Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah orang yang tidak minum arak, tetapi duduk semeja dengan orang yang minum arak turut dilaknat oleh Allah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Peluang pekerjaan di tempat-tempat yang tidak diterapkan suasana Islam merupakan salah satu dari ujian yang mungkin sebahagian kita tidak sedar, apatah lagi pekerjaan yang benar-benar bebas dari sebarang bentuk syubhah atau perkara-perkara haram seperti arak itu sendiri. Saban kali membincangkan isu terkait dengan arak ini, kami akan tekankan betapa bahayanya ia sehingga mengundang laknat Allah SWT. diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَشَارِبَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةِ إِلَيْهِ، وَسَاقِيهَا، وَبَائِعِهَا، وَآكِلُ ثَمَنِهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا، وَالْمُشْتَرَى لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah melaknat sepuluh orang yang terkait dengan arak: orang yang memerahnya, orang yang meminta diperahkannya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawakannya, orang yang memberi minumnya, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, pembelinya, dan orang yang dibelikan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295) dan Ibn Majah (3381)

Usaha untuk menjauhi arak ini tidak boleh diambil sambil lewa, kerana seorang mukmin yang bergelar umat Muhammad SAW itu tidaklah dimuliakan ke atas selainnya, melainkan mereka menunaikan hak Allah SWT dengan mengajak kepada perkara yang ma‘ruf serta meninggalkan kemungkaran dalam keadaan beriman. Firman-Nya:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

(Surah Ali ‘Imran: 110)

Oleh yang demikian, tidak sewajarnya bagi seseorang itu untuk duduk bersama dengan mereka yang melakukan kemungkaran – seperti meminum arak –, melainkan dia perlu berusaha menegah mereka dari perkara tersebut. Islam telah mengajarkan kepada kita kaedah pencegahan mengikut kadar kemampuan masing-masing, sebagaimana dalam hadith Abu Sa’id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak mampu hendaklah dengan hatinya, dan yang demikian itu (mengingkari dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”

Riwayat Muslim (49) dan Ahmad (11514)

Sekiranya kita mampu untuk menegah dengan kata-kata, seperti mencadangkan kepada pihak syarikat pekerja Muslim dapat dikecualikan dari acara yang melibatkan perkara haram, maka itulah yang terbaik. Sebahagian syarikat bukan Islam mungkin tidak melihat isu arak ini sebagai satu sensitiviti terhadap agama Islam. Akan tetapi, sebagai seorang Muslim yang hidup di dalam negara Islam, kita mempunyai hak untuk meminta pengecualian dari dilibatkan dalam acara sedemikian bagi memelihara diri serta iman.

Sebaliknya, sekiranya kita tidak mampu menyuarakan hal tersebut, zahirkanlah kebencian kita terhadap perbuatan meminum arak itu dengan cara berpindah ke tempat duduk yang lain, kerana perbuatan menyentuh sensitiviti Islam itu merupakan sebuah persendaan terhadap agama yang suci ini. Dikhuatiri jika kita cuba menormalisasikan acara-acara begini, kita akan terjerumus ke dalam perbuatan maksiat tersebut bersama mereka. Tidakkah kita mengambil iktibar dari ayat Allah SWT:

وَإِذَا رَأَيْتَ ٱلَّذِينَ يَخُوضُونَ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّىٰ يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦ ۚ وَإِمَّا يُنسِيَنَّكَ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ ٱلذِّكْرَىٰ مَعَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Maksudnya: “Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu).”

(Surah al-An‘am: 68)

Berdasarkan ayat ini, perintah (فَلَا تَقْعُدْ) itu merupakan larangan untuk duduk bersama pelaku-pelaku kemungkaran. Maka haram hukumnya untuk duduk atau menghadiri sebarang majlis yang diserta perbuatan mungkar, yang mana tidak mampu bagi seseorang itu untuk menghentikannya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 260)

Sungguh, mengasingkan diri dari mereka adalah lebih dekat dengan ketakwaan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَجْلِسْ عَلَى مَائِدَةٍ يُدَارُ عَلَيْهَا بِالْخَمْرِ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang beriman kepada Allah serta hari akhirat, maka janganlah dia duduk di meja makan yang dihidangkan arak di atasnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2801), al-Nasa’i (401) dan Ahmad (14651)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, janganlah duduk di meja tersebut meskipun kita tidak meminum arak, kerana perbuatan kita untuk kekal duduk di situ umpama membenarkan kemungkaran tersebut. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/69)

Kesimpulan

Kami katakan, tidak boleh ke atas seorang Muslim itu untuk duduk bersama semeja bersama orang yang meminum arak, meskipun atas alasan orang tersebut rakan sekerja. Akan tetapi, larangan ini terangkat sekiranya dia mampu untuk mencegah perbuatan minum arak tersebut, maka ketika itu dibenarkan baginya untuk duduk bersama, bahkan digalakkan bagi memastikan perbuatan mungkar itu ditinggalkan.

Seandainya mesyuarat atau majlis tersebut menjanjikan sebuah kerjasama dengan keuntungan yang lumayan, pilihlah takwa kepada Allah SWT kerana Dia pasti akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Mengambil kesempatan ini, kami memperingatkan masyarakat Muslim sekalian dengan firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًا (٢) وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ

Maksudnya: “dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). (2) Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”

(Surah al-Talaq: 2-3)

Semoga keimanan kita sentiasa dipelihara dan diteguhkan di atas landasan syara‘. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam