Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita tidak boleh bercita-cita untuk mati?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا
Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Mulk: 2)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالْمَوْتِ، وَجَعَلَ الدُّنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ، وَجَعَلَ الْآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)
Terkadang, dengan sebab tekanan hidup yang melampau menyebabkan seseorang individu hilang punca dalam melayari bahtera kehidupan. Mereka merasakan bahawa dengan membunuh diri, ia menjadi jalan penyelesaian bagi mengakhiri penderitaan yang dialami. Sedangkan bala dan dosa yang besar menanti di akhirat sana, kerana para ulama bersepakat menyebut bahawa membunuh diri hukumnya haram.
Dalam Islam, bukan sahaja perbuatan membunuh diri adalah haram bahkan bercita-cita untuk mati kerana tidak sanggup menghadapi musibah yang dihadapi juga adalah tidak dibenarkan.
Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda:
لا يَتمنَّينَّ أحدُكمُ الموتَ مِن ضُرٍّ أصابَهُ، فإن كانَ لا بدَّ فاعِلًا، فليقُلْ اللَّهُمَّ أحيِني ما كانتِ الحياةُ خَيرًا لي، وتوفَّني إذا كانتِ الوفاةُ خَيرًا لي
Maksudnya: “Janganlah mengharapkan kematian kerana tertimpa musibah duniawi, jika terpaksa, maka hendaklah dia mengucapkan: ‘Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan wafatkanlah aku jika kematian itu lebih baik bagiku’.”
Riwayat al-Bukhari (5671) dan al-Nasa’i (1820)
Hadith ini menunjukkan bahawa orang Islam itu harus berusaha untuk menghadapi sebarang cabaran walau sesukar mana pun ujian kehidupan. Begitu juga, jika ingin berdoa, maka berdoalah kepada Allah seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam hadith di atas.
Sekalipun begitu, para ulama membezakan antara mengharapkan kematian kerana fitnah (cubaan) duniawi, dengan mengharapkan kematian kerana fitnah ukhrawi (agama). Bagi keadaan yang pertama, mereka berpendapat bahawa hukumnya adalah makruh, manakala bagi keadaan yang kedua pula, hukumnya adalah dibolehkan. (Lihat Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi). Bahkan, Rasulullah SAW dalam sebuah doanya, mengatakan: “Jika Engkau berkehendak memberikan fitnah (cubaan dalam agama) kepada hambamu, maka cabutlah (nyawa)ku dalam keadaan tidak tertimpa fitnah (cubaan) itu!“
Begitu juga, Fatwa Lajnah al-Da’imah (2/323) menyatakan: “Mengharapkan kematian tidak dibolehkan, kecuali jika takut dengan fitnah (cubaan) dalam agamanya.”
Namun, mereka yang mengharapkan mati syahid, ia adalah dibolehkan. Hal ini sebagaimana sabda Baginda SAW:
مَنْ سألَ اللهَ الشَّهادَةَ مُخْلِصًا أعطاهُ اللهُ أَجْرَ شَهِيدٍ وإِنَّ ماتَ على فِرَاشِهِ
Maksudnya: “Sesiapa memohon kepada Allah mati syahid, maka Dia akan menyampaikannya ke darjat para syuhada’ walaupun dia mati di atas katilnya.”
Riwayat Muslim (1909) dan Abu Daud (1520)
Hal ini demi semata-mata ingin meninggikan syiar Islam dan kalimahnya.
Kami juga ada menjawab persoalan seperti ini dengan panjang lebar dalam buku kami bertajuk: Kemurungan dan Putus Asa: Solusi Islam untuk Jiwa yang Tertekan. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”