Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah benar zakat dapat mengeratkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pemberi zakat dan penerimanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰ⁠لِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ

Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. (Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913)

Zakat merupakan rukun Islam yang paling penting. Hukum zakat mempunyai dalil-dalil muktamad (القطعي) dari sudut petunjuk (الدلالة) dan thabitnya. Ia menjadikan hukum zakat itu jelas dan mesti (wajib) diketahui dari sudut agama. Oleh itu, hukum orang yang menafikan wajib zakat adalah kafir. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Perintah mengeluarkan zakat disebut sebanyak 32 kali di dalam al-Quran.

Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya. Ianya dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/634)

Kami katakan, bukti yang nyata dengan sebab sifat pemurah dan suka menunaikan zakat menyebabkan ramai di kalangan kaum keluarga dan rakan taulan menjadi akrab dan saling kasih-mengasihi serta sayang-menyayangi.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.