Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah sahih bahawa pengabaian zakat boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam negara, malah membawa kepada peningkatan jenayah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
خُذۡ مِنۡ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ صَدَقَةࣰ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّیهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَیۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنࣱ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِیعٌ عَلِیمٌ
Maksudnya: “Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (wajib) untuk membersihkan dan menyucikan mereka; dan doakanlah buat kebaikan mereka. Sesungguhnya doa daripadamu (wahai Rasulullah) adalah kebaikan buat mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)
Syeikh Ali al-Jarjawi berkata: “Antara hikmah menunaikan zakat ialah membawa kepada keamanan dalam negara. Beliau memberi banyak alasan dan hujah bagi membenarkan kenyataan tersebut yang jelas menunjukkan bala menimpa masyarakat, negeri, negara dan tempat di mana pengabaian untuk mengeluarkan zakat berlaku. Natijah yang lebih parah lagi membawa kepada pembunuhan, jenayah, pencurian dan juga ramai yang ditangkap dan dimasukkan ke penjara kerana sebab harta benda dan kewangan.” (Lihat Hikmah al-Tasyri’ wa Falsafatuhu, hlm. 169)
Mereka yang berinfaq sama ada melaksanakan ibadat zakat, sedekah, wakaf dan sebarang bentuk pemberian sama ada melalui pihak berwajib atau kepada mereka yang memerlukan secara langsung, makanya kita dapati kesannya cukup baik, bahkan terlalu banyak kebaikan pada khalayak masyarakat dan negara. Kadar jenayah menurun, sifat simpati dan empati menebal, begitu juga dengan kasih sayang sesama masyarakat amat meninggi. Mereka saling hormat menghormati, tolong menolong, bantu membantu dan ini selaras dengan firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan ketaqwaan.”
(Surah al-Maidah: 2)
Menurut Syeikh al-Maraghi, isu bantu-membantu dalam melaksanakan sesuatu kebajikan dan ketakwaan adalah merupakan salah satu sendi utama dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna seperti mana yang dianjurkan di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa memberi pertolongan dalam mana-mana urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan ini termasuklah sesama individu ataupun masyarakat dalam soal kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)
Natijah daripada zakat ini membawa kepada kesejahteraan kepada masyarakat, ummah dan negara.
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”