Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud kebahagiaan? Saya ada mendengar, bahawa kebahagiaan itu bukan hanya pada harta dan wang ringgit.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dr. Aidh al-Qarni melalui bukunya La Tahzan telah mengupas berkenaan hakikat kehidupan dan kebahagiaan dengan sangat baik. Kami tertarik untuk berkongsi sebahagian penulisannya di sini.

Abdullah bin Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda:

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ، أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ

Maksudnya: “Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau musafir.”

Riwayat al-Bukhari (6416), Ibn Majah (4114) dan al-Tirmizi (2333)

Kebahagiaan itu bukan pada istana Abdul Malik bin Marwan,[1] bukan juga pada pasukan Harun al-Rasyid,[2] bukan pada rumah mewah al-Jassas, bukan juga pada harta simpanan Qarun.[3]Kebahagiaan juga bukan pada kitab al-Syifa’ karya Ibnu Sina, bukan juga pada diwan (himpunan syair-syair) al-Mutanabbi, dan bukan juga pada taman-taman Cordova[4] atau kebun-kebun lainnya.

Namun, kebahagiaan itu menurut para sahabat adalah sesuatu yang tidak banyak menyibukkan, kehidupan yang sangat sederhana dan rendah daya belinya.

Kebahagiaan ada pada Ibn al-Musayyib[5] dengan ilahiyat (ketauhidan)nya, Imam al-Bukhari dengan kitab Sahihnya, Hasan al-Basri[6] dengan sifat kejujurannya, Imam al-Syafi’e dengan kesimpulan hukumnya, Imam Malik dengan sikap muraqabah (merasa sentiasa dalam pengawasan Allah)nya, Imam Ahmad dengan sikap wara’nya dan Thabit al-Bunani[7] dengan ibadahnya.

Firman Allah SWT:

ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَّيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُم بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ

Maksudnya: Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh.

Surah al-Taubah (120)

Kebahagiaan itu bukan berupa cek yang dapat ditunaikan, bukan berupa kenderaan yang dapat diperjualbelikan, bukan berupa bunga yang dapat dicium bau yang semerbak harumnya, bukan berupa gandum yang dapat ditumbuk dan bukan pula berupa kain yang dapat dibentangkan.

Kebahagiaan itu adalah keriangan hati kerana kebenaran yang dijalaninya, kelapangan dada kerana prinsip yang diyakininya dan ketenangan hati kerana kebaikan yang dimilikinya.

Anggapan kita, apabila kita memiliki banyak harta kemewahan dalam rumah, berlimpah segala sesuatunya serta dipenuhi semua bentuk kemudahan dan hal-hal yang disukai dan yang diminati, maka kita akan bahagia, senang, gembira dan hidup kaya. Akan tetapi, semua itu justeru menjadi sebab yang membawa kepada jiwa yang resah, tertekan dan hanya menambah masalah sahaja.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.”.

Surah Taha (131)

Seorang tokoh pembaharuan yang agung, Rasulullah SAW ternyata hidup dalam kemiskinan, sering membolak-balikkan tubuhnya di tempat tidur kerana kelaparan disebabkan tidak ada sebiji kurma pun yang Baginda SAW dapati untuk menahan kelaparannya. Sekalipun demikian, Baginda hidup bahagia, tidak mempunyai banyak tekanan dan jiwanya damai serta tiada yang mengetahuinya selain Allah SWT.

Dalam sebuah hadith daripada Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Maksudnya: “Kebaikan itu adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” [8]

Riwayat Muslim (2553)

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ مَا اطْمَأَنَّتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي النَّفْسِ وَتَرَدَّدَ فِي الصَّدْرِ

Maksudnya: Kebaikan itu ialah apa yang membuatkan jiwa tenang. Manakala dosa pula adalah yang membuat jiwamu gelisah dan ragu-ragu di hatimu.

Riwayat Ahmad (18006)

Jelasnya, orang yang berbuat baik akan berasa tenang; sedangkan orang yang berbuat kesalahan akan dirundung oleh rasa curiga  terhadap semua peristiwa, semua aktiviti dan sikap yang terjadi.

Salah satu daripada jalan keluar bagi orang yang ingin bahagia ialah dia harus melakukan kebaikan dan menjauhi segala keburukan agar dirinya diliputi oleh rasa aman.

Firman-Nya:

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَـٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ

Maksudnya: “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”[9]

Surah al-An’am (82)

Sesungguhnya keselamatan seorang Muslim dengan agamanya lebih penting daripada kerajaan Qaisar Rom mahupun Kisra Parsi. Hal ini kerana hanya dengan agamalah yang tetap menyertai kita hingga kita menempati syurga yang penuh dengan kenikmatan, berbeza dengan kekuasaan dan kedudukan yang mana ia pasti akan lenyap.

Sesungguhnya orang yang bahagia pada hakikatnya yang dapat mentaati perintah Allah dengan penuh keikhlasan sehingga merasa kelazatan dalam ibadat serta halawah dan manisnya keimanan. Mereka yang melaksanakan solat dengan khusyuk, zakat, amanah, menjaga maruah sebagaimana dalam surah al-Mu’minun dengan balasannya syurga Firdaus:

‏ أُولَٰئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ ‎﴿١٠﴾‏ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya: Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.

(Surah al-Mu’minun: 10-11)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

 

[1]  Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilahirkan pada tahun 26 Hijrah (646 Masihi). Beliau merupakan khalifah Bani Umayyah yang kelima yang memerintah dari tahun 685 – 705 Masihi (65 – 86 H).

[2]   Khalifah Harun al-Rasyid lahir di Rayy pada tahun 766 dan wafat pada tanggal 23 Mac 809, di Tus, Khurasan. Harun al-Rasyid ialah khalifah kelima daripada Bani Abbasiyyah dan memerintah antara tahun 786 hingga 803 Masihi.

[3]  Qarun hidup pada zaman Nabi Musa AS. Dia telah dibukakan oleh Allah SWT pintu-pintu kekayaan yang luar biasa seperti emas, perak dan pelbagai harta lain. Namun, dia bersikap tamak dan angkuh sehingga akhirnya dia ditimpa azab dan ditelan bumi beserta seluruh harta kekayaannya.

[4]  Cordoba, juga dikenali sebagai Cordova (Bahasa Arab : قرطبة), ialah ibu kota serta bandar raya wilayah Cordoba, Andalusia, selatan Sepanyol. Pada hari ini, bandar raya moden yang mempunyai saiz yang sederhana ini mengandungi banyak peringatan seni bina yang menarik tentang zaman ketika Cordoba merupakan sebuah ibu kota yang berkembang maju di bawah Khilafah Cordoba yang memerintah hampir seluruh Semenanjung Iberia. Dianggarkan bahawa Cordoba didiami sehingga 500,000 orang ketika itu, dan merupakan bandar raya yang kedua terbesar di dunia pada abad ke-10, selepas Byzantium.

[5]  Said bin al-Musayyib merupakan salah seorang dari tokoh Tabi’in yang agung. Beliau ialah seorang yang mempunyai sifat keperibadian yang sangat baik, berpuasa pada waktu siang, berqiamullail pada waktu malam. Beliau disebut telah mengerjakan ibadat Haji lebih daripada empat puluh kali, tidak pernah ketinggalan daripada takbir pertama (takbirat al-ihram) di dalam sembahyang selama empat puluh tahun, dan sentiasa berada di saf pertama.

[6]  Hasan al-Basri dilahirkan di Madinah semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar bin al-Khattab pada tahun 21 Hijrah (642 Masihi). Beliau pernah berguru dengan beberapa orang sahabat Rasulullah SAW sehingga muncul sebagai ulama’ terkemuka dalam peradaban Islam.

[7]  Nama sebenarnya ialah Thabit al-Bunani, seorang tabi’in dan muhaddith yang thiqah. Beliau menetap di Basrah. Beliau cintakan al-Quran dan sentiasa membacanya pada waktu siang dan malam. Thabit melazimi amalan berpuasa serta berguru dengan Anas bin Malik R.A hampir empat puluh tahun.

[8]  Yang dimaksudkan dengan berakhlak baik iaitu jujur dalam bermuamalah, santun dalam berusaha, adil dalam menghukum, bersungguh-sungguh dalam melakukan kebajikan. Kadang-kadang dikhususkan berbuat kebajikan itu kepada kedua ibu bapa, tetapi seringkali kebajikan disebut sebagai berbuat kebajikan kepada seluruh makhluk. Di dalam hadith Bahz dan Hakim daripada ayahnya daripada datuknya bahawa beliau berkata, yang bermaksud: “Wahai Rasulullah! Kepada siapakah sepatutnya aku berbuat kebajikan?” Baginda SAW menjawab: “Ibumu.” Kemudian beliau bertanya lagi: “Kemudian kepada siapa lagi?” Baginda menjawab: “Bapamu”, Beliau bertanya lagi: “Kemudian kepada siapa lagi?” Baginda menjawab: “Kemudian kepada yang paling dekat dan seterusnya.” (Lihat kitab kami, al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 254)

[9]  Syeikh al-Maraghi berkata: Dimaksudkan dengan al-zulmu di sini ialah sesuatu yang mencampurkan keimanan seseorang kepada Allah SWT sehingga keimanan itu berkurangan, iaitu syirik di dalam aqidah atau ibadah. Umpamanya menjadikan penolong selain Allah SWT, yang bersama-sama dengan-Nya – atau tanpa Dia – ia dimohon pertolongan. Maka, ia diagungkan seperti Dia diagungkan dan dicintai seperti Dia dicintai kerana berkeyakinan bahawa ia berkuasa untuk mendatangkan manfaat atau kemudaratan dengan sendirinya, atau dengan pengaruh terhadap kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Jadi, yang dimaksudkan di sini bukan kezaliman manusia terhadap dirinya sendiri kerana melakukan sebahagian kemudaratan, atau meninggalkan sebahagian manfaat, lantaran tidak tahu atau meremehkan. Bukan juga kezaliman terhadap orang lain dengan sebahagian tindakan dan hukumnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1912-1913)