Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah apabila di waktu malam, kita dengar ayam jantan berkokok tanda bahawa ia melihat malaikat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, suka kami nyatakan firman Allah:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ
Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja…”
(Surah al-An‘am: 59)
Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (3/264) telah mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ
Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”
Riwayat al-Bukhari (4697)
Oleh kerana masalah ini masalah ghaibi, maka perkhabarannya hendaklah dilihat melalui nas sama ada al-Quran atau hadith Nabi SAW. Justeru, dalam menjawab persoalan ini, kami katakan, terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ، فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا، وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا
Maksudnya: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam jantan, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaan-Nya kerana sesungguhnya ia melihat malaikat, dan apabila kamu mendengar ringkikan keldai maka berlindunglah kepada Allah daripada syaitan kerana sesungguhnya ia melihat syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (3303) dan Muslim (2729)
Yang penting bagi kita, apabila di waktu malam dan berjaga, maka bangkitlah untuk solat dengan mengucapkan zikrullah serta doa sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Terlalu banyak nas yang menggalakkan kita solat di waktu malam serta kelebihannya. Cukuplah saya nyatakan sebuah hadith daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ، وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ، وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ، وَمَنْهَاةٌ لِلإِثْمِ
Maksudnya: “Hendaklah kamu melakukan solat malam kerana ia adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu. Ia mendekatkan kamu kepada Allah, menghapuskan dosa dan menjauhkan dari maksiat.”
Riwayat al-Tirmizi (3549). Menurut al-Tirmizi di sana terdapat riwayat yang lebih sahih iaitu riwayat Abu Idris daripada Abu Umamah berbanding riwayat Abu Idris daripada Bilal.
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Sabda Nabi SAW hendaklah kamu berqiyam pada waktu malam iaitu solat tahajjud. Dan sabda Nabi SAW ia adalah hidangan buat orang yang soleh bermaksud solat malam itu telah menjadi kebiasaan atau adat buat mereka. Adapun sabda Nabi SAW ia menghapuskan dosa bermakna menghapuskan dosa serta menutupnya.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/375).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”