Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah mereka yang mendapat nikmat kubur?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nikmat kubur akan diperolehi oleh orang yang beriman dengan Allah serta petunjuk daripada Rasul-Nya. Antara sebab yang membolehkan seseorang itu mendapat nikmat di dalam kubur:
- Iman dan beramal soleh serta Istiqamah dan melazimi manhaj Islam dan syariah yang diturunkan oleh Allah untuk urusan kehidupan manusia.
Setiap Muslim mesti berpegang teguh dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah serta melaksanakan hukum-hakam dalam kehidupannya, mengikut perintah Allah dan menjauhi larangannya. Pasti Allah akan menjauhkannya daripada Azab kubur dan memberikan nikmat kubur kepadanya.
Beriman dan juga beramal soleh adalah antara wasilah yang paling utama untuk menghindari azab kubur. Firman Allah SWT:
يُثَبِّتُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ بِٱلۡقَوۡلِ ٱلثَّابِتِ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِۖ وَيُضِلُّ ٱللَّهُ ٱلظَّٰلِمِينَۚ وَيَفۡعَلُ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ
Maksudnya: Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.
(Surah Ibrahim: 27)
Ibn Kathir di dalam tafsirnya menukilkan kata-kata Sufyan al-Thauri yang mana beliau mengatakan bahawa ayat di atas berkaitan dengan azab kubur. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/496)
Abd al-Rahman al-Sa’di menyatakan, Allah SWT menetapkan pendirian orang yang beriman dengan hati yang sempurna iaitu mereka yang melazimi amal perbuatan yang membuahkan hasil (amal soleh) dan Allah SWT menetapkan mereka pada kehidupan di dunia dan juga di akhirat. Apabila matinya mereka di pengakhiran, akan tetap di atas Islam dan memperoleh husnul khatimah dan di dalam kubur, ketika di soal oleh dua malaikat, dapat menjawabnya dengan jawapan yang sahih. (Lihat Tayseer al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 425)
- Menjaga Sempadan (al-Ribat) Pada Jalan Allah SWT
Iaitu mereka yang berterusan menjaga sempadan pada jalan Allah SWT dan bersabar di atasnya. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Fadalah bin ‘Ubaid RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ الْمَيِّتِ يُخْتَمُ عَلَى عَمَلِهِ، إِلاَّ الْمُرَابِطَ فَإِنَّهُ يَنْمُو لَهُ عَمَلُهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَيُؤَمَّنُ مِنْ فَتَّانِ الْقَبْرِ
Maksudnya: Setiap yang mati, maka amalannya telah ditutupi kecuali bagi al-Murabit (orang yang menjaga sempadan di jalan Allah SWT). Sesungguhnya amalannya akan terus bertambah sehingga hari akhirat dan selamat dari fitnah kubur.
Riwayat Abu Dawud (2500) dan al-Tirmizi (1621).
- Melazimi Bacaan Surah al-Mulk
Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang mana beliau meriwayatkan:
ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لاَ يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا فَأَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم هِيَ الْمَانِعَةُ هِيَ الْمُنْجِيَةُ تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Maksudnya: Sebahagian sahabat Nabi SAW mendirikan khemah di atas kubur dan mereka tidak mengetahui yang terdapatnya kubur di situ dan mereka mendengar ada seseorang (daripada kubur) membaca Surah al-Mulk (تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ) sehingga tamat. Kemudian lelaki tersebut datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah mendirikan khemah di atas kubur yang aku tidak mengetahui akannya dan aku terdengar di dalamnya seseorang membaca Surah al-Mulk sehingga tamat. Maka Rasulullah SAW berkata: “Ia (Surah al-Mulk) adalah penghalang, penyelamat daripada azab kubur”.
Riwayat al-Tirmizi (2890)
Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan di dalam syarahnya: Maksud al-mani’ah (المَانِعَة) adalah menegah dan menyelamatkan daripada azab kubur ataupun menegah daripada sebarang maksiat yang menyebabkan hukuman azab kubur. Manakala al-munjiah (الْمُنْجِيَةُ) iaitu yang menyelamatkan pula boleh jadi sebagai penguat atau penafsiran kepada ucapan mani’ah (المَانِعَة). Dengan sebab itulah, ucapan selepas itu Rasulullah SAW menyebut ianya (Surah al-Mulk) sebagai penyelamat daripada azab kubur. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/161)
- Menjaga lidah daripada mengumpat dan mengadu domba (al-Namimah).
Hal ini kerana mengumpat dan mengadu domba merosakkan hubungan manusia, serta menimbulkan kemarahan dan pergaduhan sesama mereka. Ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda, ketika berjalan melalui dua kubur yang penghuninya sedang diseksa:
إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.”
Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat) bertanya: “Kenapa anda melakukan ini?”. Baginda menjawab:
لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا
Maksudnya: “Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah”
Riwayat al-Bukhari (1361) dan Muslim (292)
Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menyatakan: “Para ulama Perbuatan baginda SAW meletakkan dua pelepah tamar di atas kubur, hal itu berkemungkinan kerana baginda SAW memohon syafaat bagi mereka berdua lalu dimustajabkan syafaatnya SAW dengan diringankan azab daripada mereka berdua sehingga dua pelepah itu kering. Imam Muslim telah menyebutkan pada akhir kitab tentang suatu hadis yang panjang yakni hadis Jabir tentang dua orang pemilik kubur “aku suka agar dengan syafaatku, akan diangkat azab keduanya selama kedua dahan itu masih basah.” Dikatakan, berkemungkinan baginda SAW mendoakan kedua-duanya selama waktu tersebut. Dikatakan juga, kerana keadaan kedua-dua pelepah itu bertasbih selama mana masih lembab dan benda yang kering tidak bertasbih. Inilah pendapat ramai ulama, atau majoriti ahli tafsir pada firman Allah SWT:
تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَٰكِن لَّا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ ۗ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا
Maksudnya: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”
(Surah al-Isra: 44)
Para ulama berkata “dan tiada sesuatupun” bermaksud yang hidup. Mereka berkata lagi kehidupan setiap benda itu bergantung kepada keadaannya. Maka hidupnya kayu selama mana belum kering, batu selama mana tidak pecah. Para muhaqqiq dari kalangan ahli tafsir berpendapat bahawa hal itu boleh pada makna umum. Dan mereka berbeza pendapat, apakah tasbih tersebut tasbih secara hakikat atau sebagai bukti adanya Pencipta, maka jadilah ia yang bertasbih dan mensucikan pada bentuk kejadiannya. Para muhaqqiq dari kalangan ahli tafsir memilih bahwa itu adalah tasbih yang sebenarnya, secara hakikat. Sesungguhnya Allah Taala telah memberitahu:
وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۗ
Maksudnya: “dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah…”
(Surah al-Baqarah: 74)
Apabila akal fikiran tidak sampai pada memahami perbezaan makna pada masalah tersebut, dan terdapat nas yang menjelaskan, maka wajib kembali kepada nas. Para ulama juga mengatakan sunat untuk membaca al-Quran di sisi kubur berdasarkan hadis ini kerana jika diharapkan peringanan azab daripada tasbih pelepah nescaya bacaan al-Quran lebih utama.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/202)
- Menjaga kebersihan dalam ibadah daripada najis kencing
Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اسْتَنْزِهُوا مِنَ الْبَوْلِ، فَإِنَّ عَامَّةَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْهُ
Maksudnya: Sucikanlah dirimu daripada air kencing kerana kebanyakan seksa kubur itu berasal daripadanya.”
Riwayat al-Darqutni (1/128). Hadith ini dhaif, Imam al-Darquthni menyatakan yang sebetulnya, hadith ini mursal kerana terdapatnya Muhammad bin al-Sobbah.
Dalam riwayat lain:
إِنَّ أَكْثَرَ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنَ الْبَوْلِ
Maksudnya: Kebanyakan azab kubur itu disebabkan (tidak membasuh) air kencing.”
Riwayat Ibn Majah (238), Ahmad (2/326) dan al-Hakim (1/293). Ibn Hajar di dalam Bulugh al-Maram (38) menyatakan sanad hadith ini sahih.
- Memohon perlindungan Allah daripada azab kubur
Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha menceritakan bahawa Rasullah SAW berdoa di dalam solatnya (selesai membaca tasyahhud akhir):
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ
Maksudnya: “Adapun Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.”
Riwayat al-Bukhari (832)