Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sejauh manakah kebenaran bahawa zakat dianggap sebagai pelengkap kepada keislaman seseorang dan salah satu rukun Islam yang penting?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat di atas antaranya mengandungi perintah Allah SWT supaya mengeluarkan zakat daripada harta-harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya, lalu memberikannya kepada orang-orang fakir dan selainnya yang terdiri daripada penerima-penerima zakat yang telah disebutkan oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 573).

Zakat menyempurnakan keislaman seseorang hamba dan melengkapkannya, kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Apabila seseorang menunaikannya, maka Islamnya menjadi sempurna dan lengkap. Hal ini tidak diragui lagi merupakan suatu matlamat yang agung bagi setiap Muslim, kerana setiap Muslim yang beriman pasti berusaha untuk menyempurnakan agamanya. (Lihat al-Syarh al-Mumti’, 1/6-7)

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.