Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat hadith yang menyebut tentang keutamaan puasa pada bulan Rejab?
Jawapan:
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Bulan Rejab adalah salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah pada hari Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi diri kamu di dalamnya.”
(Surah al-Taubah: 36)
Bulan-bulan haram tersebut ialah:
- Rejab,
- Zulkaedah,
- Zulhijjah, dan
- Muharram
Hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (4662) dan Muslim (1679) daripada Abu Bakrah R.A menyebut bahawa Nabi SAW bersabda:
السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Satu tahun itu terdiri daripada dua belas bulan, antaranya empat bulan haram: tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharam, serta Rejab Mudhar yang terletak antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”
Bulan-bulan ini dinamakan sebagai bulan haram kerana dua sebab utama:
- Dilarang berperang kecuali jika diserang musuh terlebih dahulu.
- Dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini lebih berat berbanding bulan-bulan lain.
Allah SWT berfirman:
فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ
Maksudnya: “Maka janganlah kamu menzalimi diri kamu di dalamnya.“
(Surah al-Taubah: 36)
Syeikh al-Sa‘di menjelaskan: “Larangan ini mungkin merujuk kepada seluruh dua belas bulan, di mana Allah SWT menjelaskan bahawa bulan-bulan ini adalah kesempatan bagi manusia untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Ia juga mungkin khusus merujuk kepada empat bulan haram, kerana dosa dan kezaliman pada bulan-bulan ini lebih besar berbanding waktu lain.” (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 373).
Adakah Terdapat Hadith tentang Keutamaan Puasa pada Bulan Rejab?
Dalam hal ini, tidak ada satu pun hadith sahih yang menyebut keutamaan puasa pada bulan Rejab secara khusus. Apa yang dilakukan oleh sebahagian orang, iaitu menetapkan hari-hari tertentu pada bulan Rejab untuk berpuasa dengan keyakinan bahawa ia lebih utama daripada bulan-bulan lain, tidak mempunyai asas dalam syariat. Namun, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa puasa pada bulan-bulan haram termasuk juga pada bulan Rejab adalah disukai. Perkara ini adalah berdasarkan hadith Abu Mujibah al-Bahiliyah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ
Maksudnya: “Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti. Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti. Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti.”
Riwayat Abu Dawud (2428) dan dinilai soleh (baik) oleh Abu Dawud sendiri.
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mensyarahkan hadith di atas: “Rasulullah SAW mengizinkan untuk meninggalkan amalan puasa (bulan Haram) ini kerana barangkali ia menyusahkan sebahagian orang untuk banyak berpuasa seperti mana yang ditegaskan di dalam hadith ini. Adapun orang yang tidak merasakan sebarang kesusahan, maka dia boleh berpuasa pada semua bulan-bulan yang mempunyai keutamaan istimewa ini.” (Lihat Asna al-Matalib Syarh al-Raudh al-Talib, 1/432-433)
Hadith ini menunjukkan bahawa puasa pada bulan-bulan haram, termasuk bulan Rejab, adalah disukai. Namun, seseorang itu tidak boleh mengkhususkan puasa pada bulan Rejab sahaja, tanpa puasa pada bulan-bulan haram yang lain.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Adapun puasa pada bulan Rejab secara khusus, hadith-hadithnya semuanya lemah, bahkan palsu. Tidak ada yang diakui oleh para ulama. Bahkan, ia bukanlah daripada hadith dhaif yang boleh digunakan untuk kelebihan amalan, tetapi kebanyakannya adalah palsu. Dalam kitab al-Musnad dan lain-lain, terdapat hadith yang menyebut Nabi SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan haram, iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharam. Namun, ini merujuk kepada puasa keempat-empat bulan secara keseluruhan, bukan untuk mengkhususkan Rejab sahaja.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 25/290).
Ibn al-Qayyim berkata:“Setiap hadith yang menyebut tentang keutamaan puasa pada bulan Rejab atau solat pada malam-malam tertentu dalam bulan ini adalah palsu.”
(Lihat al-Manar al-Munif, hlm. 96).
Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan: “Tidak ada hadith sahih yang menyebut keutamaan bulan Rejab, atau puasa pada bulan ini secara khusus, atau solat pada malam-malam tertentu dalam bulan ini.”(Lihat Tabyin al-‘Ujab bima Warada fi Fadhl Rajab, hlm. 11).
Sayyid Sabiq berkata: “Puasa pada bulan Rejab tidak mempunyai keutamaan yang lebih berbanding bulan-bulan lain. Apa yang disebut dalam hadith mengenai keutamaan puasa pada bulan ini adalah tidak sahih dan tidak boleh dijadikan hujah.” (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/383).
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa bulan Rejab adalah salah satu bulan haram, tetapi tidak ada hadith sahih yang menyebut keutamaan khusus untuk puasa pada bulan ini. Jika seseorang berpuasa pada bulan Rejab sebagai sebahagian daripada puasa bulan-bulan haram secara umum, maka ia dibolehkan. Namun, mengkhususkan puasa pada bulan Rejab sahaja tanpa dalil adalah tidak disyariatkan dan boleh membawa kepada bid‘ah.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)