai mereka yang mempunyai persengketaan dan permusuhan dengan umat Islam. Oleh itu, mereka disebut oleh para ulama sebagai “kafir harbi,” walaupun mereka berada dalam gencatan senjata dengan orang Islam. Hukum mereka adalah seperti orang-orang yang memerangi Islam, mengikut kepada perincian-perincian yang tertentu. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘ oleh al-Syanqiti, 138/15).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi mendefinisikan, ahli Harb ialah golongan bukan Islam yang menolak dan menentang Islam selain menyatakan permusuhan dengan kaum Muslimin dan tidak mempercayai negara Islam dalam melaksanakan perjanjian zimmah atau perjanjian perlindungan. Mereka tinggal di negara yang disebut sebagai dar al-harb, iaitu negara yang tidak menerapkan hukum-hakam Islam. Maka, hukum yang dilaksanakan kepada mereka adalah berbeza dengan zimmi. (Lihat Fiqh Jihad oleh al-Qaradhawi, terj. PTS, 2/1480).

Ada di kalangan ulama membahagikan mengikut ijtihad baru. Kami menghormati pandangan mereka. Tetapi, pendapat ulama’ terdahulu juga sewajarnya diambil kira.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Leave a Reply