Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum bekerja di bank yang mempunyai riba?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam mencari rezeki, kita hendaklah mencari sumber yang halal yang jauh dari perkara-perkara yang haram atau syubhah. Hal ini sebagaimana sebuah hadis yang masyhur, daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا”، وَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ” ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟”.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya.(Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 7/337)

Namun, jika harta itu haram pada sebab perolehannya dan sifatnya, seperti yang diperoleh melalui akad yang haram seperti riba, atau bekerja di tempat yang haram, atau perolehah dari hasil perjudian maka dosa adalah ke atas orang yang memperolehnya. Oleh yang demikian dibenarkan bagi sesiapa yang menerima harta itu melalui cara yang dibenarkan untuk memanfaatkannya, seperti menerima hadiah atau menerima pembayaran hutang dan seumpamanya.

Syeikh Ibn Uthaimin menyatakan dalam tafsirnya bagi Surah Al-Baqarah: Adapun harta yang haram kerana cara perolehannya, seperti yang diperoleh melalui penipuan, riba, atau pembohongan, dan seumpamanya; harta ini haram bagi orang yang memperolehnya, tetapi tidak haram bagi orang lain jika mereka memperolehnya melalui cara yang dibenarkan. (Lihat Tafsir al-Uthaimin: Al-Fatihah dan al-Baqarah, 1/198)

Begitu juga, firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.

(Surah al-An’am: 164)

Ayat di atas menerangkan bahawa dosa adalah dipikul oleh siapa yang melakukannya, seseorang hanya menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukannya sahaja dan dia tidak menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Begitu juga keadaannya dengan pahala. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 212/3; Tafsir al-Mawardi, 196/2)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan haram bagi seorang muslim untuk bekerja di sektor yang mempunyai unsur-unsur seperti riba dan seumpamanya. Oleh yang demikian menjauhi mana-mana institusi yang berurus niaga dengan riba adalah lebih terselamat. Ini kerana terdapat larangan keras kepada sesiapa yang melibatkan diri dengan riba sepertimana yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Masu’d bahawa Rasulullah SAW bersabda :

لعَن اللهُ آكلَ الرِّبا ومُوكِلَهُ وشاهدَهُ وكاتبَهُ

Maksudnya: “Allah melaknat pemakan riba, wakilnya, saksinya, dan penulisnya.”

Riwayat Ahmad (5/274)

Dalam hal ini juga imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Hal ini jelas menerangkan tentang pengharaman dalam menulis perjanjian antara dua individu yang terlibat dengan riba dan memberikan kesaksian tentang perjanjian tersebut, serta larangan memberikan bantuan kepada hal-hal yang bercanggah dengan kebenaran. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 11/26)

Kami cadangkan, cuba elakkan dan cari alternatif yang lain kerana alhamdulillah di Malaysia sekarang ini terlalu banyak institusi kewangan Islam, atau sekurang-kurangnya window Islam di kebanyakan bank.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam