Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mengetahui sama ada hadith berikut sahih atau tidak: Diriwayatkan daripada Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memulakan percakapan sebelum memberi salam, maka jangan jawab salamnya.” Diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah no. (215). Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Hadith ini diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (214), yang berkata: “Telah mengkhabarkan kepada kami al-‘Abbas bin Ahmad al-Himsi, telah menceritakan kepada kami Kathir bin ‘Ubaid, telah menceritakan kepada kami Baqiyyah bin al-Walid, telah menceritakan kepada kami Ibn Abi Rawwad, daripada Nafi’, daripada Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ بَدَأَ بِالْكَلَامِ قَبْلَ السَّلَامِ فَلَا تُجِيبُوهُ

Maksudnya:Sesiapa yang memulakan percakapan sebelum memberi salam, maka jangan jawab salamnya.”

Hadith ini telah dinilai batil oleh Abu Hatim al-Razi. Beliau berkata: “Saya bertanya kepada ayah saya tentang hadith yang diriwayatkan oleh Baqiyyah, katanya: Telah menceritakan kepada saya Ibn Abi Rawwad, daripada Nafi’, daripada Ibn Umar, katanya: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu memulakan percakapan sebelum memberi salam. Sesiapa yang memulakan percakapan sebelum memberi salam, maka jangan jawab salamnya. Ayah saya berkata: Hadith ini batil, ia bukan hadith Ibn Abi Rawwad.” (Lihat al-‘Ilal, 6/136).

Terdapat kemungkinan bahawa Abu Hatim menilai hadith ini sebagai batil kerana Baqiyyah sering keliru dalam periwayatan daripada para perawi yang thiqah, khususnya yang bukan berasal dari Syam, sedangkan Ibn Abi Rawwad berasal dari Makkah.

Imam al-Zahabi berkata: “Baqiyyah bin al-Walid adalah salah seorang imam yang hafiz, tetapi beliau sering meriwayatkan daripada sesiapa sahaja yang dijumpainya. Beliau juga mempunyai hadith-hadith gharib yang tidak dapat diterima, meskipun daripada perawi yang thiqah, kerana banyaknya periwayatannya.” (Lihat al-Mughni fi al-Dhu‘afa’, 1/109).

Ibn Rajab pula menjelaskan bahawa Baqiyyah dikenali sering meriwayatkan hadith daripada perawi yang tidak dikenali, dan kebanyakan riwayatnya bercanggah dengan riwayat perawi thiqah, terutamanya jika beliau meriwayatkan daripada perawi Hijaz dan Iraq. (Lihat Syarh ‘Ilal al-Tirmizi,2/773).

Baqiyyah juga dikritik kerana melakukan tadlis. Ibn Rajab berkata: Abu Hatim telah menyebut hal serupa mengenai para perawi yang meriwayatkan daripada Baqiyyah bin al-Walid, bahawa mereka meriwayatkan daripadanya, daripada para gurunya, sambil menyatakan bahawa Baqiyyah mendengar daripada mereka, sedangkan hakikatnya Baqiyyah tidak pernah mendengar secara langsung daripada mereka… Begitu juga, al-Isma‘ili menyebut bahawa penduduk Syam dan Mesir sering bertoleransi dalam penggunaan istilah ‘Haddathana’ (telah menceritakan kepada kami), meskipun tanpa memastikan adanya pendengaran langsung.” (Lihat Fath al-Bari li Ibn Rejab, 8/255).

Hadith ini juga diriwayatkan melalui jalan lain, tetapi sanadnya sangat lemah. Antaranya:

  1. Sanad melalui Hafs bin ‘Umar al-Abli, yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi Dhu‘afa’ al-Rijal (8/403). Sanad ini dikritik kerana Hafs bin ‘Umar diketahui meriwayatkan hadith-hadith munkar.
  2. Sanad melalui Abdullah bin ‘Umar al-‘Umari, yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat (1/136). Namun, sanad ini turut mengandungi perawi yang dituduh sebagai pemalsu hadith.

Hadith ini juga memiliki sokongan atau syawahid untuk sebahagian maknanya daripada hadith Jabir R.A, tetapi terdapat kelemahan dalam sanadnya. Al-Tirmizi meriwayatkan hadith tersebut, namun menilainya sebagai munkar kerana kelemahan perawi seperti ‘Anbasah bin Abdul Rahman dan Muhammad bin Zazan. Abu Ya’la dan Ibn ‘Adi juga meriwayatkan hadith serupa melalui perawi Ibrahim bin Yazid al-Khuzi, yang dinilai sebagai matruk. Ibn Hibban juga mengkritik Ibrahim bin Yazid kerana meriwayatkan banyak hadith munkar dan keliru. Imam Ahmad dan al-Nasa’i turut menilai beliau sebagai perawi yang ditinggalkan (matruk).

Begitu juga dengan hadith serupa daripada Abu Hurairah R.A diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8/296), tetapi sanadnya mengandungi kelemahan kerana Abdul Malik tidak terbukti mendengar daripada Abu Hurairah, dan perawi seperti Muntasir bin Muhammad adalah perawi yang majhul yang tidak dikenali.

Justeru, hadith ini mempunyai beberapa riwayat sokongan (syawahid), tetapi semuanya mengandungi perawi yang lemah atau dituduh berdusta. Oleh itu, kesemua sanad ini tidak dapat menguatkan satu sama lain.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith ‘مَنْ بَدَأَ بِالْكَلَامِ قَبْلَ السَّلَامِ فَلَا تُجِيبُوهُ’ tidak thabit daripada Nabi SAW dan tiada sanad yang sahih yang boleh menyokongnya.

Namun begitu, perlu difahami bahawa memberi salam merupakan salah satu adab yang paling utama dalam Islam dan tergolong dalam hak seorang Muslim terhadap saudaranya. Bahkan, sebahagian ulama berpandangan bahawa memberi salam adalah wajib. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ. قِيلَ: مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ، وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ، وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ، وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللهَ فَسَمِّتْهُ، وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ، وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Maksudnya: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam perkara.” Baginda ditanya, “Apakah perkara itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam kepadanya. Jika dia mengundangmu, penuhilah undangannya. Jika dia meminta nasihat, berilah nasihat kepadanya. Jika dia bersin dan memuji Allah, maka doakanlah dia. Jika dia sakit, ziarahilah dia. Dan jika dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya.”

Riwayat Muslim (2162)

Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: “Mazhab Maliki, Syafi‘i, dan Hanbali berpendapat bahawa memberi salam adalah sunat muakkad (dianjurkan) dan bukan wajib. Salam juga merupakan sunat kifayah jika terdapat sekumpulan Muslim, di mana satu salam sahaja sudah memadai, walaupun memberi salam secara keseluruhan adalah lebih baik. Manakala Mazhab Hanafi pula – yang juga merupakan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad dan pendapat yang bertentangan dengan pandangan utama Mazhab Maliki – berpendapat bahawa memberi salam adalah wajib berdasarkan hadith Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam perkara… Jika engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam kepadanya…’” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/161)

Adab memberi salam ini bukan sahaja mencerminkan akhlak seorang Muslim, tetapi juga menguatkan hubungan persaudaraan sesama Muslim. Oleh itu, setiap individu digalakkan untuk memulakan salam ketika bertemu dan menjadikannya sebagai satu amalan dalam kehidupan seharian.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”